Thursday 14 February 2013

KALAU NAK KAYA PERGI GUNUNG!

Ada cerita menarik yang sering diulang-ulang. Biarpun seribu kali, orang masih nak tahu juga. Iaitu amalan orang yang sudah habis ikhtiar, dia panjat gunung untuk dapatkan kekayaan.
Bolehkah panjat Gunung Jerai atau Kinabalu bagi mendapatkan kekayaan? Kalau tak ada duit bagaimana nak panjat dua gunung itu, atau Gunung Ayam, Gunung Tebu dan Gunung Ledang sekalipun.
Yang ini Gunung Kemukus, gunung yang ada di Jawa Tengah di Sragen.
Sesiapa yang nak suka-suka melakukan zina [?] maka kena naiklah ke gunung itu. Konon untuk mendapatkan kekayaan. Kekayaan apa? Macam-macamlah yang direka oleh si cerdik pandai.
Di situ juga ada makam yang dikeramatkan, iaitu Makam Pangeran Samudro dan ibunya. Kalau sesiapa mengetahui asal-usul makam itu, tentu akan fikir betapa rosaknya pemikiran orang yang memuliakan kubur itu, sekalipun dia orang hebat dari kerajaan Majapahit masa silam.
Kelakuan tokoh hebat yang dikatakan telah berzina dengan ibunya sendiri tidak dijadikan sempadan, malah dijadikan ikutan orang yang kepepet dan habis ikhtiar nak cari pitih.
Konon dulu, Si Samudra dari kerajaan Majapahit telah jatuh cinta kepada Dewi Cintrowulan, ibunya sendiri. Dia jatuh cinta pun kerana kesilapan teknik, tidak kenal ibunya sendiri, maka dia bercinta dan berkasih dengan wanita yang kebetulan adalah isteri ayahnya di Majaphit.
Untuk menutup malu, Samudra diusir dari Majapahit. Dia berkelana ke sana-sini sampai akhirnya dia singgah di Kemukus. Dia tinggal di situ membawa diri.
Tidak lama kemudian Dewi Cintrowulan datang menyusul ke gunung mencari cintanya. Padahal dia adalah anak lelakinya. Mereka mengulangi episod cinta pelik antara ibu dan anak.
Kisah begini seolah-olah mendapat sanjungan berlebihan. Betapa tidak, sampai sekarang, orang berduyun-duyun berpeleseran di gunung itu untuk melampiaskan syahwat atas alasan mengikut fatwa Samudra.
Khabarnya, ketika mereka berdua-duaan orang kampung sudah datang berkerumun untuk menghajar mereka. Mereka berdua dilempar dengan batu dari segenap penjuru sampai mati. Mayatnya ditanam di situ dalam satu liang lahad.
Sebelum dihukum selanjutnya, Samudra sempat berfatwa songsang.
Dia kata, sesiapa yang datang ke situ yakni Kemukus, dan melakukan zina doanya akan dimakbulkan. Ini adalah fatwa sesat yang menjadi panutan orang kemudian sementelah mengetahui "daulat"nya dari kerajaan Majapahit.

AMANAT
Ada yang menceritakan, konon Samudra berfatwa:
"Baiklah, aku menyerah untuk dihukum, tapi dengarkan amanatku.
Sesiapa yang meniru perbuatanku yang jelek, itulah yang akan menebus dosaku dan aku akan menolong orang itu dalam bentuk apa pun."
Samudra sudah meninggal gara-gara kena rejam penduduk sekitar. Mungkin orang mengira dia sudah bersih setelah menerima hukuman rejam begitu. Maka makamnya dianggap keramat, sesiapa yang datang ke situ untuk mencari persugihan atau kekayaan perlu menziarahi makamnya.
Bukan setakat ziarah sahaja, malah kelakuan Samudra yang perlu ditiru iaitu berzina perlu dilakukan juga sebagai syarat untuk mendapatkan kekayaan mendadak.
Ini benar-benar ajaran mengarut dan menyesatkan umat. Meskipun sudah diketahui makam itu bukanlah makam wali, orang tetap memuliakannya bagi tujuan tertentu.
Itu belum lagi yang percaya dengan keberuntungan yang diperoleh setelah ziarah makam, berpeleseran di situ untuk mencari pasangan zina, selanjutnya untuk memohon sesuatu agar dimakbulkan. Aneh. Ziarah makam, berdoa dan berzina dijadikan sarana utama.
Yang lebih memelikkan ada petua atau syarat, seseorang kena berzina dengan wanita yang sama, sebanyak tujuh kali bagi ritual penyempurnaan. Inilah ruang untuk bermaksiat yang aman, tidak ada siapa yang mahu mengusir mereka.
Sudah berzaman, kisah Samudra jadi tatapan, sehingga akhirnya sampai ke pemikiran orang pintar ilmu, mereka sajikan pula dengan ilmu persugihan Gunung Kemukus. Anehnya syarat zina sudah jadi kemestian.
Tidak dapat dibayangkan, bagaimana sudahnya ritual kekayaan ini, apakah mereka benar-benar memperoleh kekayaan atau memperoleh keseronokan sahaja? Wallahu a'lam. Sumber: www.satriamataram.com. []

No comments:

Post a Comment