Friday 15 February 2013

PANJAT GUNUNG TEBU DAPAT SEBUNTIL DUIT RM1

Ini betul-betul panjat gunung, tapi bukan Averest, Kalimanjaroo, Kinabalu atau Tahan.
Gunung Tebu. Itulah yang diceritakan oleh seorang sahabat yang kini khabarnya tinggal di Kajang, Selangor.
Dia cerita pada suatu malam dia mimpi, mimpi orang lelaki berjubah putih.
Lelaki itu berpesan, dia nak jumpa.
"Jumpa di mana?" tanyanya.
"Gunung Tebu! Aku tunggu sampai kamu datang, seeloknya lepas Asar!" kata lelaki berjubah.
Nama pun kisah mistik, jadi adunan fakta nyata dan mimpi kena gaul sekali.
Kerana dia dianggap mengetahui ada sesuatunya di sana, maka esok dia pergi ke gunung yang dimaksudkan. Dia nak jumpa lelaki berjubah itu.
Mungkin kalau orang lain yang mimpi, dia akan kata:  "Ah, mimpi orang tua berjubah? Apa ni?"
Sahabat ini walaupun dapat pesanan dalam mimpi, dia sanggup pergi ke sana. Dia terus tuju ke Gunung Tebu. Tempat itu khabarnya sudah biasa dia jenguk. Maka untuk jenguk kali ini bukanlah sukar.
Dia pergi menjelang waktu asar.
Dia pun tertanya-tanya, siapa agaknya lelaki berjubah putih yang dimimpikan itu? Biasanya, dia akan memanggil Tuk Ayah kepada sesiapa sahaja yang berwatak ketua-tuaan begitu.

KALIJAGA
Dia yang pernah dapat sabuk dari Sunan Kalijaga dalam sebuah gua di Kelantan mahu tahu apa hajat sebenar lelaki berjubah itu?
Waktu asar dia sudah ada di situ.
Jalan perlahan-lahan.
Pergi gunung macam ini kena laporkan diri juga.
Mana tahu, naik gunung tak turun-turun. Mana tahu jumpa gergasi kena ngap di atasnya.
Dia nampak ada lelaki berjubah. Ntah tunggu siapa. Maka dia beranikan diri mendekati lelaki berjubah itu.
"Tuk Ayah tunggu seseorang nampaknya?" katanya sambil bersalaman.
Tak tahu bagi salam ke tidak.
"Semalam saya berpesan supaya datang ke sini, kamulah agaknya yang saya jumpa ya?" ini soalan pelik. Bagaimana orang tua berjubah boleh tahu sahabat ini telah bermimpi?
"Apa maksud Tuk Ayah memanggil saya ke mari?" soal sahabat tadi.

HANTAR MIMPI
Dia tak mahu tanya lebih-lebih tentang mimpi, bagaimana cara menghantar mimpi dan sebagainya.
Takut orang tua itu merajuk atau ghaib. Dia tetap mengesyaki lelaki tua ini adalah jin.
Tanpa disedari, berbual-bual begitu, maghrib sudah dekat.
Sahabat tadi tidak pula cerita apa benda yang mereka bualkan. Ini macam teka-teki sahaja.
"Kamu tunggu di sini, tunggu sampai aku datang semula," pesan lelaki berjubah.
Sahabat tadi kebingungan.
Tunggu di situ? Dalam tanah berlekuk macam perigi buta? Hisss, ntah apa yang ada dalamnya? Ular, lipan, kala jengking dan macam-macam yang dia fikirkan.

GHAIB
Tapi ketika dia memikirkan pesanan pelik sambil memikirkan kesediaan untuk menunggu, dia lupa kepada lelaki berjubah. Lelaki itu telah ghaib. Agaknya dia nak solat maghrib di mana-mana.
Habis sahabat tadi bagaimana?
Dia tak cerita pun.
Dan malamnya dia duduk di tanah lekuk macam perigi buta duduk bersila, tarik kain pelikat masam untuk dijadikan selimut. Duduk dengan beralaskan daun dan beg plastik. Bawa handphone, kamera digital, ada beg kecil untuk menyimpan buku nota dan pen.
Dia pun duduk dalam lubang itu semalaman bertemankan nyamuk.
Kenapa tak bawak ubat nyamuk?
Tidak terfikir pun. Kalau ada bawa kan senang.
Dia hanya bawa pemetik api dan rokok.
Malam itu sampai ke pagi dia duduk di situ. Nak kata berwirid pun tidak.
Bermantera pun tidak.
Duduk saja-saja sementara menunggu lelaki berjubah datang semula.
Kalau dia tak datang? Baliklah. Nak buat apa lagi. Memang jin suka kacau manusia. Nak menyakat.
Bukan tidak mengantuk. Tak terkira berapa kali dia menguap.
"Waaaaaaahhh!"

JIN BERJUBAH
Menjelang fajar, sudah ada seberkas cahaya melimpah ke gunung, dia terkejut.
Lelaki berjubah sudah berada di tebing pergi buta itu.
"Sekarang kamu boleh pulang!" kata lelaki berjubah.
"Tak kan suruh balik gitu sahaja?" dia tertanya-tanya dalam hati. Tak sempat tanya apa, dia terpinga-pinga, maklum tidur duduk, lelaki berjubah ghaib semula.
Memang betul dia telah dimainkan jin berjubah.
Tiba-tiba. Dia rasa di bawah punggungnya, tempat daun-daun yang disusun dan beg plastik itu, ada kertas. Kertas apa ni? Dia gunakan handphone untuk menyuluhnya.
"Duit apa nih?" dia sauk dengan tangan kanannya.
"Duit seringgit? Sapa yang bagi nih?" soalnya.
Dia sudah syak. Ini meski kerja orang tua berjubah itu. Tapi, apa tujuan dia bagi duit begitu?
Disebabkan dia tak bawa guni atau kotak besar pun, dia hanya gunakan kain pelikat Cap Gajah Menungging untuk dijadikan buntil.
Dia ikat hujungnya. Dia kutip duit ringgit yang bertaburan dalam perigi buta itu dan kemudian disumbat dalam buntil kain pelikat.
Dipijak lagi biar sendat dan mampat.
Happy bukan main sahabat kita mendapat duit sebuntil sendat.
Duit itu entah siapa yang bawa, atau ini mainan sihir dari jin?
Ketika dia menuruni gunung dia terserempak dengan bebudak muda yang menjaga kawasan itu.
"Bawak apa tu?" usik seorang pegawai.
"Daun kayu, nak buat ubat!" kata sahabat ini.
Ketika dia nak humbankan buntil kain dalam kereta dia tarik segenggam duit kertas itu.
"Ini duit apa? Memang duit ringgit betul. Ada nombor siri semua. Tapi..."
Dia belek depan belakang duit seringgit itu.
Semuanya dicap depan belakang: bertulisan jawi CIK SITI WAN KEMBANG!
Semuanya dicap begitu. Dakwat merah.

DANA GHAIB CIK SITI
Maknanya wang sebuntil itu dibawa dari perbendaharaan negeri Cik Siti Wan Kembang yang berada di alam ghaib, dan mungkin lelaki berjubah itu datang dari negeri itu.
Dia jadi wakilnya. Hanya dia tak terangkan, untuk apa "dana" itu diberikan kepada sahabat ini.
Setelah memikirkan, sambil memandu, dia cadang nak bagi duit itu kepada orang ramai.
Nak dibelanjakan pun tak boleh.
Lainlah kalau orang yang suka mistik.
"Hey, ini duit mistik bang, jangan buang, kena simpan! Mana tahu?"
"Mana tahu apa?"
"Ada ong!" kata orang itu sambil tertawa.

DUIT TAK LAKU
Begitulah dia bahagi-bahagikan duit itu kepada orang ramai termasuk kenalannya [saya mintak RM3.00 sahaja untuk simpanan, kemudian untuk media, saya susun beberapa helai duit itu atas meja dan snap dengan kamera, siar dalam majalah INTISARI].
Apakah hikmah dari pemberian duit yang tak boleh digunakan untuk urusan bank nyata, melainkan sah untuk bank ghaib?
Sahabat ini tidak pula bercerita dia naik Gunung Tebu sebab nak tarik duit.
Dia tak fikir pun. Aleh-aleh dapat duit sebuntil.
Berapa agaknya semua sekali? Malas nak kira.
Lagipun dia dah pergi pasar pagi, bahagi-bahagikan duit itu untuk kenangan.
"Nih nak beli apa bang?"
"Simpan, buat ibu duit!" sahabat saya itu tertawa.
Ini bukan ritual tarik duit. Sahabat ini langsung tak terfikir nak dapat duit bercap begitu.
Kalau tahu begitu, dia akan bawa guni lagi besar. Mana tahu dananya lebih hebat! []

No comments:

Post a Comment