Tuesday 12 February 2013

ASYIK TERKEJUT MEMANJANG, APA CERITA?

Seperti yang dilaporkan banyak media pendacingan, ada beberapa peniaga di Penang terkejut apabila pembesar pusat datang ke gerai mereka. Menurut laporan, ada peniaga di Persiaran Gurney terkejut habis apabila Menteri Perdana datang membeli sesuatu di gerai mereka.
Mungkin orang tak tahu bagaimana kedaaan terkejut itu. Adakah dek kerana terkejut ada pembesar negara datang ke situ sampai kelu nak berkata apa, atau sampai tak berdaya nak layan pelanggan utama itu, atau pengsan seketika kerana terkejut bukan kepalang.
Adakah sesiapa yang berniaga pernah terkejut ketika dikunjungi Obama atau Menteri Perdana dari luar negeri umpamanya?
Rasa terkejut itu adalah pandangan wartawan sahaja. Cara wartawan menulis seolah-olah peniaga itu kemaruk sangat dengan kehadiran seseorang di tempat mereka berniaga.
Sepatutnya tak payahlah tulis TERKEJUT. Apa nak terkejutnya kalau datang muka-muka yang sudah biasa mereka tengok melalui layar tv. Melainkan orang yang tak ada tv dan tak pernah beli akhbar perdana, mereka tak kenallah siapa yang datang.
Wartawan sepatutnya tidak melaporkan peniaga gerai itu sebagai terkejut.
Ia memberi gambaran kehadiran pembesar itu seolah-olah pemangkinan untuk melariskan jualan. Ia dijadikan sarana untuk pelarisan niaga.
Dan mungkin orang yang berniaga itu akan sembang berbulan-bulan.
"Gerai dia memang hebat, sampai Menteri Perdana pun datang pi beli sotong bakak, beli pasembuk!" usik rakan-rakan.
Bagaimana pula kalau dia masuk restoran? Adakah tuan punya restoran terkejut sampai lari keluar kerana nak tukar kain dan baju dan songkok. Al-maklum, pakaian seharian itu dah masam kerana jenguk sana, jenguk sini dalam restoran untuk pastikan menu sudah siap.
Begitu juga kalau tengah duduk di saf pertama di masjid, datang pembesar negeri, tak kan kita nak terkejut sampai undur ke saf ke lima kut?
Ada kawan yang suka baca akhbar tabloid, dia kata, kenapalah wartawan yang melaporkan asyik guna perkataan TERKEJUT sahaja?
Dalam laporan jenayah pun terkejut. Nampak mayat pun terkejut. Nampak bangkai anjing pun terkejut.
Nak beli apam balik pun terkejut? Kalau semua terkejut, itu menggambarkan peniaga itu tidak bersedia dalam menjalankan perniagaannya.
Nak terkejut apa? Bagaimana kalau nenek kebayan dari Gunung Ledang datang? Terkejut tak? Tentulah tidak, sebab dia tak tahu nenek tu siapa. Kalau nendek dah pergi baru orang bagi tahu, "Tadi nenek kebayan dari Melaka datang tau tak?"
"Nenek kebayan???" terus dia pengsan dek kerana terkejut.
Itupun belum tentu terkejut. Sebab dia tak tahu cerita temberang Melayu zaman Melaka dulu. Nak terkejut apa. Orang dulu paling terkejut kalau nampak Sang Kelembai.
Dan untuk episod seterusnya, kebanyakan peniaga di Malaysia ini semuanya terkejut andainya ada pembesar negara masuk ke tempat mereka. []

No comments:

Post a Comment