Wednesday 26 December 2012

NOVEL SHAHNON AHMAD: JANGAN MAAFKAN SAYA

TERTARIK kepada catatan lama yang menyebut bahawa Shahnon Ahmad, novelis prolifik yang karyanya pernah dijadikan teks sastera sekolah menengah - Ranjau Sepanjang Jalan ada menyiapkan sebuah novel yang nipis berjudul:
JANGAN MAAFKAN SAYA: SATU MONOLOG.
Khabarnya, novel nipis itu ditulis ketika beliau belajar di Australia [1968]. Novel itu ditulis di sana, mungkin kalau dicetak pun ia akan menyamai ketebalan novel SAMPAH [DBP].
Novel ini memang tidak ada di pasaran. Ia tidak dicetak pun, nak siar dalam akhbar atau majalah secara bersiri pun tidak.
Novel ini menurut Ungku Maimunah Mohd Tahir [dalam Penelitian Sastera Metodologi dan Penerapan Teori, selenggaraan S.Jaafar Husin, DBP (1995)] berlegar kepada monolog -iaitu putaran minda seorang tokoh- seorang pemimpin.
Sudah tentu pada masa itu pemimpin yang dimaksudkan bukan dari Pakatan Rakyat, dan bukan pembangkang, tetapi dari puak Umno Barisan Nasional juga. Maknanya, Shahnon sudah mula menulis keperihalan tentang politik dalam novelnya sebelum beliau menulis SHIT ketika pecah "perang" reformasi di Malaysia, gara-gara Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan diciptakan kes Liwat Siri I [dan kemudian diikuti dengan Liwat Siri II, sebuah cerita komedi rakyat yang memualkan].
Sejak dulu rupanya Shahnon Ahmad gemar menggunakan nama watak yang mudah, kalau boleh Pak Da, Pak Ya, Pak Cu atau apa sahaja (lagipun saya tak tahu nama watak sebenarnya).
Nama watak dalam novel itu diberi nama kependekan kerana tidak mahu nanti menyinggung nama orang Umno atau pemimpin tertentu.
Teringat saya kepada cerpen saya bertajuk MABUK tersiar dalam Mingguan Malaysia, tahun 70-an dulu. Tanpa diduga, dengan menggunakan sama pendek-pendek pun ada orang kampung Pasir Panjang, [Sekinchan, Selangor], perasan bahawa ia menyentuh nama jiran-jiwan sebelah rumah yang saya borong, hanya pinjam nama pendeknya sahaja untuk watak cerpen. Gara-gara cerpen itu, pakcik saya Ustaz Sariman Tusat yang mengajar di Sekolah Agama Simpang Lima, Sungai Besar, menasihatkan saya jangan balik kampung, kalau balik juga nanti "samseng Umno" akan pukul!
Ketika dalam pantang larang itu, saya jenguk juga pekan Tanjung Karang, saya terserempak salah seorang bekas Exco Selangor zaman Umno, wah lagaknya, tak kenal rakyat [inilah gaya kepimpinan zaman dulu di kalangan orang Umno]. Dan Tuk Penghunu Muda di kampung saya pun ada juga di situ, dia tak kenal saya. Maka saya selamat dari gangguan "samseng" tadi. Mereka nak mengamuk, tetapi tak kenal orang yang menulis disebabkan terlalu humble, gaya kampung, orang fikir penulis cerpen pakai tali leher, kasut kilat, pakai smart [mentaliti kuno].
Berbalik kepada novel Shahnon tadi, kata Ungku Maimunah, novel itu telah ditolak oleh penerbit!
Wah! Kalau begitu, bagi para penulis muda dan tua, sesiapa yang novelnya ditolak oleh penerbit, jangan rasa malu atau rendah diri, Pak Shahnon pun pernah kena tolak novelnya.
Mungkin, pihak penerbit takut nak terbitkan novel begitu, takut kena rampas, sebab isinya menyindir pemimpin tertentu.
Alhamdulillah, sekarang sesiapa nak tulis novel sindiran politik, tak ada siapa nak ambil peduli. Buku yang ditulis oleh Khalid Jafri boleh dijadikan pengajaran. Buku itulah yang menyebabkan Anwar dipecat dulu. Buku itulah yang memecahkan reformasi. Justeru itu, dahsyat juga ya penangan sebuah buku politik.
Selepas itu, apa buku politik, dedah itu dan ini, mereka buat tidak kesah, jangan buat aduan polis. Buat senyap sahaja. Lama-lama senyap. Persepsi pembaca pun bukan boleh mengundang mudarat melainkan ghibah belaka.
Novel Shahnon Ahmad yang tidak dicetak itu bagaimanapun telah diulas di dalam sebuah tesis doktoral Ungku Maimunah (1984). Akhirnya novel Shahnon yang sudah masak ranum itu tidak dapat dipetik oleh para pembaca dan peminat karya sastera. []

No comments:

Post a Comment