Wednesday 26 December 2012

"KONONNYA" DALAM HIKAYAT YANG DIYAKINI UMAT

Walaupun zaman sudah berubah, sudah tinggalkan kata klasik seperti dalam buku hikayat dan dongeng zaman dulu, kita masih temui orang menggunakan perkataan KONON secara leluasa.
Salah seorang pemimpin yang gemar menyebut perkataan ini adalah Dr M. Dia selalu digambarkan sebagai menyebut KUNUN dan bukan "konon" seperti yang kita biasa sebut.
Itu gaya Dr M. Dia menyebut KUNUN apabila diminta pendapatnya tentang sesuatu yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat.
Konon atau kononnya biasa digunakan dalam cerita-cerita rakyat, legenda atau mitos pun. Ia menggambarkan entah memang ada terjadi atau tidak. Ia menjadi gambaran sudut pandangan pengarang ketika menceritakan sesuatu perkara bagi menghubungkan cerita dengan kenyataan.
Contoh:
Dalam Hikayat Terong Pipit[1964]:
"Alkisah, maka tersebutlah suatu ceritera zaman dahulu kala; kisah tersebut di Tanah Jawa. Sebermula maka tersebutlah konon ada seorang raja dua beradik..."
Kenapa dikata konon?
Kata konon dalam permulaan hikayat itu bagi menggambarkan bahawa maklumat atau cerita itu telah dilaporkan dengan penuh keyakinan.
Cerita-cerita zaman dulu semuanya menggunakan perkataan konon untuk memulakan cerita walaupun menyedari bahawa cerita itu hanyalah rekaan belaka. Dalam kategori rekaan ini termasuklah Sejarah Melayu, Hikayat Siak, Hikayat Merong Mahawangsa, Babad Tanah Jawa, dan apa sahaja kisah atau dongeng rakyat.
Bahkan bukan sahaja hikayat yang memang rekaan pujangga masa silam, cerita para Wali Sembilan sendiripun sudah disendali dengan berbagai cerita yang berpaksi kepada kononnya.
Siapa yang merawikan cerita hikayat kononnya itu? Sudah tentu sang pujangga, atau pengarangnya. Siapa yang suruh dia tulis? Selalunya sama ada dia jadi orang istana, orang pujangga yang tahu tulis baca dan memikirkan, atau seseorang yang jadi jurutulis.
Apa sahaja yang diceritakan orang kepada dia, apa yang dia dengar iaitu cerita-cerita lisan yang berpencaran, bertaburan, ingat lupa, cerita terbantut, cerita tak masuk akal, semua ini digabungjalinkan menjadi sebuah Hikayat. Hikayat ini apabila ditulis oleh pujangga istana, maka nilainya lebih baik jika dibandingkan ia ditulis oleh pujangga di luar istana.
Kata konon dalam cerita masa silam adalah bertujuan meyakinkan pembaca, bahawa cerita itu benar-benar telah berlaku seperti yang diceritakan orang. Tukang lapor iaitu penulis atau pujangga itu meyakini bahawa cerita itu adalah betul dan boleh dijadikan isi hikayat.
Persoalannya, sesebuah hikayat itu ditulis oleh pujangga setelah mendapat arahan dari pihak atasan. Tanpa arahan begitu, hikayat sedemikian tidak akan ditulis hingga beratus halaman. Bayangkanlah zaman dahulu tidak ada kemudahan mesin taip dan komputer, bagaimana pujangga itu menulis hikayatnya? Mereka tulis dalam tulisan Jawi dengan gaya lama.
Apabila sebuah hikayat sudah dibukukan, dicetak dan disebarkan, ia seperti suatu pengabsahan bahawa hikayat itu adalah benar. Sebuah hikayat bukan laporan berita atau ulasan berita benar. Seorang pujangga tidak boleh menulis hikayat sebuah kerajaan hingga beratus tahun. Ia hanya catatan yang tak tentu hala kesinambungannya untuk dijadikan sebuah hikayat. Penyelamat segala isi cerita ini adalah perkataan konon atau kononnya.
Jangan anggap cerita itu benar-benar berlaku kerana ia hanya cerita, hanya rekaan pengarangnya atau pujangga yang sezaman atau telah melepasi zamannya.
Yang menjadi peliknya, sebuah hikayat atau sebuah cerita bersejarah [?] begitu dimuliakan orang seperti layaknya Kitab Turot yang ada dalam khazanah perpustakaan Islam. Hikayat yang hanya rekaan itu dianggap seolah-olah benar, seolah-olah ia induk bagi segala macam kepercayaan dan keyakinan di kemudian hari.
Dalam hikayat, selalunya ditambah dengan rempah kari MITOS.
  • Naratif tentang asal-usul Raja Pasai/Samudera didakwa berasal dari buluh betung atau gajah [dalam Hikayat Raja-Raja Pasai]
  • Naratif tentang asal-usul Raja Acheh, keturunan dewa-dewi [dalam Hikayat Acheh]
  • Naratif tentang asal-usul Raja-Raja Kedah, dikaitkan tokoh dari Rome [dalam Hikayat Merong Mahawangsa]
  • Tentang Raja Majapahit pula, ia ada kaitan dengan gergasi [dalam Ceritera Palembang]
  • Tentang Raja-Raja Perak pula, ada kaitan nasab Iskandar Zulkarnain [dalam Misa Melayu]
Tentang asal-usul Raja Kechil Siak pula, ada kaitan dengan "perkahwinan" mistik Sultan Mahmud Mangkat di Julang dengan Encik Apong ketita baginda berahikan perempuan jin [dalam Hikayat Siak] - setakat beberapa contoh.
Dalam kitab cerita yang bercorak sejarah seperti disebutkan di atas, semuanya sudah dicampur-adukkan dengan berbagai cerita tokok tambah dan mitos yang bukan sahaja mencarik adat, bahkan mencarik minda kita. Ia seperti menggambarkan tidak ada kewarasan dalam menukilkan riwayat. Boleh jadi untuk memanjangkan cerita sehingga menjadi beberapa bab.
Yang mustahak dengan aplikasi kata konon atau kononnya tadi, pengarang atau penyusun cerita akan dapat bergerak bebas, dia boleh melakukan apa sahaja asalkan ia tetap berada dalam lingkungan penghikayatan.
Memang mereka ada tujuan menyusun hikayat sedemikian rupa. Ia bagi menggambarkan kehebatan seseorang tokoh istana umpamanya. Untuk jadi hebat ia diberi gambaran yang mencarik adat. Bukan karomah, kerana ia bukan ahli ibadat seperti selayaknya. Karomah yang diada-adakan bagi menyukakan hati pihak atasan. Soal betul atau tidak ia tidak menjadi persoalan kerana semuanya sudah dilembutkan oleh perkataan konon atau kononnya.
Dalam perkhabaran moden, Dr M yang suka menyebut KUNUNnya itu ia hanya berupa sindiran beliau terhadap sesuatu yang ditanya oleh para wartawan. Perkataan ini digunakan oleh beliau apabila diminta mengulas tentang Pakatan Rakyat. Jadi perkataan kononnya itu hanya untuk menyindir bahawa ia suatu benda yang tidak betul, tidak tepat, rekaan, fiksyen, khayalan atau hal tipu.
Sebenarnya daripada perkataan ini, seseorang boleh buat doktoral, hanya bercerita tentang aspek konon dalam hikayat lama dan hikayat moden masa kini.
Walaupun semua cerita penuh dengan konon, yang bermaksud hikayat itu bukan cerita benar, tetapi ada orang menganggap ia cerita sahih, perawinya dipercayai, sanad dan matannya pun bagus [tetapi hanya merujuk kepada sastera hikayat bukannya hadis].
Seandainya sebuah hikayat itu ditapis dan ditepis mengikut kaedah mustalah hadis, maka banyaklah riwayat yang mauduk dan daif. Tidak boleh dipakai untuk dijadikan pegangan bagi sebuah kepercayaan dan keyakinan.
Akan tetapi, sungguh pelik, daripada sebuah hikayat yang dikatakan ada sejarahnya, ia diyakini sampai sekarang, contohnya tentang apa yang dihikayatkan dalam Sejarah Melayu sentiasa disebut-sebut orang ketika Perhimpunan Agung Umno di PWTC. Buku hikayat yang bercampur mitos dianggap seperti kitab Turot dan sentiasa dijadikan rujukan dan pegangan dalam urusan orang Melayu.
Ini sama halnya dengan yang berlaku di Jawa sana. Cerita mitos tentang perempuan jin yang dikatakan mempunyai istana dalam laut menjadi perkara benar. Saban tahun ada upacara larung sesaji, ada sajen yang berbagai bagi memuaskan hati Sang Ratu, jangan sampai kuwalat kepada Sang Ratu, kerana ada hubungan ghaib secara kosmologi dengan kehidupan budaya masyarakat sekitarnya. Dan ia walaupun hanya sebuah hikayat yang dipaparkan dalam Babad Tanah Jawa, hubungan Pengeran Senopati dengan Ratu Kidul menjadi mantap. Mantap oleh bantuan orang yang menekuni bidang mistisisme, bidang kemitosan yang walaupun pada asalnya hanya kepercayaan rakyat, ia telah menjadi mantap semantap-mantapnya. Bahkan, semakin payah mahu diubah meski Islam sangat mengutamakan aqidah umat yang sebenar tanpa ada keyakinan yang merosakkannya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment