Friday 8 February 2013

BANG SAYA NAK UNDI APA KALI INI?

Semalam lagi bagus. Tengah jalan-jalan cari makan di Kampung Pandan luar, terserempak seorang lelaki yang katanya bekerja di sekolah memandu. Baguslah.
Sembang punya sembang, dia kata, dia betul-betul resah sekarang, nak undi parti mana dalam pilihanraya kali ini.
Kemudian dia berjanji, dia akan dengar pandangan saya. Apa yang saya cadang, itulah parti yang dia nak undi.
Sebelum itu dia sudah sembang tentang kegelisahan rakyat terhadap BN.
Banyak masalah berlaku sekarang katanya. Dia pun ada membaca bahan-bahan yang kontradik dengan media Perdana yang ada.
Saya kata, baguslah. Teruskan membaca bahan-bahan lain. Jangan percaya sangat kepada televisyen yang ada di rumah walaupun benda itu kita punya, kita yang beli. Kalau boleh tutup, tutup sahaja.
Dan dia pun menyedari dalam usia yang sudah berawal angka 5 maka dia kena bermuhasabah diri. Kena buang segala yang tak baik.
Lagipun katanya, banyak cerita yang tak baik ada dalam BN.
"Habis bang, saya nak undi parti mana dalam pilihanraya kali ini?"
"Cadangan nak undi apa?" tanya saya.
"Nak undi BN!"
"Terpulang, tapi kalau kamu dah tahu masalah dalam BN banyak, maka elok tahun ini kamu tukar selera!"
"Yalah bang, saya ingat saya nak tukarlah. Apa cadangan abang?"
"Tulah, saya cadangkan undi selain BN," kata saya.
Dia ucapkan terima kasih. Dia rasa lega.Sebelum nak balik, dia ajak saya ke warung lagi. Nak minum. Saya kata tak apalah, terima kasih. Lain kali. Dia nak sembang lagi hal politik. Ini sembang warung.
Secara tak langsung, ini merupakan kempen bisik.
Anehnya, pemandu teksi di Kuala Lumpur pun bukan main hebat kritikannya. Sepanjang yang saya tahu, mereka kritik bantuan beli tayar teksi. Itu tak ada kesan apa. Mereka tetap sindir dan perli, apa sangatlah tayar teksi, sedangkan mereka para pembesar telah "sapu" duit rakyat begitu banyak sampai ratusan juta.
Teringat saya ada pemandu teksi komen, kalau orang biasa, terlibat kes bunuh, sudah lama jatuh hukum. Silap haribulan dikira subahat dalam kes bunuh, kena hukum puluh tahun dalam penjara.
Di negara yang sistem dikawal, katanya, orang kecil selalu jadi mangsa. Bayangkan, kes yang tidak seberapa pun orang kecil masuk penjara sampai bertahun-tahun, sedangkan orang kesar dendanya kecil.
Nampaknya pemandu teksi KL cukup cerdik. Mereka kata, apa sahaja yang mereka bagi kita balun. Lagipun undi kita rahsia [kecuali undi kawan yang kerja sekolah memandu tadi, tak rahsia lagi pada saya].
Kemudian, ada seorang lelaki India beritahu saya, "Dia bagi BRIM RM500 suruh rakyat jimat, tapi dia sapu RM500 juta diboroskan!" Begitu bijak rakyat sekarang. Mereka selalu berbicara sambil melontarkan komentar secara tak langsung.
Dan di mana-mana kedengaran orang menyatakan rasa resah gelisahnya dengan "Pencapaian Diutamakan." Mereka juga resah dengan agenda media milik UBN yang setiap hari mainkan isu perkauman dan agama.
Ada juga yang komen begini, katanya, kalau kita tak mahu ada Bible dalam bahasa Melayu, kita jangan kempen sangat guna bahasa Melayu, kita kempen guna bahasa Inggeris. Apabila orang bercakap orang putih, tidak timbul Bible bahasa Melayu. Dasar pelajaran kebangsaan itu telah menjadikan Michael, Fredoline, William dan Robert [kawan saya dari Sabah] yang semuanya mengaku beragama Kristian tetapi mereka tidak pandai bertutur bahasa Inggeris melainkan bahasa Suku mereka di Sabah. Orang macam mereka ini perlukan teks dalam bahasa Melayu yang mereka fahami. []


No comments:

Post a Comment