Tuesday 10 April 2012

TENTANG INUL DARATISTA GOYANG GERUDI

NAMA INUL DARATISTA kembali menjadi sebutan di Kuala Lumpur. Khabarnya dia akan datang ke KL untuk bikin show, persembahan lagu-lagu dangdut campur goyang gerudi kalau diizinkan. Apa pun kerana namanya sudah begitu dikenali sebagai kaki goyang dan berputar-putar di pentas, mungkin penyanyi dangdut Malaysia cuba meniru gaya Inul, dan ada juga penyanyi lelaki kita yang suka menggerudi di atas pentas.
Kenapa tiba-tiba Inul menjadi perhatian? Ya, kerana peminat Inul terutama dari kalangan warga Indonesia memang cukup ramai. Sekiranya Inul bikin show, sudah tentu sebahagian besar audien adalah anak-anak Indonesia di perantauan.
Jangan hairan, mereka yang berjejal mahu lihat show Inul itu ada yang tidak pernah melihat Inul bikin show di sana, tetapi peluang yang ada di Malaysia akan dipenuhi.
Pendangdut dari Jawa Timur yang nama sebenarnya Ainnur Rokhimah, 33, akan mengadakan pertunjukan di KL. Sudah pasti dia akan hanya menyanyikan lagu-lagu danggut dan sedikit goyang sahaja sebagai memenuhi syarat show. Dalam temuramah dengan wartawan hiburan, Inul bilang kerja nyanyi ini macam menguruskan sebuah business. Dia hidup dengan dangdut, dangdut adalah jiwanya, ia rezeki kepada Inul, dia tidak mahu munafik meskipun orang bilang dangdut ini hiburan murahan, terserah, dangdut baginya adalah "the best". Dia juga beritahu dia semakin susut kerana kesibukan menyanyi, terlalu banyak nyanyi dan bergoyang sambil nyanyi lagu "Buaya Buntung" dan lagu-lagu ngetop lainnya.
Selain KL dia juga akan bikin show di Korea Selatan. Wah! Dangdut sudah ada di sana dan dikenali rupanya. Khabarnya, masa kempen pilihanraya Presiden nanti dia juga akan bikin show goyang gerudi untuk meraih undi popular.

PATUNG INUL
Ada perkara menarik yang sengaja nak dipaparkan dalam blog ini. Inul dahulu pernah bikin kecoh kerana buat projek mendirikan patung ukuran batang tubuhnya sendiri sebagai penyanyi dan penari dangdut. Itu kisah tahun 2007.
Ratu Goyang Ngebor ini telah mengupah tukang bikin patung dan ditegakkan di depan rumahnya di Pondok Indah Jakarta. Bayangkanlah, anda yang rasa diri terkenal, lalu mengupah kontraktor buatkan sebuah patung yang serupa dengan penampilan anda. Ini ketika Inul masih hidup, buat patung untuk mendapatkan perhatian masyarakat sekitar.
Sebagai penghibur dia lupa dengan masyarakat sekitarnya. Membuat patung adalah perkara yang pelik. Tambahan dia kata nak pergi haji di Makkah pada ketika itu. Kenapa perlu buat patung dan nak ditegakkan di laman rumah? Akhirnya orang marah dengan cara Inul itu. Ketika dia nak rasmikan patung itu, orang ramai mendesak agar dibatalkan, dan patung itu dirobohkan. Inilah projek sesia kerana tidak pernah merujuk kepada fatwa. Usahkan fatwa, jiran-jiran pun tidak diberitahu.
Akhirnya, projek patung Inul itu gagal dirasmikan kerana dibantah oleh sebahagian besar orang yang sedar bahawa membikin patung adalah perbuatan yang tidak dibenarkan dalam Islam. Apabila telah didirikan, tentu akan menggalakkan orang memandang setiap hari, justeru ia seperti menghormati patung Inul bahkan menjurus kepada pengibadahan kepada yang lain.
Patung berharga Rp12 juta itu akhirnya jadi pembaziran. Apabila usahanya untuk merasmikan patung peribadi gagal, maka Inul sibuk menghubungi wartawan hiburan untuk bikin sidang akhbar. Dia bilang, "Saya hanya dapat bersabar, mungkin ini cobaan sebelum saya berangkat ibadah haji." [Warta Kota, 13/11/2007]

KOMEN ORANG SANA
Orang mengancam hendak merosakkan patung Inul walaupun ia berada di laman rumah Inul sendiri. Akan tetapi Inul beranggapan lain. Dia kata ancaman dan bantahan dirikan patung itu sebagai ujian dan dikaitkan dia nak pergi ke Makkah. Bimbang nanti jadi semacam "syariat" sesiapa nak pergi haji, hendaklah mendirikan sebuah patung ukuran yang serupa dirinya sendiri dan tegakkan di halaman rumah. Jika tidak dibanteras dari mula oleh massa, maka ia jadi ikutan kerana golongan artis atau selebriti ini sangat disanjung dan dimuliakan peminatnya sampai tidak ada komen apapun.
Hartono Ahmad Jaiz, bekas wartawan dan penulis buku-buku kajian tentang Nabi palsu dan islam liberal berkomentar, jika dibenarkan nanti ia jadi ikutan pula. Tengoklah, sekarang pun, ketika orang pergi haji di Makkah, di kampung sibuk mengadakan RATIBAN setiap malam Jumaat.
Kalau patung sudah didirikan, nanti akan ada orang menyembahnya, maka baik pembuat, pemodalnya serta orang yang berhajat kepada pendirikan patung itu sama-sama mendapat "durian runtuh" dosa yang tetap mengalir kerana dosa kemusyrikan. Dosa ini katanya, tidak akan diampunkan jika pelakunya tidak taubat ketika masih hidup.

Sengaja penulis paparkan perkara ini kerana Inul akan manggung di KL. Sudah tentu peminat fanatiknya sanggup memakai baju T siap gambar Inul. Dipakai ke sana-sini, naik LRT, naik Metro, naik Monorail dan naik Rapid. Wah! hebat sekali penyanyi dangdut ini.
Selain kisah mentas dangdut, apa salahnya kita melongok kisah silam berkaitan dengan kemusyrikan yang seperti tidak diketahui oleh kalangan artis ternama. Begitulah yang selalu ulama nasihatkan kita, biarlah hidup berilmu, kalau tidak berilmu nanti akan jadi persis Inul, mahu bikin patung sendiri tetapi orang di sekitar marah-marah dan mengancam. Orang sekitar bilang, GUA BUKAN PAHLAWAN, GUA NGGAK PANTES DIPAJANG DI SINI, PANTESNYA GUA DIPAJANG DI KAMAR MANDI. Itulah kain pemidang yang digantung di laman rumah Inul ketika protes massa terjadi. []

No comments:

Post a Comment