Saturday, 23 March 2013

KARAMAH BUKAN UNTUK KEMEGAHAN

Apabila orang bercakap tentang karamah, mereka akan menyenaraikan beberapa kekaramahan seseorang tokoh yang terbilang. Pencarian ke atas perkara mencarik adat ini begitu digemari sehingga lupa dengan keadaan tokoh sebenar yang dikeramatkan.
Untuk memudahkan kita memahami apa karamah yang sebenarnya, ia mempunyai beberapa ciri penting, iaitu:

  • ia adalah suatu kurniaan Allah s.w.t. dan tidak boleh dipelajari untuk mendapatkan status kekaramahan.
  • ia berlaku sekali-sekala, tidak berulangan mengikut kehendak individu tertentu, atau untuk pamer kepada orang ramai.
  • ia berlaku kepada individu yang terkenal baik, soleh dan mulia akhlaknya. Orang yang bejat akhlak yang suka pamer dan sombong tidak ada karamahnya.
  • tidak boleh dizahirkan oleh pemiliknya untuk tontonan, kalau boleh ia perlu disembunyikan, jangan diceritakan kepada orang lain, ia adalah pengalaman tokoh itu sahaja, dan bukan suatu bentuk kemegahan atau kesombongan.
  • hanya dikurniakan kepada individu yang benar tauhidnya, bertaqwa dan bertawakal kepada Allah.
Lawan kepada ciri tersebut adalah tanggapan bahawa karamah itu boleh dipelajari untuk mendapatkan statusnya, seolah-olah ia suatu gelaran pula. Karamah tidak berlaku pada bila-bila masa seperti orang belajar ilmu sihir. Yang sibuk pamer kelebihan diri itu adalah orang yang rendah akhlaknya, kebolehan yang sedikit dicanangkan lebih agar semua orang tahu.
Lawan kepada ciri karamah tadi, ada juga orang yang belajar bermacam ilmu hikmah yang boleh melakukan beberapa keajaiban sehingga orang menyangka si fulan itu mempunyai karamah. Ini pun suatu tanggapan yang salah. Jadi kesimpulannya, karamah tidak boleh dicari-cari, nak cari karamah seseorang tokoh dalam riwayatnya memang boleh, tetapi masuk akalkah? Dan ia bukan suatu kemegahan. Tokoh sanjungan tidak peduli pun dengan karamah yang ada, hanya pengikut setia sahaja yang melebihkan kisahnya. Wallahu a'lam.[]

No comments:

Post a Comment