Friday 18 January 2013

MILIKI AL-QUR'AN SONGSANG?

TAZKIRAH sebelum solat Jumaat tadi biasa-biasa sahaja.
Walaupun biasa, ada cerita menarik yang ustaz ceritakan untuk dijadikan teladan. Pokok persoalannya ialah, bahawa kita melihat sesuatu itu dari luaran sahaja.
Kalau seseorang itu kelihatan berkelakuan baik, maka orang anggap dia memang baik. Elok diteladani. Kalau seseorang itu rajin pergi solat ke masjid umpamanya, orang tidak tahu apa hobi lain orang yang rajin solat itu.
Begitu juga orang yang hobinya lepak di gerai makan setiap hari, gebang dari pagi sampai tengah hari, sambung ke petang, dan ke malam, maka orang akan kata, apa nak jadi si fulan ini, habiskan masa duduk santai, kenapa tidak pergi ke masjid?
Biasanya orang mengukur baik buruk seseorang daripada penampilan harian. Kalau dia rajin berjubah, berkupiah dan gemar majlis ilmu, maka perwatakannya sudah diketahui.
Ada juga yang ustaz kata, serban bukan main besar [macam Mullah] tetapi dalam bab menginfakkan harta agak kedekut. Dalam bab tertentu ada kekurangannya.
Mana ada orang yang serba sempurna, kata ustaz.
Begitu juga ada orang yang rajin pergi masjid kerana kebetulan dia rapat dengan pegawai masjid, kalau tak jenguk masjid nanti dikata apa pula. Maka kerajinannya tiada tara.

HOBI PELIK
Hanya ada hobi yang orang tak tahu, dia suka kepada benda-benda tahayul, simpan benda tak tentu hala, dan yang memelikkan dia ada menyimpan satu pusaka dari orang tuanya dulu.
Pusaka apa yang menjadi simpanan si fulan itu?
Benda pusaka selalunya dirahsiakan. Dibungkus dengan kain hitam, kuning atau merah. Tidak ada sesiapa dibenarkan tengok apa bendanya.
Itulah yang hendak dikisahkan oleh ustaz. Ketika pemilik benda pusaka itu meninggal, keadaan di kuburan begitu kecoh.
Kekecohan terjadi kerana tukang gali kubur sukat tak betul. Walaupun mayat sudah disukat berapa tingginya, siap guna tali rafia lagi, apabila nak ditanam, liangnya tidak muat. Kenapa? Terjadilah perbalahan sukat tak betul dan macam-macam.
Keadaan di luar sudah mendung. Hujan bila-bila masa sahaja. Imam sudah siap sedia nak baca talqin. Mayat belum sempurna juga gara-gara lubang kubur tak cukup sukatan.
Itulah kes pertama yang dihadapi penggali kubur. Mereka bertelagah. Akhirnya dikorek bahagian liang lahadnya agar mayat dapat dimasukkan. Masa terus berjalan, tak boleh lengah, nanti hujan turun.
Oleh kerana masalah salah sukat lubang kubur keadaan jadi kecoh. Masam muka pun ada sebab dituduh macam-macam, cuai, sukat tak betul, tak ada pengalaman dan macam-macam.
Akhirnya mayat dapat disempurnakan.
Selepas upacara pengebumian, semua orang balik ke rumah. Tetapi cerita bab lubang kubur ini sudah jadi bahan fitnah. Tahulah mulut tidak berjahit.
Maka, salah seorang yang rapat dengan keluarga si mati telah menemui isteri si mati. Dia mahu selidik apa punca yang menyebabkan susah sangat nak tanam mayat tadi?
Mungkin dia sudah banyak baca cerita misteri tentang mayat. Bukan tidak ada kaset cerita hal-ehwal mayat dan perkuburan yang disembangkan oleh ustaz dalam ceramah.
Ada bahan ceramah yang dijadikan laporan majalah misteri, laporan akhbar tabloid dengan tajuk menakutkan:

MAYAT JADI BABI
MAYAT BERULAT
MAYAT BERBAU BUSUK
LIANG LAHAD ADA API
ULAR BESAR TUNGGU MAYAT

Pendeknya ia bergantung kepada kekreatifan pengarang tabloid atau majalah berkenaan.
Ada juga cerita sejengkal jadi sedepa nak bagi sedap orang baca.
Jadi orang tadi jumpa isteri si mati dan bertanya apa kegemaran suami?
Tidak ada apa, biasa-biasa sahaja.
Dia ada simpan apa-apakah macam benda pusaka dan sebagainya?
Tidak ada. Suaminya bukan suka benda mistik macam keris, pedang, tali orang gantung diri atau tali kain kafan.
Habis kenapa ketika urusan pengebumian begitu bermasalah tadinya?
Si isteri berubah muka apabila didesak begitu.
Orang itu sudah syak, mesti ada sesuatu yang si mati simpan dan perlu dicari kemisteriannya.
Akhirnya, barulah kakak tadi teringat. Suaminya ada simpan kitab tua. Kalau disebut kitab tua, memang semua orang suka nak tengok. Nak tengok apa tajuknya, berkenaan apa kitab itu.

AMAL
Kalau ada ilmu bagus dalamnya bolehlah dipelajari. Kenapa nak simpan ilmu macam itu sekali?
Setelah diambil dan dibuka, orang itu terkejut. Dia sendiri tak faham kitab apa yang dipegangnya. Isteri si mati kata, pada masa tertentu suaminya membaca kitab itu untuk beramal.
Dia tuk dukunkah? Tidak juga.
Habis boleh ada kitab tua macam itu? Itu kitab tua dari orang tua yang sudah meninggal. Jadi, si mati memang tidak tahu menahu asal-usul kitab tua itu.
Menurut ustaz yang bagi tazkirah, punca utama masalah di perkuburan tadi adalah kerana si mati ketika hidup pernah menyimpan dan beramal dengan kitab tua.
Kitab tua itu memang tak boleh disimpan, sebab di dalamnya berisikan ayat-ayat al-Qur'an yang songsang.
Maksudnya?
Ayat al-Qur'an itu ditulis tangan oleh orang dulu dalam bentuk menyongsang.
Bukan tidak ada pengamal ilmu yang mendakwa amalkan apa yang mereka sebut sebagai QULHU SONGSANG.
Mengikut kajian, perbuatan menyongsangkan ayat al-Qur'an merupakan kaedah ilmu kebatinan Melayu/Jawa.
Dalam tradisi kekarutan mereka ini ada yang disebut DOA QUL HUALLAH SONGSANG -- iaitu amalan membaca surah al-Ikhlas dari belakang ataupun menyongsang.
Nak mudah faham, ini ayat yang sebenar:
"Ah Cai suka membaca buku cerita." Ia disongsangkan menjadi begini: "Cerita buku membaca suka Ah Cai."
Kenapa mereka mencipta perkara bid'ah begini?

HALAU SYAITAN
Menurut seorang pak dukun, kalau ayat itu disongsangkan ia boleh menghalau syaitan, menghalau iblis, kalau dibaca menyongsang begitu, sihir pun tak boleh lekat.
Ini fatwa dari mana?
Menurut Amran Kasimin [dalam Sihir Suatu Amalan Kebatinan, UKM, 2009, hal.202-205] ada guru agama yang juga jadi imam masjid yang amalkan Qulhu Songsang. Ia dipelajari dari seorang guru di Jawa. Apa tujuannya? Ya, nak elakkan gangguan syaitan dan iblis.
Penyongsangan ini memang membuatkan syaitan dan iblis tertawa gembira dan orang yang amalkan ayat itu elok jangan diganggu.Biarkan dia sesat dengan menyongsang begitu.
Menterbalikkan ayat-ayat al-Qur'an memang bukan amalan orang Nusantara sahaja, bahkan di Timur Tengah pun ada. Ini berdasarkan kajian-kajian para ulamak dan termuat dalam kitab-kitab mereka. Ibnu Taimiyah juga ada menyebut soal ayat songsang ini [di dalam kitabnya Iydahu ad-Dillalah fi Umum ar-Risalah].
Isu begitu sukar nak tanam mayat yang diceritakan oleh ustaz tadi berpunca daripada si mati yang dikatakan telah mengamalkan ilmu kebatinan dan membaca ayat-ayat al-Qur'an secara menyongsang atas alasan tertentu yang diperoleh dari guru "sejatinya" -- dan pelajaran yang boleh diambil dari cerita ustaz tadi, kita kena jauhkan diri dari mengamalkan ilmu yang tidak tentu arah, tak tahu dari mana puncanya. Kalau buat juga, dikhuatiri akan berlaku fitnah seperti mana cerita di kuburan tadi. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment