Thursday 6 December 2012

SOLAT DENGAN JIN: GARA-GARA ILMU HIKMAH REKAAN

DICERITAKAN ada seorang yang diberi gelaran kyai yang mempunyai pondok pengajian sederhana dan kurang masyhur. Di samping buat pengajian biasa, ada tambahannya iaitu mempelajari ilmu yang kalangan tertentu menganggapnya sebagai ilmu hikmah.
Ilmu hikmah ini selalunya bukan setakat yang umum tahu, kena rujuk dua induk utama [al-Qur'an dan hadis], mereka juga merujuk kepada hafalan orang tertentu, kyai, pengamal, orang lama, orang baru, dan yang suka kepada macam-macam ilmu kebatinan.
Dia pun mengamalkan apa yang dinamai sebagai hizib Asrar.Hizib ini menurut yang empunya cerita, konon jika diamalkan ia akan mendatangkan azimat-azimat secara misteri dan mistik atau ghaib.

AMAL HIZIB
Mengikut kata orang yang pernah mengamalkannya, ketika khusyuk beramal dengan hizib tersebut, dia kehairanan kerana tiba-tiba sahaja ada benda-benda mistik di depannya. Contoh, batu. Batu ini tidak diketahui batu datang dari mana, tetapi boleh diikat jadi cincin. Anehnya lagi, batu tersebut langsung disimpan oleh pengamal ilmu ini dan kemudian dijadikan pegangan untuk ke sana-sini. Ia dijadikan semacam tangkal atau azimat.
Pada waktu yang lain ketika beramal, dia dapat tempurung kelapa berlubang tiga, dapat keris, besi kuning atau cengkerang siput. Soalnya, siapa yang menghantarkan ke depan kyai tadi?
Setelah mendapat benda-benda pelik itu, dia pun tunjukkan benda mistik itu kepada orang lain. Kalau kepada murid yang masih rendah ilmunya lagi baik.
Ditunjukkan kehebatan benda-benda itu dengan dikaitkan kepada perkara KEKEBALAN.
Bukankah orang masih mencari benda-benda yang membawa kepada kekebalan, antitetak, antihirisan atau antitembakan. Semua ini kalau ada, memang dikehendaki oleh orang tertentu.

TUNJUK HEBAT
Berbalik kepada kyai tadi, dia pun pamer kepada orang. Wah, memang boleh tahan. Ramai yang kagum. Ada juga yang berbisik ingin mendapatkan benda bertuah itu. Kalau benar ia diperoleh dari membaca hizib berulang-ulang sampai naik kebas kaki, maka nilainya jadi tinggi di kalangan pemburu benda mistik. Bahkan ada yang ngelantur berdoa meminta keilmuan dan kehebatan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. "Ya Allah, kulo nguwun karamahipun Syeikh Abdul Qadir..." Begitulah yang diharapkan.
Itu yang guna Syeikh itu. Manakala kyai yang amal hizib tadi, dia juga sering mendapat undangan untuk ceramah atau kuliah subuh di masjid dan surau di tempatnya [bukan di negara kita ya]. Maka suatu hari menjelang subuh dia pun bergegas ke masjid untuk solat subuh berjemaah. Setelah selesai solat, dia pun berceramah, habis ceramah semua jemaah keluar masjid.

DUA SUBUH
Peliknya, kyai itu dengar ada orang azan subuh pula. Subuh yang mana satu? Tadi dia sudah solat subuh dan sempat buat takzirah pendek. Sekarang ada azan subuh lagi? Tanpa ceritakan perkara pelik itu kepada orang lain, dia pun ikut jemaah lain solat subuh sekali lagi.
Dalam bingung memikirkan persoalan itu, barulah dia sedar, bahawa subuh yang kedua itulah yang tulen. Manakala subuh pertama itu adalah perlakuan yang tidak dia sedari nyata atau tidak. Anehnya, jemaah yang solat pertama pun turut dengar ceramahnya yang kedua.
Kalau boleh, cerita pelik yang dialami itu dirahsiakan. Buat malu sahaja kalau diceritakan kepada orang. Maka dia pun memikir-mikirkan hal itu sampai ke rumah. Tiba di rumah, ada dua lelaki yang tadinya solat bersama di masjid. Kebetulan keadaan masih tenang pagi itu, salah seorang lelaki itu telah menyerahkan sampul surat kepada kyai. "Aku datang menyampaikan pesanan seseorang," kata lelaki itu. Tanpa banyak bicara, dua lelaki itu terus menyelinap di lorong berhampiran. Kyai tidak sempat untuk berbicara apa pun.
Apa isinya dia tak tahu lagi. Mungkin, surat undangan ceramah. Jemputan kenduri kahwin atau majlis tertentu.

DUIT JIN
Dia masuk dalam bilik dan membuka sampul surat.
"Eh, apa nih?" tanyanya sebaik terpegang selembar wang kertas bernilai US$1 juta.
Ingin rasanya dia keluar mengejar dua lelaki yang datang ke rumahnya, tapi tak mungkin. Dua lelaki itu entah ke mana. Maka dia memikirkan wang kertas bernilai hebat itu apakah ia wang palsu atau tulen? Mahu ditunjuk dan ditanyakan kepada imam masjid nanti jadi bahan jenaka pula.
Maka dia pun secara senyap-senyap pergi ke bank untuk berbisik kepada pegawai bank.
Dia suruh pegawai bank cek apakah duit itu tulen atau palsu. Padahal kalau dia cek di tempat tukaran wang pun boleh untuk memastikan ketulenannya. Pegawai bank itu berbisik bahawa wang itu tulen, hanya pihak bank tidak dapat menunaikannya kerana terlampau besar. Maka orang itu disarankan agar pergi ke Singapura, bawa duit itu untuk ditukarkan. Di sana dia gagal menukarkan wang itu. Maka duit kertas bernilai sejuta itu disimpan sebagai kenang-kenangan mengusik jiwa. Ada yang kata, kata dibawa ke Amerika pun, dia akan menyesal kerana ia tidak boleh dicairkan.
Kisah duit sejuta Amerika ini dulu pernah heboh di kalangan penggemar dunia kemistikan. Penulis pernah lihat wang sejuta ini di Bangunan China Insurance, iaitu bangunan asal sebelum SOGO dibangunkan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekarang. Ada yang membawa wang besar itu tetapi ia wang mainan, ada yang palsu untuk tujuan penipuan. Tetapi wang yang kyai dapat subuh itu ia diberi oleh dua jemaah masjid.
Kyai cuba mengesan jemaah itu, dia tidak cam pun. Bahkan ketika beri ceramah dia menceritakan kisah wang itu dan diharapkan ada sesiapa yang sesudah ceramah datang menemuinya. Tidak ada. Wah, dia fikir, "Jangan-jangan yang datang ke rumah itu jin!"
Dia tidak boleh angan-angan nak jadi kaya raya dengan duit sejuta Amerika itu. Maka dia simpan wang itu untuk dijadikan koleksi benda mistik selain keris, batu cincin, siput dan besi kuning.
Nak dijadikan cerita, kebetulan kemudiannya dia mengerjakan umrah. Dia bawa wang sejuta itu sekali ke sana. Diceritakan, ketika dia tawaf, seluarnya kendur, tapi dia tidak fikir apa-apa pun tentang wang kertas Amerika itu. Entah dia bawa dalam seluar atau tidak, dia tak pasti. Dia teringatkan "bencana" yang menimpa dirinya dengan selembar wang sejuta Amerika itu. Dia minta petunjuk dan cuba membaiki diri. Dia menangis di depan Kaabah.
Balik ke tanahair, barulah dia menyeadari wang kertas sejuta dollar Amerika itu sudah lenyap. Entah di mana. Tetapi dia syak, ia hilang di bumi Makkah sana. Mungkin wang itu panas kerana ia bukan wang sebenar, melainkan dikeluarkan dari "dana ghaib."
Dia cuba lupakan duit sejuta itu. Dia teruskan kerjayanya macam biasa. Sepatutnya sebagai orang yang dikenali di pusat pengajian begitu, dia tidak mencampur-adukkan keilmuanya dengan benda-benda itu semua, apa lagi ilmu hikmah menurut tafsiran kebanyakan orang.
Dia tanam benda-benda mistik yang dia pernah simpan ketika beramal dengan hizib dulu. Dia fikir benda itu selesai begitu sahaja.

SANDIWARA JIN
Rupa-rupanya, kuliah subuh di masjid itu hari ada kaitan dengan para jemaah jin. Yang datang bawa duit sejuta Amerika itu pun adalah makhluk jin.
Setelah kyai itu taubat, tak mahu amal hizib apa pun, dan buang semua tangkal dan azimat yang ada, jin geleng kepala. Jin pun adakan mesyuarat tertutup.
Jin ada muslihat lagi. "Apa kita nak buat?" tanya jin kepada kawannya yang juga jin.
"Okay, besok malam aku nak menyamar sebagai kyai," kata jin itu.
"Menyamar?"
"Ya, aku nak menyamar biar penampilanku sebijik kyai itu. Biar orang sangka itulah kyai yang sebenarnya."
"Apa kau nak buat?"
"Aku nak jalan-jalan berkaki ayam, tak pakai baju."
"Bagus!" Jin-jin itu tertawa.
Dan malam esoknya, jin benar-benar berlakon. Dia menyerupai kyai yang pernah beramal dengan macam-macam hizib termasuk yang bergandingan dan berdampingan dengan jin-jin. Maka jin itu menyerupai wajahnya, tak berbaju, pakai seluar pendek, jalan kaki ayam.
Apa kesannya?
Tersebarlah fitnah di kampung itu. "Wah, apa sudah jadi dengan ustaz kita yang bagi tazkirah?" kata seorang penduduk kampung.
"Kenapa?"
"Pak Kyai jalan kaki, pakai seluar pendek, ngalor ngidul?"
"Betul ke?"
"Ini bukan fitnah tau!"
Inilah fitnah yang dilakukan oleh jin yang selama ini dijadikan sahabat. Yang selama ini dipanggil-panggil dengan bermacam doa, mantera dan hizib.Wang sejuta itu pun angkara jin juga. Punca semua ini kata kyai itu adalah kerana ilmu-ilmu hikmah yang dipelajari secara sembunyi-sembunyi. Tak ada siapa tahu. Sudah jadi masalah baharulah dia nak dedahkan semua. Ini hanya sekelumit kisah dari ilmu hikmah. Banyak lagi sebenarnya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment