Sunday 13 January 2013

PERMINTAAN PENGARAH GATAL

SEBUAH akhbar tempatan hari ini melaporkan di halaman depan tentang kenyataan seorang pelakon yang mendakwa ada pengarah gatal yang "meminta" sesuatu darinya jika ingin mendapatkan posisi tercantik dalam dunia lakonan.
Paparan ini diharapkan dapat mencegah kemungkaran, jika tidak begitu, kenapa ia perlu dipaparkan di muka depan, padahal isu seperti ini sudah lapuk, sejak tahun 80-an pun ada cerita yang sama.
Maknanya dalam dunia lakonan cerita macam ini sudah basi. Bagi mereka yang ketagih mencari populariti dalam dunia lakonan atau nyanyian, mereka memang berdepan dengan masalah kemoralan.
Anehnya, akhbar berkenaan tidak segan silu memaparkan pelakon yang berpakaian menjolok mata bagi sebuah cerita sensasi yang diharapkan dapat mengundang simpati pembaca.
Sepatutnya, pihak media perlu bijak menyediakan tajuk yang memikat dan gambar yang bersesuaian dengan apa yang hendak diketengahkan.
Paparan itu seperti suatu lemparan kritik terhadap sikap pengarah lelaki, meski tidak disebut siapa dia, dalam perkara ini pembaca sudah diperangkap dengan isu moral. Ada rasa simpati kepada pelakon [namanya pun tidak menyerlah dalam dunia lakonan] kerana dakwaannya itu.
Tetapi, cara akhbar berkenaan memaparkan gambar pelakon berkenaan dengan pakaian itu secara tidak langsung telah menggambarkan watak sebenarnya. Jadi, jika bersandarkan faktor luaran ini, ia tidak perlu diisukan lagi.
Pembaca tentu tahu, bahawa gambar yang dipaparkan di halaman depan adalah gambar dalam koleksi pihak media. Terpulang nak siarkan gambar mana satu. Tetapi kenapa pihak akhbar berkenaan sengaja memilih gambar yang tak sesuai bagi suatu aduan kemoralan?
Kadang-kadang aneh, kita lupa kerana asyik hendak memberitahu kepada pembaca bahawa telah berlaku sesuatu yang tidak kena dalam industri drama tempatan, kelakuan setengah pengarah atau seorang dua perlu dibetulkan. Sayangnya nak betulkan bagaimana jika ketika pihak media menjangka akan dapat membanteras kemungkaran dalam industri drama, mereka lupa kemungkaran dalam bentuk lain pula muncul dalam media cetak.
Paparan itu akan mengundang banyak tafsiran, bahkan berganda-ganda lagi. Ia membawa fitnah kepada gambar yang dipaparkan tanpa disedari. Andainya yang dipaparkan itu gambar pelakon berkenaan menutup aurat, maka ia kenalah dengan dakwaan yang dipaparkan itu.
Media cuba berperanan  membaiki kerosakan moral seseorang, tetapi kaedah paparannya telah merosakkan moral pembaca secara tidak langsung [lihat KOSMO Ahad, 13/1/13].
Jadi jangan fikir mudah menjaga bab syuhbat seperti ini. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment