Thursday 24 January 2013

KHADAM AYAT TU SIAPA DIA SEBENARNYA?

Mungkin ada yang pernah dengar tentang khadam. Sesiapa yang suka kepada cerita misteri dan mistik tentu pernah dengar orang menyebut khadam. Lebih-lebih lagi yang meneroka dana ghaib, tarik harta pusaka dalam tanah atau dalam gua. Khadam yang dimaksudkan adalah penjaga dana, harta pusaka yang dihajatkan itu.
Khadam ini mungkin statusnya macam pengawal keselamatan. Itu dalam bab harta dan dana mistik. Bagaimana pula dengan khadam ayat?
Khadam ini bagaimana? Menurut keterangan, dengan membaca ayat-ayat tertentu yang dipilih berdasarkan ajaran seorang pembimbing, dengan kaedah bacaan tertentu, baik mengulangi beberapa kali di setiap ayat yang dikhaskan, maka orang itu akan dikunjungi makhluk misteri yang dinamakan Khadam Ayat.
Kata yang empunya cerita, khadam ayat ini bukan manusia dan bukan jin. Habis apa dia? Malaikat pun bukan. Yang punya amalan ini kata, ia bukan jin tetapi dia adalah khadam atau penjaga kepada ayat yang dibacakan itu. Masih tidak ada jawapan. Betul dia memang penjaga ayat, kalau bukan jin siapa pula?
Contoh, ada orang kata ayat al-Kursi ada khadamnya. Bagaimana dengan ayat-ayat yang lain? Sudah tentu ratusan ribu khadam ada di dalamnya.
Cerita khadam ini hanya merujuk kepada amalan kebatinan di kalangan orang Melayu.
Kata yang empunya cerita, kalau sesiapa membaca ayat al-Kursi [al-Baqarah: 255]. Bagi yang mahu mendapatkan khadam ayat, dia kena baca ayat ini selama 40 hari pada waktu tengah malam [biasanya disusuli dengan ayat lain yang diajarkan oleh pembimbingnya].
Setelah beramal sebulan lebih, orang yang beramal akan dikunjungi makhluk berjubah hijau, bersalam dan bertanyakan hajat amalan.
Ada guru pembimbing yang beritahu, "Kalau datang makhluk berjubah macam ini, kamu suruh dia taat kepada perintah kamu."
Maksudnya, biar makhluk berjubah itu mengikut perintah orang yang beramal untuk mendapatkan khadam ayat al-Kursi.
Apabila khadam itu sudah mendengar kata, maknanya makhluk ini boleh diarahkan untuk menjaga harta benda yang ada, menjaga keluarga dan boleh juga untuk tujuan rawatan pengubatan.
Khadam ayat juga boleh diperintah untuk jaga rumah kalau ada sesiapa hendak pergi ke mana-mana. Walaupun rumah sudah ditinggalkan, khadam itu akan berada di rumah. Dia boleh muncul menyerupai tuan rumah atau orang yang mengamalkan ayat itu. Inilah peliknya khadam ayat, dia berlagak macam hantu raya pula.
Jadi, siapa khadam ayat yang sebenarnya? Jelas oleh sebab ia hanya wujud dalam dunia kebatinan Melayu, maka khadam itu adalah makhluk halus dari jenis jin juga.

BERGURU
Untuk dapatkan khadam ayat, seseorang itu kena berguru kepada yang tahu selok-belok khadam ayat. Bukan asal baca dan ikut arahan daripada teks tertentu.
Khadam ini boleh digunakan untuk tujuan apa pun, kalau tujuan jahat pun, konon khadam boleh diarahkan buat begitu. Jika begitu keadaannya, jelas khadam ini adalah jin yang menurut perintah pengamal ilmu.
Kalau tanya kepada orang tertentu yang mendakwa tahu mengenai khadam ayat, mereka akan berikan cara yang berbeza untuk mendapatkan khadam. Lain pembimbing, lain pula kaedahnya.
Seperti dalam dunia Kejawen, sesiapa yang berhasrat mendapatkan khadam, dia kena berkhalwat di tempat sunyi selama 44 hari. Khalwat dimulakan pada hari Selasa misalnya selepas waktu fajar, selepas solat subuh. Duduklah beramal dengan memakai wangi-wangian [attar] dan membakar setanggi.
Boleh juga kemenyan atau gaharu. Orang yang beramal kena membaca doa tertentu bagi tujuan mendapatkan khadam, iaitu doa yang dipanggil doa ayat al-Kursi. Ia dibaca sebanyak 72 kali selepas solat fardhu [boleh dicari daripada buku-buku yang menerangkan tentang khadam ayat].
Saya cuma hendak fokus kepada khadam itu dan bukan kaedah atau tatacara secara terperinci untuk mendapatkan khadam.
Menurut keterangan itu lagi, setelah beramal beberapa hari dalam keadaan khalwat begitu, dia akan mendengar suara haiwan.
Bunyi haiwan itu kedengaran pada waktu tengah malam. Boleh jadi dia mendengar suara kuda atau haiwan yang biasa di sekitarnya.

MISTERI
Ada kisah lain, ketika beramal begitu, ada juga orang yang dikunjungi tiga kucing misteri - masing-masing berbulu merah, putih dan hitam --- kucing itu berjalan dan kemudian lenyap pada dinding tempat khalwat.
Pada hari ke berapa dia beramal baharu ada suara dan kucing itu adalah mengikut keadaan cara orang itu beramal. Ada yang lambat atau langsung tidak menjadi pun ada kata yang empunya cerita.
Jadi, pada malam seterusnya ketika beramal itu, bakar bau-bauan setanggi, kemenyan atau gaharu lebih banyak -- bauan ini sudah tentu akan mengundang persoalan jiran-jiran kalau sentiasa dihidu pada waktu tengah malam hingga ke pagi!
Dia perlu meneruskan membaca doa ayat al-Kursi. Akan datang makhluk lain yang tidak diduga. Pengamal kena tetap dengan kedudukannya berkhalwat dan tidak perlu takut. Kata orang yang pernah beramal dan diceritakan kepada pengkaji masalah ini, pada akhirnya, ketika khusyuk beramal, terasa seolah-olah dinding sebelah kiri bilik [tempat khalwat] seperti terbelah atau dissolved --- dari itu keluar khadam ayat berupa lelaki berjubah hijau. Dia datang memberi salam, seperti misalnya: "Assalamu alaika ya Waliya llah! Selamat sejahtera wahai Wali Allah!"
Balaslah salamnya dan menyebutnya sebagai Wali Allah.
Baik pengamal dan yang datang adalah Wali Allah pada ketika itu. Dikatakan, apabila khadam berjubah itu bertanya tentang hajat sebenar mengundangnya datang ke situ, katakanlah bahawa anda tidak berhajat apa dari makhluk jubah hijau itu tetapi yang dimahukan adalah Khadam Ayat yang boleh berkhidmat untuk orang yang beramal.

CINCIN
Pertemuan ini bolehlah dianggap sebagai kisah mistik.
Konon, ada juga khadam berjubah pada tahap ini akan memberikan sebentuk cincin kepada pengamal. Dia akan suruh pengamal memakai cincin itu di jari manis tangan kanan; dan kalau berhajatkan sesuatu, baca doa Ayat al-Kursi tiga kali, seru nama Wali Allah berjubah itu, "Ya Malik kandiyas ajibniy bi hudhurika!" [Wahai Malik Kandias, datanglah padaku]. Ketika ini sebutlah apa yang dihajatkan.
Ada orang yang berhajat memendekkan perjalanan yang jauh, berhajat boleh jalan atas air dan berbagai karomah lainnya.
Mendengar cerita tentang khadam ayat, ia seolah-olah cerita jin pula. Jika demikian adakah si jubah hijau itu bernama Malik Kandias?
Catatan ini hanya menyebut tentang Khadam ayat al-Kursi sahaja, belum menyentuh ayat-ayat yang lain.[Perihal khadam ayat ini pernah dibentangkan oleh Ahmad Che Din, t.t. dalam kertas kerjanya bertajuk, "Peranan khadam dalam perubatan tradisional," Madrasah Irshad al-Asraf al-Wataniah, Seberang Prai]. []

No comments:

Post a Comment