Thursday 17 January 2013

PUJA KUBUR, ADA LAGI KE?

Kita tak ada dengar pun orang pergi kubur untuk buat ritual tertentu. Tak pernah dengar, kalau pada 10 Muharam orang berduyun-duyun berkumpul di kawasan kubur, bawa makanan, makan ramai-ramai dan ada majlis baca doa dan sebagainya. Semua ritual itu kalau ada pun hanyalah amalan turun temurun, jadi ikutan, jadi budaya --- tak kurang juga ada yang anggap dengan mengamalkan ritual itu seseorang sudah dianggap insan bertaqwa menurut pandangan mereka.
Sesiapa juga yang terdidik di kalangan masyarakat yang biasa mengadakan upacara tertentu pada hari tertentu, maka ia akan jadi ikutan di kemudian hari.
Di tempat kita tidak ada orang buat ritual macam beri makanan kepada hantu di laut, di gunung atau di paya. Cerita ini dianggap dongeng silam yang sudah pupus. Tak ada orang buang ancak lagi, tak ada orang buat semah pantai. Semua perbuatan orang jahiliyah lokal itu sudah dibanteras, mereka sedar bahawa upacara itu adalah amalan paganisme. Jadi, buat apa dipertahankan sekaligus ia ada bobot budaya.
Seingat kita, amalan memuja kubur ini biasanya hanya berkaitan dengan tempat yang dianggap keramat. Sudah tentu, nama-nama tempat yang ada kaitan dengan keramat pernah pada suatu ketika dulu memberi gambaran terhadap keyakinan dan kepercayaan terhadap keramat. Itu yang melahirkan nama Datok Keramat.
Di masa silam, bukan tidak ada orang kita yang menziarahi kubur yang dipercayai sebagai keramat. Antara yang kerap disebut orang ialah Kubur Mak Bidan Tetek Lanjut di Taiping; kubur Tuk Temong di Temong, Kati, Kuala Kangsar, Perak dan kubur yang ada di Pulau Besar, Melaka.
Selain itu ada juga orang sebut penziarahan terhadap kubur-kubur lain seperti di Georgetown, Pulau Pinang; perkuburan di Kota Tinggi, Johor; perkuburan di Tanjung Tuan atau Sungai Udang, Negeri Sembilan. Tak kurang hebatnya perkuburan di Jugra atau di kawasan makam lama Bukit Melawati, Kuala Selangor [termasuk makam Anak Dara Tanjung Keramat].
Bagaimana kubur Bidan Tetek Lanjut itu begitu popular di kalangan umat pada zaman dulu?  Tidak diketahui siapa wanita tua itu walaupun profesinya adalah bidan kampung. Di zaman dulu, bidan kampung kebanyakannya menguasai berbagai ilmu berkaitan dengan jin. Sebutlah ilmu apa sahaja, ada kaitannya dengan kerja bidan kampung. Entah kebetulan atau label negatif, sebenarnya zaman dulu mana ada khidmat pakar bersalin seperti sekarang? Jadi, peranan bidan kampung lebih diutamakan. Ia sesuai dengan zamannya.
Jadi kita tak boleh perlekeh mereka.
Mereka yang pergi ziarah kubur Bidan tadi adalah kerana nak bayar niat. Atau memang telah bernazar. Ketika ziarah biasanya mereka bawa benda-benda berupa makanan atau buah-buahan, ada yang bawa pulut kuning dengan lauk pauknya sekali. Tujuannya bagi mendapatkan berkat.
Seandainya apa yang dibawa itu dia letakkan begitu sahaja dekat kubur, maka perbuatan itu akan jadilah seperti amalan orang pagan. Kita meniru amalan mereka tanpa ilmu apa pun. Bahkan ada yang tak tahu apa yang dilakukan itu tidak dibenarkan dalam agama, ia merosak aqidah. Sedang penjelasan aqidah itupun mereka kurang faham. Yang mereka tahu, ikut apa yang orang lain buat.
Kubur Tuk Telemung pun begitu. Cerita tokoh itu tidak diketahui. Siapa dia yang dipertokohkan itu? Sejarah Tuk Telemong tidak diketahui dengan jelas. Dia dikatakan hanya orang lama yang membuka kampung sebelum kedatangan Sultan ke Kuala Kangsar.
Ada cerita yang mengatakan, guru persilatan pun ada yang jenguk kubur lama itu bagi tujuan ziarah dan hendak ambil "berkat", maknanya mereka sudah kaitkan tokoh ini dengan mitos atau legenda sesuatu yang lain.
Masa sudah berlalu. Apakah masih ada orang yang melakukan "puja kubur" seperti zaman dulu?
Seandainya ilmu sampai kepada mereka, dan mereka menjadi rakan masjid dan rakan majlis ilmu, istilah puja kubur tidak ada dalam benak mereka. Biarpun datang bulan Suro atau Muharam pun. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment