Wednesday 9 January 2013

WASATIYYAH KE MANA KAU PERGI?

SUATU KETIKA dulu kita terlalu sering mendengar perkataan wasatiyyah diucapkan oleh pemimpin kita. Di mana-mana, bahkan dalam akhbar harian, mingguan, sampaikan majalah yang sealiran dengannya, sampai televisyen semua menyebutnya.
Ia adalah perkataan yang berhantu pada masa itu. Macam lagu baru, lagu dakwah Wasatiyyah pun begitu juga. Liriknya amat menarik dan terlalu menguja setiap pendengar.
Berkatalah seorang tokoh agung di negara kita:
"Ummatan wasatan merupakan umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta berimbal dalam seluruh aspek kehidupan.
Berdasarkan kepada konsep ini, kita diseru agar mengimbangi antara tuntutan rohani dan jasmani serta hambatan dunia dan akhirat, kerana keseimbangan dan kesederhanaan ini amat penting dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian hidup, lantas menentukan kejayaan individu, keluarga, masyarakat dan negara."
Kemudian disebabkan lirik baru ini banyak yang tidak faham, ada risalah yang diterbitkan oleh pihak atasan untuk dimaklumkan kepada pihak bawahan.
Antara lain diterangkan apa maksud wasatiyyah itu.
[1]. kita kena amalkan wasatiyyah dalam kehidupan seharian seiring dengan tuntutan Islam.
[2]. mulakan prinsip wasatiyyah ini sebagai pegangan diri sendiri dulu.
[3]. para pemimpin dan ahlinya hendaklah bersederhana pemikiran, amalan dan perbuatannya, jangan berlebih-lebih; jangan taksub pada satu pandangan  dan kelompok hingga mengkhianati perjuangan sendiri.
[4].jangan ekstrim pada sesuatu pegangan sehingga menutup ruang pada segala bentuk perbincangan. Kejumudan  dan ketaksuban tidak membawa laluan ke syurga.
[5]. dalam gerak watak dan tingkah laku, kesederhanaan adalah penting. Jangan ikut perangai jagung, jangan ikut perangai merak -- zaman rakyat kagum pemimpin yang berlagak sudah lama berlalu.
[6]. tidak usah bermegah dengan kedudukan, rakyat tidak mahu tahu jam apa yang kamu pakai, kereta apa yang kamu naiki, silap perhitungan kemegahan itu akan menjauhkan diri dari rakyat.
[7]. pemimpin tidak dikagumi kerana kekayaan dan kehebatan, tetapi budi  dan khidmatnya. Anda boleh buat mahligai berjuta, berbilion di tepi bukit sana, pada hujungnya kualiti kepimpinan juga yang dinilai rakyat.
[8].jadikanlah kekayaan  dan kehebatan jika ada, sebagai jambatan untuk membawa diri dan parti ke mercu kegemilangan  dan bukan sebagai beban yang akan mengheret kita ke lubang kehancuran.

Paparan tersebut saya kutip dari risalah [terbitan umno] Pedoman Peringatan Konsep 5 W iaitu Welfare, Workaholic, Walkabout, Wasatiyyah dan Winnable Leadership yang dianggap sebagai amanat penting dari Najib Razak. Semua ini diucapkan setelah melakukan semacam introspeksi diri -- dalaman umno -- setelah menyedari penyakit dalaman ini begitu sukar hendak dibaiki.

Mari kita lihat, bagaimana kedudukan amalan wasatiyyah itu pada hari ini setelah bertahun-tahun kalimat itu dituturkan di sana-sini? Apakah ia menjadi amalan dan pegangan kebanyakan mereka? Begitu dalam bab pemikiran dan tindakan ahli-ahli mereka? Jelas wasatiyyah bukan mudah hendak diamalkan, hari ini kita menyuruh orang lain buat, esok kita tidak dapat lakukannya. Bagaimana nak ikut pedoman yang sendiri buat kalau asas kepada amalan itu tidak ada. Ia umpama seseorang memakai jaket bertulis wasatiyyah di belakang anda. Anda berjalan dan anda tidak tahu bahaw andalah yang sepatutnya mengamalkan sikap itu, tetapi anda hanya memandang apa yang tertulis pada jaket orang lain. Wasatiyyah dan wasatiyyah, orang bawahan tidak faham istilah ini.
Sederhana dalam bersikap dan bertindak? Sejauh mana ahli bawahan tahu amalkan? Semua ini bukan cukup sekadar angkat jari telunjuk dan menyebut 1Malaysia, tidak cukup sekadar ikrar di waktu pagi, kalau amalan harian tidak sejajar dengan syariat, kalau diri sendiri pun bukan setia sangat dengan institusi agama, maka pedoman itu hanya cantik dicetak, diedar dan dilipat masuk dalam poket seluar, balik rumah campak!

Jangan fikir mudah hendak mendisiplinkan orang lain tentang erti kekayaan dan kemewahan. Anda bercakap tentang jam tangan mewah, kereta mewah, tempat tinggal serba mewah, sedangkan rakyat tidak merasai itu semua. Sikap ego, sombong, bongkak dalam diri manusia tetap ada apabila telah mengecapi kemewahan kekayaan, akaun bank berlonggok hingga ratusan juta atau billion!
Yang jelas, pedoman yang dititipkan oleh pemimpin bernama Najib tidak dapat diamalkan oleh orang lain, termasuk para pemimpin. Kalau hendak kata bertolak dari dalam diri dulu, maka selaku pemimpin dia telah gagal mendidik sang isteri untuk berwasatiyyah. Inilah beban sebenar. Sungguh, walaupun saya bukan pengagum pemimpin ini dan isterinya itu, namun pedoman Konsep 5 W itu tetap saya simpan untuk rujukan.
Jangan kita menasihatkan orang lain berwasatiyyah, sedangkan dalam soal pengurusan negara, kewasatiyyahan itu tidak kelihatan langsung. Pedoman yang diucapkan itu mungkin telah dilupai, sama seperti orang lupa dengan mengangkat jari telunjuk. Satu Malaysia, di Singapura ada One Singapore, dan di Israel sana apa dia? Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment