Tuesday, 22 January 2013

ILMU DARI RIJALUL GHAIB APA SEBENARNYA?

SEORANG penjaja ilmu mendakwa, bahawa ilmu yang hendak "dijual" kepada sesiapa yang berminat membelinya merupakan sebuah ilmu tingkat kelas atasan warisan dari Rijalul Ghaib dan para wali di Nusantara.
Ilmu itu menurutnya lagi adalah diperoleh langsung dari Nabi Khidir a.s. penjaga lautan yang diyakini masih hidup sampai sekarang. Jadi, kalau orang tanya sanad ilmu dari mana, cakap sahajalah dari Nabi Khidir a.s. supaya orang rasa gerun sedikit.
Kenyataan ini bukan suatu perkara yang ganjil. Nabi Khidir a.s. menurut mereka berada di mana-mana dan hanya orang tertentu sahaja yang boleh bertemu dengannya. Sudah tentu hanya yang ilmunya mumpuni dan bukan yang pas-pasan sahaja nak mengaku jumpa Khidir a.s.
Bukan sedikit orang yang terlibat dalam dunia pengubatan secara kampung [tradisional] mendakwa bahawa mereka bersahabat dengan Rijalul Ghaib iaitu makhluk yang berada di alam keghaiban dari kalangan wali-wali Allah.

WALI-WALI
Wali-wali Allah itu akan datang ketika seseorang itu memerlukan bantuan mereka. Rijalul Ghaib ini bolehlah dianggap macam sahabat setia yang boleh dipanggil agar datang untuk membentu sahabat ini melakukan sesuatu.
Dalam dunia amalan kebatinan Melayu, nama Rijalul Ghaib sudah sinonim bagi mewujudkan sanad ilmu yang mantap dan tidak diragui.
Sedangkan sekiranya sesiapa menyelidik Si Rijalul Ghaib itu siapa? Paling kurang itu adalah rahsia kerana ilmu ini tidak boleh didedahkan kepada umum kalau tidak berkepentingan.
Rijalul Ghaib bolehlah dianggap sebagai mitos, dongeng, atau bid'ah dalam usaha menguatkan sanad sesuatu ilmu.
Ada juga yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Rijalul Ghaib itu adalah wali-wali Allah, antara yang diketahui namanya Usturiya Ahlal Waqt, Atqiya, Nuqba, Abdal, Autad, Charth, Quttub dan Bulya Ibnul Mulkhan.
Nama-nama yang dikatakan sebagai ahli Rijalul Ghaib ini tidak sama di antara satu pengamal ilmu dengan pengamal ilmu yang lain. Ada yang bukan berstatus Rijalul Ghaib, tetapi telah dikelompokkan ke situ pula. Banyak yang menumpang atau istilahnya khadam sahaja. Inilah khadam yang dipanggil untuk menolong orang yang menjadi pengubat atau perawat.
Keistimewaan atau kelebihan seseorang berkawan dengan kelompok elitis Rijalul Ghaib setidak-tidaknya telah menaikkan imejnya di mata pelanggan yang tidak tahu apa.

JIN PUN WALI JUGA
Dalam hal ini kata orang, jin-jin biasa pun ikut tumpang sekaki nak jadi wali juga. Makhluk ini pun boleh memberitahu sesuatu yang dihajatkan orang yang berkehendak.
Bahkan, khadam-khadam ini ada yang biasa dipanggil atau dengan menghadiahkan al-Fatihah kepadanya.
Dalam bab seni mempertahankan diri, bukan tidak ada pesilat yang menggunakan Rijalul Ghaib. Makhluk yang entah bagaimana rupanya itu diseru untuk mendapatkan bantuan dari mereka.
Rijalul Ghaib [manusia lelaki yang tidak dapat dilihat] ini sebenarnya adalah dari kelompok jin. Bahkan yang banyak disangkakan sebagai Rijalul Ghaib itu adalah jin-jin biasa sahaja.
Tidak menghairankan kalau dalam hal kebatinan Melayu dulu, ada yang menyelitkan nama Asif bin Burkhia ketika bertawasul. Nama Asif ini ada kaitan dengan kisah Nabi Sulaiman Allahissalam dengan Puteri Balqis, iaitu kisah bagaimana Ifrit boleh membawa singgahsana Puteri Balqis sebelum Nabi Sulaiman  sempat berdiri dari tempat duduknya.
Tetapi ada lagi orang yang lebih hebat, boleh pindahkan singgahsana itu sebelum mata Nabi Sulaiman berkedip [baca al-Naml: 40]. Lelaki yang berilmu ini yang berpengetahuan tinggi kerana mendalami Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa Allahissalam. Dialah yang boleh bawa singgahsana dari Saba ke pangkuan Nabi Sulaiman.
Ahli tafsir mengatakan dia adalah Asif bin Burkhia. Ada yang mengatakan dia jurutulis kepada Nabi Sulaiman, dia seorang wali Allah yang banyak melakukan perkara-perkara mencarik adat, hasil dari kedua belah tangannya.

JAMPI
Itu watak yang sebenar sebagaimana diceritakan di dalam al-Qur'an. Akan tetapi apabila sampai kepada pencipta ilmuan hikmah, berkat mengamalkan ayat-ayat, doa-doa atau mantera rekaan, terciptalah satu jampi yang menggunakan nama Asif bagi tujuan yang menyimpang.
Mungkin ada yang mencangkung bawah pokok ara di tengah malam, atau dekat kubur lama, mereka pun baca jampi:
"Asif Borhaya! 
Hulubalang Nabi Allah Sulaiman, 
dia yang mengangkat istana Balqis, ikutlah aku!
Resap ke dalam tubuh badanku
Engkau beritahu aku
Nombor empat angkat yang tepat dengan segera
Kalau tidak engkau akan disumpah
oleh kalimah tauhid, kalimah Rasul, 
Fatihah Rasulullah, Nabi Allah Sulaiman."
Jampi ini kalau diteliti seolah-olah memaksa Asif memberikan nombor yang tepat [untuk yang kaki nombor] sebab kalau tidak nanti Asif akan disumpah.
Jampi yang dipaparkan di atas ini boleh diubahsuai dalam bentuk apa pun. Sesuai dengan hajat seseorang, tak semestinya menagih nombor ekor. Mungkin ada yang menjampi untuk memaksa jin Asif bawakan selonggok emas atau duit kertas! [ini kerja orang mendulang duit].
Kita tidak tahu bagaimana ada orang cerdik mencipta rantaian ilmu yang dikaitkan dengan orang berilmu seperti kisah pemindahan singgahsana Puteri Balqis itu.
Di antara Rijalul Ghaib yang disebut-sebut adalah Asif Borhaya [namanya diubah dari nama sebenarnya seperti yang dinyatakan dalam kitab tafsir].

LELAKI MISTERI
Rijalul Ghaib ini boleh jadi sesiapa sahaja. Umpamanya ada seorang wanita yang selalu mengiklankan dirinya sebagai penyedia benda pengasih dan untuk mendapatkan kekayaan sedikit.
Dia mendakwa "belajar ilmu" di kaki Gunung Bromo selama 11 tahun, kemudian puasa ngebleng 999 hari! Ngebleng ini apa dia? 
Iaitu melakukan ritual dalam keadaan tidak boleh makan, minum, beredar dari tempat tapaan dan melakukan hubungan seks. Selain itu kurangkan tidur, kena ikut aturan itu sungguh-sungguh. Mestinya di dalam sebuah rumah atau pondok di lereng gunung, bukan bawah pokok tua. Siapa sanggup ngebleng begitu sampai dekat seribu hari? Dia juga bersahabat dengan Rijalul Ghaib yang bernama Mbah Semarang.
Mbah ini sudah lama meninggal. Walaupun sudah meninggal, sebagai rijal yang ghaib, Mbah Semarang boleh dipanggil dan memberikan ilmu kepadanya. Jin yang dipanggil itu boleh mengaku dia Mbah atau Tok atau Tan Sri atau Tun pun!
Akhirnya, kita dapati Rijalul Ghaib adalah suatu upaya pihak yang berkepentingan untuk mengabsahkan ilmu yang dimiliki meskipun sanad ilmu itu berpunca dari sesuatu yang tidak jelas, tidak diyakini, bahkan semacam dibuat-buat sahaja.
Rijalul Ghaib adalah jawapan yang mematahkan soalan berikutnya. Ia dari wali-wali ghaib. Sebab itulah jangan ditanyakan lebih dari itu, cukuplah sekadar dinyatakan bahawa ilmu ini dipelajari dari bantuan Rijalul Ghaib yang ada kaitan dengan Nabi Khidir Allahissalam. []

5 comments:

  1. Mana boleh para para wali meresap dalam bad an orang.Kebanyakkan yang meresap dalam bad an orang ada lah jin,syaitan dan iblis.

    ReplyDelete
  2. Itulah padahnya kalo nuntut ilmu tanpa sanad yang jelas sambung menyambung hingga baginda rasulullah. Berwalikan setan. Istidraj disangkakan karomah maunah.

    ReplyDelete
  3. Bismillahirrahmanirrahim
    Salam..pada tahun 2004 disebuah negeri Malaysia puluhan insan termasuk saya telah menyaksikan satu kejadian yang sungguh menakjubkan pada pendapat saya. Kalaulah foto yang mereka ambil bisa ditayangkan disini. ..namun Allah ternyata tidak membenarkan ia disebarkan. cuma disini saya hanya mau mendapatkan pandangan para sahabat disini.Pada hari tersebut seorang lelaki yang sedang menderita kerana santau besi bat di baringkan ditengah rumah dlm keadaan begitu menyedihkan tubuhnye kurus kering seperti kerangka.Sanak saudara juga jiranjiran ramai sekali...ada yang membaca yassin dan membantu meringan keluarga pesakit.Ada seorang wanita tiba yang kami di fahamkam ahli keluarga juga.wanita tersebut duduk bersila dgn tgn dirapatkan kedada.beberapa minit kemudian kami tergamam dgn detikan camera dan flash handphone penziarah. .wanita itu sambil berzikir dilihat perlahan lahan terapung setinggi lebih kurang sekaki. Dia sedang melakukan perawatan untuk pesakit. .saya akan sambung lagi kisah ini selepas mendapatkan komen dari sahabat sahabat semua untuk setakat ini...DEMI ALLAH YANG MENGIZINKAN KEJADIAN INI ADA LAH BENAR.

    ReplyDelete
  4. Bismillahirrahmanirrahim
    Salam..pada tahun 2004 disebuah negeri Malaysia puluhan insan termasuk saya telah menyaksikan satu kejadian yang sungguh menakjubkan pada pendapat saya. Kalaulah foto yang mereka ambil bisa ditayangkan disini. ..namun Allah ternyata tidak membenarkan ia disebarkan. cuma disini saya hanya mau mendapatkan pandangan para sahabat disini.Pada hari tersebut seorang lelaki yang sedang menderita kerana santau besi bat di baringkan ditengah rumah dlm keadaan begitu menyedihkan tubuhnye kurus kering seperti kerangka.Sanak saudara juga jiranjiran ramai sekali...ada yang membaca yassin dan membantu meringan keluarga pesakit.Ada seorang wanita tiba yang kami di fahamkam ahli keluarga juga.wanita tersebut duduk bersila dgn tgn dirapatkan kedada.beberapa minit kemudian kami tergamam dgn detikan camera dan flash handphone penziarah. .wanita itu sambil berzikir dilihat perlahan lahan terapung setinggi lebih kurang sekaki. Dia sedang melakukan perawatan untuk pesakit. .saya akan sambung lagi kisah ini selepas mendapatkan komen dari sahabat sahabat semua untuk setakat ini...DEMI ALLAH YANG MENGIZINKAN KEJADIAN INI ADA LAH BENAR.

    ReplyDelete