Sunday 27 January 2013

BUAT HELAH, NABI KHIDIR FIKSYEN

ADA orang yang hobinya mencari dukun atau yang setara dengannya.
Ada berbagai cara pak dukun menambah pelanggannya. Ada yang tampal iklan di perhentian bas, teksi, batang pokok, atau dinding bangunan kedai yang jadi tumpuan ramai.
Ada yang letak iklan di masjid atau surau. Orang pun tak perasan bila iklan berukuran setengah A4 diletakkan di sudut surau atau masjid.
Ada yang selitkan pada viper kereta, lori, termasuk selit pada motosikal.
Yang nak glamor, bikin iklan dalam akhbar tabloid atau majalah yang berkaitan dengan misteri dan mistik. Atau "kalau diizinkan" jadi tetamu dalam program TV, meski beberapa minit siaran, ia sudah boleh dijadikan modal iklan. Biasanya ditulis: SEPERTI YANG PERNAH DIPAPARKAN DALAM ... TV3 misalnya.
Jadi, macam-macam cara nak popularkan diri.
Setelah seseorang bersila depan pak dukun tadi, biasanya datanglah orang lain yang ikut bersila. Ada dukun Khamis malam Jumaat. Inilah time tempat mereka padat, kalau terlampau ramai sampai ada nombor giliran.
Memang dahsyat.
Sedang semuanya duduk menunggu giliran, ketika pak dukun melayani seseorang, tiba-tiba muncul seorang tua berjubah serba hijau. Semua orang memandang ke arah orang tua berjubah yang datang memberi salam.
Lelaki berjubah itu maju ke depan dan terus mendekati pak dukun yang sedang melayani tetamunya.
Lelaki berjubah duduk rapat dengan pak dukun. Dia membisikkan sesuatu. Kelakuan pelik lelaki itu menyebabkan para hadirin tercengang.
Dari kelakuan lelaki berjubah itu, jelaslah dia adalah seorang pengemis!
Malam-malam ketika kedatangan tetamu pun ada pengemis ya?
Pak dukun menyerahkan wang kepada pengemis itu dengan disaksikan hadirin.
Pengemis tua itu kemudian keluar dari situ. Memberi salam sekali lagi. Haruman wangi semerbak ketika pengemis itu datang.
"Tahukah kamu semua, siapa pengemis yang datang tadi?" soal pak dukun kepada orang yang hadir.
Sudah tentu tak ada sesiapa berani bersuara melainkan menunggu jawapan dari pak dukun.
"Lelaki yang menyamar pengemis tadi adalah Nabi Khidir a.s. Syukur alhamdulillah, bertuah kita malam ini kerana kita dikunjungi seorang lelaki yang mulia, lelaki berjubah hijau!"
Pak dukun tidak mahu cerita lagi tentang lelaki berjubah itu. Cukuplah sekali sahaja dia beritahu begitu.
Setelah itu orang yang hadir, yang sedang bersila menunggu giliran, termasuk yang duduk di luar rumah tunggu giliran pun tumpang ingin tahu. Mereka bercerita tentang Nabi Khidir a.s.
Jadi, di antara yang hadir itu ada yang tahu dan ada yang tak tahu apa pun tentang sosok Nabi Khidir tadi.
Adakah lelaki berjubah itu Nabi Khidir a.s.?
Bagi yang memahami dunia perdukunan, dia akan kata, "Memang lelaki itu namanya Khidir, tetapi bukan Nabi Khidir yang sezaman Nabi Musa a.s. itu!"
Kalau orang tanya, siapa yang datang meminta sedekah tadi? Dia adalah seorang peminta sedekah bernama Khidir, Pak Khidir!
Akan tetapi pak dukun memberitahu hadirin, bahawa dia sendiri tidak kenal siapa lelaki yang datang itu. Dia minta sedikit wang dan kemudian pergi dari situ.
Bagaimana pak dukun tahu, lelaki berjubah itu Khidir? "Dia bisikkan begitu ke telinga saya tadi."
Bukan setakat itu, Khidir juga membisikkan ilmu yang berguna untuk membantu sesiapa sahaja yang berhajat pada malam itu.
Semua orang gembira. Beruntung, bertuah dan macam-macam lagi tanggapan.
Sungguh beruntung kalau seseorang itu dapat berkonsultasi dengan pak dukun yang mendapat ilmu dari Nabi Khidir.
Selain nama Khidir, ada juga yang menyebut nama tokoh lain, umpamanya Wali Allah!, Tuk Ayah, Tuk Wali, Tuk Serban Hijau - maksudnya pengemis tadi selain mendakwa sebagai Khidir [tak semestinya Nabi] ada juga yang mengaitkan dengan tokoh spiritual ghaib. Maksudnya orang-orang yang sudah meninggal konon datang bertemu dengannya malam itu.
Dengan lakonan begitu, imej dukun tadi sudah meningkat di mata para tetamu yang hadir kalau kebetulan semua yang datang itu serba "kekurangan ilmu" -- maka gula-gula ilmu itu akan menjadi.
Keyakinan orang yang berhajatkan ilmu kian meningkat. Apa lagi kalau pak dukun bikin cerita, bukan setakat berjumpa secara nyata dengan penyamaran begitu, lelaki tadi juga ditemui dalam mimpi.
Jadi, sumber ilmu yang diberikan kepada orang yang berhajat malam itu adalah ilmu-ilmu yang diperoleh melalui mimpi dan bisikan mistik dari tokoh yang ghaib itu.
Begitulah serba-serbi dalam dunia perdukunan di Nusantara ini. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment