Thursday 10 January 2013

SANGGUP JADI GENDERUWO GARA-GARA CINTA

Lupakan sejenak kisah perhimpunan itu. Kerana ia akan berlangsung juga.
Ada sebuah cerita menarik yang saya baca dalam sebuah majalah kemisterian.
Iaitu kisah seorang lelaki yang mungkin telah menemui seseorang dukun atau pawang yang ada kepandaian berkomunikasi dengan makhluk halus sejenis genderuwo.
Nama genderuwo ini pernah dipaparkan dalam akhbar KOSMO Ahad, tahun lepas. Sila semak kalau ada. Dan nama genderuwo ini sudah banyak kali saya paparkan dalam kisah misteri.
Lelaki ini mahu mendapatkan kesenangan, maksudnya berniaga walaupun kecil-kecilan tetapi hasilnya lumayan, sekalipun tak jadi jutawan!
Maka kepada dukun yang mahir itu dia mengadukan hal.
Pak Dukun mengesyorkan agar dia belajar ilmu dengan cara berkahwin rahsia dengan makhluk halus jenis genderuwo.
Genderuwo ini kalau ikut cerita bukanlah makhluk halus yang cantik, wajahnya menakutkan, menyeramkan. Akan tetapi bagi sesiapa yang sudah ada password untuk mengadakan kontak secara langsung, genderuwo yang aduhai seram itu jadi begitu cantik, tinggi lampai, dia datang tanpa busana lengkap, payu daranya terbuka, dan hanya berpakaian bahagian bawah menutup seadanya. Maklum mereka dari alam lain, bukan alam manusia.
Si lelaki yang berkawan dengan makhluk perempuan jin ini dikatakan suka duduk dalam gua di sebuah hutan. Barangkali terpengaruh dengan cerita orang dulu duduk bertapa, sebab kalau mengikut ajaran daripada leluhurnya memang ada macam-macam pertapaan karut yang boleh diamalkan.
Yang ini dia bertapa untuk mendapatkan kesenangan duniawi.
Maka ketika bertapa itu dia semacam kebingungan dan linglung sekali, muncul seorang perempuan yang melemparkan senyuman menawan.
Dia pun membalas senyuman itu. Akhirnya berkenalan.
Tertarik dengan kecantikan makhluk itu, lelaki yang bertapa itupun bersetuju untuk berkahwin dengannya.
Akan tetapi apabila rancangan kahwin itu diketahui oleh keluarga makhluk halus itu, mereka menentang. "Mana boleh kamu kahwin dengan manusia biasa?" tegur ibunya.
Rupa-rupanya, perangai makhluk halus pun ada yang seperti manusia.
Dia merengek dan merengek, kedua ibu bapanya tetap tidak membenarkan dia kahwin dengan manusia biasa.
"Nanti timbul masalah besar!" kata ibunya memberi amaran.
Macam kisah wayang, percintaan makhluk halus dengan lelaki biasa ini berlangsung terus.
Dalam diam-diam, lelaki ini mengajak perempuan hantu itu berkahwin lari.
Bukan nikah di Siam sana pun, jadi mereka mana ada isi borang, siapkan gambar, tukar alamat dan sebagainya.
Tak perlu.
Ia langsung jadi.
Makhluk halus dari hutan tebal itu dapat dibawa pulang ke rumah.
Tidak siapa pun nampak lelaki ini bawa perempuan lain ke rumah. Hantu genderuwo ini ditempatkan di sebatang pokok.
"Awak relaks di situ, tunggu aku balik," itulah pesan sang suami.
Lelaki yang kahwin dengan hantu genderuwo itu sudah beristeri dan sudah ada anak.
Dia hanya berniaga ala kadar di depan sebuah supermarket.
Namun, dalam diam-diam dia dibantu oleh isteri barunya dari keturunan makhluk halus.
Tidak ada siapa nampak pun, ia berada di alam lain tapi ada di situ. Dia sentiasa menemani suaminya berniaga.
Keluarga lelaki itu tidak tahupun yang si fulan ini sebenarnya sudah ada dua isteri, isteri pertama manusia biasa, dan isteri kedua makhluk jin yang orang panggil genderuwo.
Apa padanan genderuwo di Malaysia masih tidak dapat dicari, sebab kita hanya kenal orang bunian sahaja. Atau kita gabungkan menjadi genderuwo bunian.
Yang menjadi pelik kepada isteri si fulan ini adalah kegemaran suaminya bercakap dalam bilik dengan seseorang, tetapi setelah diintai tak ada sesiapa. Nak kata ada handphone canggih pun tidak.
"Wah, sah, suamiku sudah sakit mental," kata sang isteri menuduh.
Keanehan memang ketara kepada orang yang berkahwin dengan makhluk tak tentu hala ini. Dia jadi macam orang tak betul. Tersengih tak tentu fasal atau ketawa. Itu tindakan spontan kerana dia sedang berbual-bual dengan isterinya di alam misteri.
Jangan tak tahu.
Disebabkan kelakuannya aneh, dan misteri kahwin syaitan itu tidak diketahui pun, sebab tak ada bukti apa, akhirnya keluarga isteri lelaki ini undang Pak Dukun untuk buat scan mana tahu suaminya sudah dirasuki syaitan dari hutan?
Bukan isterinya tidak tahu, hobi hujung minggu sang suami adalah masuk hutan untuk duduk menyemedi. Ini bukan ajaran dalam agama. Ia adalah rekaan golongan tertentu sahaja.
Berdasarkan diteksi daripada pak dukun yang kononnya pintar, maka ada bisikan halus, yang mengatakan sesuatu. Suami wanita ini telah dirasuki jin perempuan.
"Jin perempuan jatuh cinta kepada suamimu, dan mereka ingin berkahwin di alam mereka," ujar Pak Dukun.
"Jin perempuan?"
"Ya, sebab itulah kelakuan suamimu aneh-aneh!"
"Habis bagaimana mahu memisahkannya?"
"Akan aku cuba lakukan kalau boleh, kalau tidak..."
"Kalau tidak bagaimana?"
"Itulah yang susah nak cakap!"
"Kenapa?"
"Ia menyebabkan suamimu jadi tak menentu sampai bila-bila!"
"Jadi?"
"Terimalah seadanya, biarkan dia kahwin dengan perempuan jin itu selagi tidak menyusahkan kamu."
Dan dalam diam-diam, si isteri lelaki itu memberitahu Pak Dukun agar dapat memisahkan pasangan manusia biasa dengan jin perempuan itu. Kalau boleh. Kalau tak boleh, apa nak buat.
Caranya?
"Aku kena bawa suami kamu masuk hutan, buat rundingan dengan keluarga mereka atau dengan perempuan itu dulu, kalau tak setuju bercerai bagaimana?" kata Pak Dukun.
"Biasanya bagaimana?"
"Biasanya, kalau lelaki kahwin dengan syaitan begini, dia kena pilih salah satu, cerai atau dia kena jadi syaitan juga," terang Pak Dukun lagi.
Masa terus berjalan. Isteri lelaki itu dapati suaminya telah jauh berubah. Dia berkelakuan macam orang tak betul. Sakit mental. Tersengih dan senyum tak tentu fasal. Ada masanya normal.
Pak Dukun cuba pujuk lelaki itu agar berpisah dengan isterinya yang berketurunan genderuwo bunian itu. Tapi dia enggan. Bagi lelaki itu, cerai atau tidak, tak ada bezanya. Dia memang perlukan perempuan jin itu.Lagipun dia memang amalkan persugihan jin.
Kahwin misteri ini menyebabkan perniagaannya berjalan lancar. Perempuan jin itu konon membantu dia berniaga. Barang tak seberapa tetapi perolehan bulanan boleh tahan.
Soal kewangan langsung tak timbul, hanya soal hati yang jadi masalah.
Isteri mana yang tak bimbang melihat keadaan suami macam orang bingung.
Akhirnya, dukun dapat pujuk lelaki itu masuk ke hutan semula. Tujuannya nak mengadakan rundingan dengan perempuan misteri itu.
Walaupun dia boleh lepak di atas pokok dekat rumah, namun makhluk ini tetap balik ke kampung halamannya dalam hutan.
Sudah ada pakatan sulit. Kalau keadaan begitu berterusan, si isteri merelakan suaminya ikut perempuan syaitan itu. Itu lebih baik, kerana suaminya melebihkan si perempuan jin itu. Biarlah perniagaan itu isterinya sahaja yang uruskan. Berilah bantuan secara ghaib sahaja.
Akhirnya, atas bantuan Pak Dukun pintar, lelaki itu diajak ke hutan. Ada gua tempat mereka berdua kerap dating dan menari-nari macam pelakon Hindustan di malam hari.
Hari itu keadaan lelaki yang aneh itu begitu lemah. Dia tak bercakap apa. Diam sahaja dengan kedua matanya melotot macam orang bingung.
Di hutan itu dia dibaringkan di atas batu.
Pak Dukun pun sediakan bunga rampai. Kemenyan hantu pun dibakar konon untuk membuka tabir ghaib rendahan.
Kedengaran suara gemerincing gelang kaki.
Seorang perempuan muncul. Perbicangan dibuat. Pak Dukun usulkan agar lelaki itu ceraikan perempuan jin itu. Setelah diam lama, si lelaki memilih untuk meneruskan perkahwinan misteri itu.
"Aku tak akan ceraikan dia, aku sanggup tinggal bersama isteriku ini meski di dalam hutan yang tak ada apa-apa," kata lelaki itu dalam suasana kerasukan.
Lelaki itu telah ditutupi dengan kain warna hitam. Itulah syaratnya. Dia baring terlentang dan mata pejam. Apa yang ditanyakan dia boleh jawab.
Ketika perempuan misteri itu muncul di dalam gua yang pengap itu, Pak Dukun langsung melakukan ritual selanjutnya.
Isteri lelaki itu sudah berpesan, terpulang kepada suaminya mahu memilih jalan yang nyata atau jalan yang tak nyata.
Disebabkan dia sudah nekad memilih untuk meneruskan hubungan dengan perempuan jin, maka Pak Dukun meneruskan ritual selanjutnya.
Pak Dukun memanggil wanita jin itu dan dengan kemampuan ilmunya yang serba rahsia, dia membacakan mantera pemanggilan dan penjadian. Asap berkepulan. Tidak jelas apa yang terjadi.
Seketika, pandangan jadi berpinar. Baik bagi Pak Dukun atau dua lelaki yang merupakan ahli keluarga lelaki yang terbaring itu.
Tiba-tiba ada haruman yang berbeza sekali baunya. Entah haruman apa, bukan bunga tanjung, bukan kasturi, bukan gaharu dan bukan sultana.
Lantai gua itu tiba-tiba menjadi sepi. Di depan Pak Dukun hanya ada kain warna hitam yang terletak. Asap kemenyan hantu tinggal baki. Keadaan sunyi sekali.
Ke mana lelaki yang berbaring tadi?
Dan mana perginya perempuan jin tadi?
"Biarlah, abang kamu telah memilih untuk tinggal di dunia jin, dia nak ikut isterinya dalam hutan. Isterinya pun dah setuju, apa nak buat!" kata Pak Dukun seperti hampa kerana gagal memujuk lelaki itu.
Kini, kata Pak Dukun, lelaki itu telah menjadi kajiman, dia menyertai isterinya di alam lelembut atau alam makhluk halus.
Sementara isteri yang ditinggalkan di alam nyata terpaksa meneruskan perniagaan yang ala kadar. Hanya dalam diam-diam konon, "suaminya" tetap datang untuk mengirimkan wang dari dana mistik ghaib.
Beginilah bentuk angan-angan yang orang idamkan apabila dapat mengadakan kolaborasi dengan makhluk halus. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment