Thursday 27 December 2012

MENYEBAK DOSA PERIBADI DALAM SENDU

ADA orang memikirkan permasalahan dosa. Biasanya di hujung tahun [sayang, orang lebih tumpu tahun baru 2013 berbanding tahun 1434Hijrah] orang sibuk nak mencipta azam semata-mata kerana ikut orang lain. Begitu juga diari baru. Cuba tengok diari tahun lepas, setakat berapa halaman yang diconteng? Nescaya hanya beberapa halaman. Maknanya kita masih tidak ada disiplin dalam diri.
Ada banyak diari dipasarkan, ada yang dikatakan ia diari muslimah, diari untuk kaum Hawa dan ada diari untuk kaum Adam.
Diari ada macam-macam diari. Biasanya syarikat besar keluarkan diari dan diberikan percuma kepada kaki tangan dan siapa sahaja yang ada hubungan niaga.
Maka, ada pula yang asyik kumpul diari. Jumpa orang tanya, "Tak ada diari baru ke bang?" Setelah diberi, ia belek-belek diari itu. Dicatatnya pada halaman awal tentang data peribadi. Kekadang nak menulis data awal ini pun malas.
Macam orang nak buat ringkasan mengajar di sekolah. Berapa ramai guru yang rajin? Kalau cikgu marah murid tak siapkan kerja di rumah, kaum cikgu pun ramai yang patut dimarahi pengetua atau guru besar sebab buku catatan mengajarnya  belum siap pun. Nampak mudah, apabila dikerjakan setiap hari maka timbullah kelompanganya.
Sama juga orang berazam nak hijrah. Ada yang hijrah pada awal Muharam. Hanya bisikan dalam hati sahaja. Namun, kerana tidak ada kekuatan dalaman, hijrah itu hanya berlaku dalam bentuk unsuran sahaja. Tidak ada hijrah dalam diri.
Sebenarnya sukar juga hendak membaiki diri sendiri kalau tanpa bimbingan. Seseorang perlu dinasihat, diberi bimbingan, panduan, teguran dan tazkirah setiap hari. Sayangnya, tazkirah waktu tengahari, waktu menunggu solat zohor amat kurang. Dulu satu-satunya masjid di KL yang ada tazkirah dapat sambutan ialah Masjid Jamek LRT, KL. Kehadiran penceramah sentiasa ditunggu-tunggu. Setiap hari ada sahaja penceramah yang menghiasi taman-taman syurga itu.
Sungguh sudah berada di taman syurga, orang masih alpa, menyandar di dinding masjid untuk tidur sejenak sambil pasang telinga. Sebaik-baiknya carilah tempat yang tidak ada penyandaran. Apabila duduk bersandar begitu, jelaslah apa sikap kita yang sebenar di mata guru.
Pada hujung tahun ini kita kena menyemak, kalau ada diari semak diari itu, biasanya dalam diari tidak ada catatan yang menggerunkan. Misalnya: "Aku tengok wayang dengan Zana di KLCC, balik lewat."
Kalau sudah ada isteri, catatan dalam diari ini akan menyebabkan masam muka dan fitnah.
Atau dalam diari ditulis: "Karaoke jamban SOGO, nyanyi 10 lagu!"
Semua ini kontradik sekali dengan catatan berikut:
"Menghadiri kuliah di bilik Anggerik, Perkim Jalan Ipoh, KL, pelajar lelaki tiga orang sahaja."
"Solat zohor di Masjid Pakistani Chow Kit, baca al-Qur'an surah al-Waqiah, Yassin, hafalkan ayat akhir surah al-Hasyr."
Adakah diari yang betul-betul menepati kehendak seseorang muslim?
Ada orang mendisiplinkan diri dengan membaca al-Qur'an setiap hari, paling tidak bacalah beberapa ayat atau satu surah yang sederhana. Begitu juga mendisiplinkan diri solat berjemaah di masjid atau surau. Dan kena ingat, jangan datang ke masjid atau surau kerana ada si fulan. "Seganlah, kalau dia tengok aku tak datang masjid!"
Bukan tidak ada orang datang ke tempat ibadat tetapi mencari seseorang untuk membuktikan bahawa ia telah hadir di tempat solat.
Jadi, di akhir tahun ini, tidak menjadi kesalahan untuk seseorang menyemak diari buruknya pada masa lalu, tahun lepas, dua tahun lepas atau 10 tahun yang lampau.
Tidak ada orang mencatat segala dosanya. Bahkan tidak dapat membezakan apakah tindakan itu menyebabkan dosa besar atau dosa kecil. Pertimbangan ini kerana berdasarkan kepada ilmu. Kalau tidak rajin atau benci kepada taman-taman syurga yang bertebaran di mana-mana, maka selagi itulah mindanya jadi pengap dalam isu ini.
Baiklah. Sudah menjadi kebiasaan seseorang jadi mengarut tak menentu di zaman mudanya kerana belum ada pasangan hidup. Inilah zaman gelora yang paling hebat. Ramai yang karam oleh badai yang keras kerana syahwat tidak dapat dibendung.
Ketika inilah, terjadi semacam ketamakan kepada harta dunia, mahu melonggokkan sebanyak mungkin yang boleh, maka berjinak-jinaklah dengan apa sahaja "permainan" yang mendatangkan duit. Banyak ranting dan cabangnya dalam bahagian ini.
Ketika hendak menyempurnakan kehendak itu, mungkin seseorang telah memijakkan kaki ke dalam kancah kesyirikan yang tidak diketahui. Puncanya kerana ketandusan ilmu. Kalau tanpa ilmu, kawan ajak pergi Tuk Batin pun pergi juga. Kawan bawa minyak ke rumah Nyonya yang pintar meramal pun dilakukan juga. Atau setiap hari Khamis malam Jumaat bertandang ke rumah Pak Dukun, Pak Pawang atau Tuk Bidan Tua.
Semua ini adalah langganan kepada dosa. Puncanya ramai yang tidak tahu.
Sama halnya orang muda asyik dengan permainan muzik dan nyanyian. Campur lelaki perempuan, bersalaman, bergurauan tanpa batas, semua ini telah menjerat diri ke kancah kedosaan.
Berapa ramai golongan muda yang mengabaikan solat lima waktu? Puasa? Bab zakat harta benda, zakat pendapatan dan sebagainya memang tak payah ceritalah, sebab dalam budaya kita sejak dulu pun orang hanya kenal zakat fitrah menjelang nak hari raya. Itu sahaja. Begitu juga dalam bab qurban.
Masa muda banyak dihabiskan untuk riadah hiburan, bersukan hingga lupa dunia, semuanya mahu mengejar nama, kehebatan dunia, sebab semua itu akan mendatangkan wang ringgit.
Dalam diari yang ada, pernahkah orang mencatat dosa yang dilakukan? Yang ada tentulah hutang duit, atau si fulan pinjam duit, takut lupa.
Diari semakin dilupakan orang. Alat komunikasi yang ada hari ini, amat canggih, ia adalah pengganti sebuah diari kalau tahu memanfaatkan kepintarannya. Bukan alat itu yang pintar, tetapi andalah yang pintar menggunakannya.
Hanya apabila seseorang telah berkahwin, dan usia meningkat, baharulah kesedaran untuk kembali ke masjid mula timbul. Maka jangan hairan di masjid hanya ada orang berumur sahaja. Bukan tak ada orang muda, memang ramai terutama kalau ada acara tertentu, atau ketika solat Jumaat. Solat Jumaat bukan ukuran, sebab di mana-mana pun masjid penuh dan sesak. Nak tahu hebat atau tidak sesebuah masjid, tengoklah solat isyak atau subuhnya. Inilah saat yang paling menguji. Solat isyak ketika orang sibuk berurusan sebelum balik ke rumah. Atau masih berlegar-legar di tempat membeli-belah, duduk santai di kedai mamak, memesan teh tarik hingga beberapa gelas. Masing-masing sibuk dengan peralatan canggih komunikasi yang serba pintar, semuanya membelek atau tekun bersungguh.
Hairannya, ada orang masuk kedai pakaian sibuk nak sentuh tablet. Ketika dengar kutbah di masjid jejari bermain dengan telefon pintar. Maka inilah bid'ah yang orang tidak suka. Kepintaran alat itu telah merosakkan tumpuan seseorang di lantai ruang solat. Ada orang kata, bukan mustahak sangat pun ketika itu, melainkan untuk menunjuk-nunjuk! "Aku ada alat canggih ini!"
Sikap suka menunjuk inipun adalah perangai yang tidak baik, perlu dijauhi. Hendak tunjuk kepunyaan yang canggih itu untuk apa sampai masuk ke lantai ruang solat? Oh, hendak semak ayat al-Qur'an. Ia memberi gambaran seolah-olah masa amat terhad. Jangan buang masa mendengar kutbah Jumaat, bacalah juga rujukan yang dibawa dengan adanya telefon pintar.
Masih banyak perkara dosa yang tidak disedari orang. Justeru itu, pencarian kepada ilmu itu tidak mengenal usia. Tanpa ilmu bagaimana hendak menyebak dosa peribadi?  Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment