Saturday 12 January 2013

KAWASAN TAMAN DI SEKITAR STADIUM MERDEKA-NEGARA

SEMALAM ikut sama berhimpun di Stadium Merdeka.
Bukan soal perhimpunan yang telah berlangsung dengan jayanya, tetapi mungkin orang tidak tahu, pembesar negara pun tidak tahu, pihak Dewan Bandaraya pura-pura tidak tahu, tetapi kawasan taman di sekitar dua stadium kebanggaan itu pada suatu ketika dulu pernah dijadikan taman golongan gelandangan, selain taman untuk sesiapa juga ingin memadu kasih, usik mengusik di bawah pohon beringin melafazkan kata cinta yang bukan kepalang.

SEWA MAHAL
Itulah yang saya ketahui, kebetulan dulu, ketika Stadium Merdeka masih "hidup" ada restoran tempat orang mencari kari kepala ikan. Memang terkenal. Selain itu fungsi stadium ketika itu memang jadi tumpuan, tidak seperti sekarang; mentang-mentang sudah ada stadium baru, yang lama dilupakan.
Dalam pada dilupakan, seperti yang diumumkan sewa untuk acara perhimpunan dari jam 2.00 - 5.00 ptg itu pihak stadium mengenakan bayaran RM100,000.
Entah betul atau tidak, atau ia termasuk wang cagaran kalau terjadi sesuatu?
Dan alhamdulillah, hadirin tidak pernah mengeluh kalau diumumkan akan ada "plastik bergerak" untuk mengutip sumbangan.
Apa nak malu. Buktikan kita bukan warga perasuah.
Bukan parti yang ketika perlukan wang akan jumpa taukey-taukey besar untuk mendapatkan "political fund" -- ini sudah jadi amalan kita yang diketahui umum.
Bahkan setiap projek, semuanya ada "fund" dan itu belum "duit kopi" duit "teh", kalau dia minta duit "kopi starbucks" lagilah banyak. Kalau setakat kopi campuran cap tupai jantan, itu lainlah. Budaya wang suguhan ini sudah lama jadi amalan.

BAYAR RM150
Itu sebab, dalam mentaliti orang yang berkuasa hari ini, kalau pihak pembangkang buat perhimpunan mereka fikir wanglah yang jadi umpanannya. Seorang dibayar RM150 menurut khabar yang mereka sebarkan. Mereka yang datang dari jauh pergi ke stadium dengan duit poket sendiri, bahkan Mat Sabu sendiri umumkan pihak pengurusan perlukan sedikit sumbangan dari hadirin.
Semua sedar bahawa sebagai parti yang terus diperlekehkan, mereka anggap parti miskin, tak berduit, harap sumbangan dari dana asing.
Kebetulan sebelum perhimpunan, ada sifulan yang mendakwa orang parti dari kelompok PR, serah borang Umno, dia dakwa setiap kali PR buat perhimpunan pasti berduit. Ini apa cerita?
Kepada sifulan yang namanya pun orang tak kenal, kenapa hendak buat kenyataan kepada wartawan setelah anda serah borang Umno? Nampak benar sifulan ini sudah ditawarkan dengan "ganjaran" tertentu untuk buka mulut dan mereka cerita.

BIAWAK
Mengisi borang Umno ketika dunia sudah akhir zaman, ketika tanda-tanda kiamat kecil sudah bertebaran, maka menjadi sia-sialah. Meski orang tuduh macam-macam terhadap parti komponen dalam PR, setidak-tidaknya dalam PR ada wacana Islam.
Berkawan dengan alim ulama, berkawan dengan orang kaki masjid dan surau, berkawan dengan orang yang suka majlis ilmu, tempiasnnya tetap ada juga.
Cuba bandingkan kalau orang itu berkawan dengan orang kaki pub, kaki disko, kaki lepak di kedai mamak berjam-jam, kaki longgok di simpang jalan, atau macam-macam kaki lagi, maka ia akan memberi saham yang tak berfaedah untuk bekalan amal.
Jangan fikir dunia sahaja, sebab itu dalam berparti politik pun, biarlah kita menjurus kepada kebaikan. Antara kelompok yang gemar kerosakan, kenistaan dan kelompok yang menentang kenistaan, sudah tentu kita kena pilih yang menentang kenistaan.
Sudah tahu ketua kelompok itu terlibat dengan pembunuhan, rasuah, salah guna kuasa dan macam-macam, kenapa kita tergamak nak ikut juga?
Sudah tahu orang itu masuk lubang biawak, kenapa kita nak ikut juga masuk ke dalamnya? Nak makan bangkai apa?

GELANDANGAN TAMAN
Berbalik kepada cerita taman tadi, pada sekitar tahun 80-an taman di sekitar stadium itu adalah tempat lepak golongan gelandangan kota.
Ketika itu tidak ada siapa bagi makan pada golongan gelandangan kota. Masjid Bukhari yang ada hari ini masih berupa Surau Babul Janah, ada makam di situ. Ada orang ziarah makam dan berdoa sambil mengharapkan sesuatu. Kira macam tempat keramatlah.
Jadi, ramai sungguh orang lepak di kawasan taman. Siap letak kertas kotak tebal untuk dijadikan lapik tidur. Kekadang siang pun tidur di situ juga. Ada juga yang ambil kesempatan jadi doktor peribadi, cucuk lengan atau cucuk paha sendiri kasi khayal sikit.
Golongan gelandangan yang dulunya "belajar" ilmu gelandangan di "universiti terbuka" taman dekat dua stadium itu sampai sekarang [2013] masih ada yang bergelandangan.
Apa yang nak dihairankan, orang gelandangan bukan makhluk penting kepada negara.
Tidak ada agenda apa pun dalam dunia gelandangan.
Seorang lulusan dari universiti taman ini ada yang melanjutkan kehidupan di Brisbane, Australia. Dulu dia pun begitu. Ada yang sudah merantau ke Perancis, merantau ke Greece dan tak kurang juga lepak di Switzerland.
Penggelandang yang ada terdiri daripada berbagai lapisan umur dan tingkat pendidikan. Kalau ada orang gelandang lepak di situ kerana nak siapkan tesis:
GELANDANGAN KOTA SATU TINJAUAN KEBARANGKALIAN... misalnya.
Jadi siapa tahu, mereka juga turut makan minum dan tidur di situ?

MERIAH
Dulu di tahun 80-an, kawasan itu meriah. Ramai orang bertenggek macam burung petang. Pantang ada teduhan. Ada sahaja orang duduk santai sambil bersembang. Jangan bandingkan deengan situasi sekarang, kawasan stadium dan stadium itu sendiri adalah lokasi yang terbuang.
Disebabkan ia terbuang, tak dihiraukan, sebab itulah ada pihak elitis mengesyorkan agar PR buat acara perhimpunan di situ.
Maknanya apa? Mereka tetap memandang acara perhimpunan itu sebagai acara lekeh di mata elitis dan bangsawan yang duduk di istana merak kayangan.
Itu sebab bila kita adakan acara pun, mereka cemburu kerana bilangan yang datang membeludak. Maka timbullah kata-kata mengejek.
"Alah, mereka tu datang sebab dibayar oleh agen dari negara asing!"
Sesiapa yang hidupnya bergantung kepada politik bayaran, maka mereka memandang orang lain pun begitu. Sesiapa yang sudah biasa ambil rasuah, maka dia fikir orang lain pun rasuah macam dia juga.
Golongan elitis bangsawan yang ada di negara kita hanya inginkan kedudukan.
Mereka seronok berada di atas singgahsana, suka diraikan, suka namanya disebut-sebut sebagai pemimpin berjiwa rakyat, sedia turun membantu rakyat, rakyat didahulukan.
Kalau betullah rakyat didahulukan, kenapa kaum gelandangan di KL ini bersepah-sepah?
Golongan elitis ini patut keluar waktu pagi, jenguklah jejantas yang ada di kota ini.
Jenguklah tepi sungai dan bawah jambatan.
Jenguklah kaki lima kedai yang tersorok, bawah pokok, atas gerobok gerai, dalam lorong, kawasan taman dekat Maybank dan mana-mana tempat yang disyaki jadi tempat tumpuan gelandangan.
Dulu, kaum gelandangan bernasib baik sebab ada masjid yang membenarkan mereka tidur, Masjid India, Masjid Alam Shah, Jalan Pasar, surau Babul Janah, surau Pudu Jail, Masjid Kg. Bahru, KL dan banyak lagi lokasi yang saya tak tahu.
Sejak AJK masjid dan surau dikuasai oleh orang yang elitis pendukung bangsawan, mereka lupa kepada golongan yang susah. Semua kena halau.
Alasannya, nanti kipas masjid hilang, tong duit derma hilang, atau silap haribulan mimbar berukiran kayu jati pun hilang, sejadah hilang, permaidani hilang, atau tong sampah yang bersalut emas pun hilang.
Akhirnya di mana-mana masjid dipaparkan:
TIDAK DIBENARKAN TIDUR DI SINI.
Nak baring sekejap pun tak dibenarkan.
Jadi jangan marah, kalau anda jalan-jalan di KL ini jumpa orang baring-baring di kaki lima kedai. Atau baring di tepi jalan [bukan mabuk ya]. Atau baring di kawasan taman macam yang saya cerita tadi. Dan kalau anda rasa mengantuk sangat, baring sahalah di stesen bas, atau kaki lima, atau bawah pokok tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman. Orang kaya kalau mengantuk mereka tuju hotel boleh tidur, atau pura-pura urut satu badan oleh amoi dari Vietnam, atau...atau...
Sandang, pangan dan rumah adalah keutamaan bagi orang gelandangan.
Di Malaysia, golongan elitis bangsawan hanya berlagak menemui golongan gelandangan apabila ada kamera televisyen mengiringi mereka, apabila ada sejumlah wartawan berkejaran mahu mencatat butir bicaranya, atau apabila telah dipaparkan dalam media kesayangan mereka [tengoklah program BERSAMAMU itu].
Kalau ada paparan dalam media musuh politik, mereka langsung tak peduli.
Disebabkan sikap itulah, kebanyakan penyokong PR memang tidak menatap akhbar terbitan media umno. Tidak mahu mengikut laporan dan analisis palsu yang dimainkan media setiap hari.
Sebab itu jugalah golongan gelandangan hanya musiman dijadikan sasaran untuk membantu rakyat. Ketika kempen sahaja mereka sibuk menyantuni gelandangan.
Sepatutnya para gelandangan itu diberi bantuan. Dengarkan apa masalah mereka yang sebenarnya. Ini tidak, pihak pemuda atau wanitanya sibuk bagi bantuan kepada gelandangan tetapi bagi tujuan publisiti media. Esok cerita lain, tak ada susulan pun. []

No comments:

Post a Comment