Thursday, 28 March 2013

CERITA MENGARUT SI UMUR PANJANG

Seorang lelaki yang terlalu tua dikatakan berumur panjang sampai seratus tahun lebih gara-gara kepandaiannya menyelam ke dalam air untuk menangkap ikan dengan kedua tangannya. Dia menyelam tanpa gunakan alat apa pun. Jangan sebutlah soal pancing, tangguk, jaring, bubu, tempang, gewang dan sebagainya.
Mbah berusia lanjut ini menceritakan dia pernah mengalami kejadian misteri ketika tebing sungai runtuh kebetulan dia sedang menyelam mengejar ikan. Bagai memerang dia menyelinap dan kemudian konon memasuki dunia misteri.
Di dunia misteri itu dia sudah lupa dengan ikan yang hendak diburu, sebaliknya ketika itu satu transformasi telah berlaku secara keseluruhannya.
Alam pun berubah, dia berada di tengah kumpulan bidadari yang cantik-cantik belaka. Maka di dunia sana itu dia dilayani bagai VIP duniawi.
Maka dia dihidangkan dengan minuman yang memabukkan, dan dihidangkan dengan layanan perempuan cantik bak bidadari [tetapi tidaklah secantik bidadari syurga seperti yang diterangkan dalam al-Quran dan Hadis].
Lelaki ini berehat di alam sana dan melayani perempuan cantik itu seorang demi seorang. Dia sudah mabuk, maka ikut sahajalah jerat-jerat syaitan. Kebetulan wanita cantik yang dia temui itu adalah "tentera-tentera" syaitan belaka. Dia lupa segala-galanya.
Di daratan sana, orang ramai menunggu. Sudah dua jam. Lelaki tua itu tidak ditemui.
"Ya, apa lagi? Pasti orang ini sudah mati lemas kerana tebing sungai runtuh tadi!" kata seorang lelaki yang berada di tebing sungai. Ada yang menggagau dan cuba menyelam untuk mengesan di mana mayat lelaki itu tersangkut.
Untuk dijadikan cerita yang hebat, tatkala orang sibuk mencari orang yang disyaki mati lemas itu, tiba-tiba lelaki yang disangka mati itu keluar dari permukaan air. Dia merangkak ke tebing.
Masing-masing geleng kepala. "Hidup lagi rupanya orang ini?" masing-masing meluru dan memeluk lelaki itu biarpun basah pun tidak mengapa.
Maka ketika ditanya itu ini oleh penduduk kampung, lelaki itu pun bersembang megah, dia tidak mengalami apa-apa.
"Tidak ada apa-apa, saya hanya bertemu dengan perempuan cantik dan siap melayani saya, dihidangkan dengan makanan dan minuman di sana!" kata lelaki itu sambil tersenyum.
"Orang risau kamu tak timbul-timbul tadi, kok kamu cerita perempuan cantik?" marah Bik Suriyem kepada lelaki tua yang juga jadi jirannya itu.
Akhirnya cerita kehebatan pakcik yang menyelam tangkap ikan, selama dua jam menyelam tak timbul, ia sudah dijadikan cerita yang mencarik adat.
Memang orang tua ini hebat. Dia punya ilmu yang perlu dipelajari oleh anak-anak muda. Tetapi orang tua itu kata, dia tak ada ilmu apa. "Semuanya kebetulan, ilmu yang saya punya adalah bagaimana tangkap ikan sambil menyelam!" itu sahaja yang dia kata.
Biarlah orang buat tafsiran sendiri.
Cerita dia tenggelam sampai dua jam itu sudah dilupakan orang. Bagaimanapun, lelaki misteri ini mendakwa dia pernah bermimpi bertemu dengan dunia yang serupa ketika dia masuki dulu. Iaitu ketika dia menyelam dalam sungai. Tetapi kali ini dia tidak menyelam. Dia mimpi.
Mana mungkin orang mimpi begitu tersusun, teratur dari A sampai Z ceritanya. Lainlah mimpi seorang Nabi dan para sahabat yang terdekat. Mimpi pakcik ini boleh dengar, nak yakin jangan.
Dia kata, dalam mimpi kali ini dia jumpa semula perempuan cantik yang bilangannya cukup ramai. Dia dikira hebat kerana dikelilingi perempuan cantik. Ditawarkan minuman dan ditawarkan dakapan serta ciuman bernafsu. Maka pakcik ini tenggelam di dalam lautan nafsu, itulah pujukan perempuan-perempuan jin yang pernah dia temui ketika menyelam dalam sungai dulu. Itu cerita dah lama.
Kini apabila wartawan tanya apa rahsia panjang umur. Dia pun cerita tentang pengalaman mengadakan hubungan badan dengan perempuan jin. Bukan seorang, malah sampai berpuluh orang! Maka, mungkin orang tidak dapat menangkap mengapa orang tua ini ngoceh begitu sekali?
Menurut kepercayaan spiritual di kalangan orang yang menekuni bidang ini, setiap kali pakcik "gatal" ini mengadakan hubungan seks dengan perempuan jin [yang dia kata bidadari itu] maka usianya berganjak beberapa tahun. Jadi kalau satu orang usianya tambah 5 tahun misalnya, kiralah berapa kali dia mengadakan hubungan badan dengan makhluk syaitan itu sampai dua sesi? Pertama ketika dia disangka mati lemas. Kedua dia mimpi ketika tidur di rumah. Memang ada di kalangan tukang cerita yang mengaitkan usia manusia konon boleh diganjakkan kerana hubungan karut seperti yang diceritakan.
Apa pun ini bukan fakta untuk dijadikan ikutan. Ia hanya sembang pakcik ini bagi menunjukkan bahawa dia adalah lelaki yang hebat di antara yang terhebat dan usianya sangat lanjut. Ada yang kata sampai 130 lebih?
Wallahu a'lam. [Misteri Bil.555, 2013, dengan penambahan watak sampingan dari penulis]. []

No comments:

Post a Comment