Wednesday 4 April 2012

HARTA MEMANG UJIAN SEBENAR UMAT

"SESUNGGUHNYA setiap umat itu akan dihadapkan dengan ujian yang terbesar. Dan termasuk ujian terbesar itu yang menimpa umatku adalah harta." [HR. at-Tirmidzi]
Memanglah harta dan dunia bukanlah tolok ukur seseorang itu dimuliakan atau dihinakan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud:
"Adapun manusia apabila Rabbnya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata, "Rabbku telah memuliakanku." Adapun bila Rabbnya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: "Rabbu menghinakanku." [al-Fajr: 15-16]
Mengenai ayat di atas, Ibnu Qayyim menjelaskan, bahawa tidak setiap orang yang Allah beri kedudukan dan limpahan nikmat di dunia bererti Allah melimpahkan keridhaan-Nya kepada hamba-Nya. Ia hanya ujian dan cubaan dari-Nya. Tidak semua orang yang disempitkan rezekinya, Allah hanya memberikan sekadar keperluan tanpa kelebihan, tidak bererti dihinakan. Allah menguji hamba-Nya dengan kenikmatan sebagaimana juga manusia diuji dengan musibah [Ijtima'ul Juyusy, hal.9].
Dek kerana dunia dan harta boleh menyebabkan pemiliknya selamat serta mulia di dunia dan di akhirat. Iaitu apabila dia mendapat harta dunia dengan cara diperbolehkan dan bukan dengan cara yang batil. Cara yang batil ini melibatkan tipu helah, habuan kerana khidmat tertentu atau orang tafsirkan sebagai rasuah projek.
Memang Nabi s.a.w. ada berpesan, "Tidak boleh iri kecuali kepada dua kelompok: orang yang Allah SWT kurniakan harta kepadanya lalu dia infakkan di jalan yang benar, serta orang yang Allah SWT kurniakan ilmu kepadanya lalu dia mengamalkan dan mengajarkannya." [Muntafaqun 'alaih dari Ibnu Mas'ud]
Kita seronok melihat orang kaya raya tetapi dia menginfakkan hartanya ke jalan kebenaran dan bukan ke jalan kemasyhuran. Begitu yang kaya dengan ilmu mereka mengamalkan ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Ilmu adalah harta bagi seseorang yang berilmu, sama juga orang yang memiliki harta. Baik harta atau ilmu kedua-duanya bukan untuk pakaian sendiri, sebaliknya dipergunakan untuk orang lain, itulah kelebihan orang berharta dan berilmu.
Sayangnya di dalam amalan harian kita, terutama masyarakat kita, kekayaan harta yang merupakan ujian dari Allah SWT tidak digunakan dengan sepenuhnya ke jalan yang benar. Tidak banyak yang diinfakkan ke jalan Allah. Bahkan bukan tidak ada, orang kaya hanya menghamburkan wang untuk tujuan kemaksiatan. Itu tandanya mereka sedang diuji.
Orang yang tidak punya harta juga diuji dengan bermacam ujian. Sebagai contoh, ada seorang jutawan yang mendapat wang hasil daripada projek tol [tak boleh sebut tol yang mana] dan khabarnya dia menerima wang tunai yang besar setiap bulan, entah komisyen atau entah bayaran perundingan apa yang disepakati sekian lama. Wang itu khabarnya disimpan di dalam bonet kereta Mercedez sport. Disimpan di kawasan perumahan yang yang diduga. Sebagai orang kaya, tempat itu hanya dijenguk olehnya bersama pengawal peribadi cum pemandunya.
Pemandu diuji dengan amanahnya. Tidak membocorkan rahsia duit bos yang banyak di rumah itu. Akan tetapi, siapa akan amanah melihat kekayaan orang itu. Menurut kisah, orang kaya itu hanya memberikan wang kepada pengawal peribadi asalkan wang itu digunakan untuk minum khamar, melanggan perempuan urut atau pelacur. Orang kaya akan hulur duit untuk tujuan maksiat sahaja. Mungkin tidak terfikir untuk menghamburkan wang ke jalan yang diredhai Allah SWT lagi. Hatinya belum terbuka.
Disebabkan sikap jutawan yang sedemikian, pengawal peribadi merancang menggunakan ilmu karut bagi mengambil wang berjuta-juta di dalam bonet kereta itu. Dia merujuk kesnya kepada orang pintar yang kemudian menyuruhnya, dapatkan kain kafan. Caranya korek kubur.
Maka, entah khabar sahih atau daif, atau sanadnya terputus, kain kafan mayat perempuan tua di sebuah perkuburan telah diambil. Jalan masuk ke kawasan kubur khabarnya dikawal ketat oleh bodyguard berbayar dan beruniform.
Dapatkah pengawal peribadi ini menggunakan kain kafan untuk mengambil duit dengan cara ilmu karut kebatinan begitu? Melalui kontak telefon, penulis diberitahu oleh orang pintar itu, sehingga kini kain kafan itu disimpan di dalam tajau. Tidak dapat digunakan kerana pengawal dan orangnya mungkir janji. Ini pun ujian juga. Dia diuji dengan keamanahannya. Dia diuji dengan ilmu karut sekali, jumpa dukun dan mempercayai kata dukun.
Ini contoh bagaimana dengan harta orang boleh melakukan apa sahaja. Orang boleh mendakwa bahawa semua ini angkara iblis yang memang tugasnya menyesatkan umat.
Pernah para sahabat menceritakan kepada Abu Dzar r.a. dia bertanya kepada Nabi s.a.w., "Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah mendahului kami untuk mendapatkan pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka juga berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka." [HR.Muslim]
Menurut pandangan umum, orang kaya tentu diberi kelebihan daripada orang miskin, mereka boleh berhaji dan berumrah banyak kali. Mereka ada duit. Sedangkan orang miskin tidak dapat pahala kerana tidak mampu pergi haji dan umrah berkali-kali. Nabi s.a.w. mengingatkan hamba Allah itu, habuan kepada mereka yang tidak punya harta agar mengamalkan kalimat: subhanallah, alhamdulillah, dan Allahu Akbar. Ganjarannya sebesar Gunung Uhud.
Jadi, janganlah tertipu dengan harta dunia sehingga dia diperhambakan olehnya. Kes lelaki jutawan tadi membuktikan dia telah diperdayakan oleh hartanya sendiri. Allah SWT telah mengingatkan kita, "Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." [al-Imran: 185]
Bergantung kepada sejauh mana seseorang itu berilmu atau tidak. Jika orang kaya itu berilmu, dia akan tahu bagaimana membelanjakan hartanya di jalan yang benar. Jika tidak berilmu, maka seperti jutawan tadi, dia hamburkan wang untuk tujuan kemaksiatan.
Pengawal peribadinya juga terfitnah sekali dengan harta dunia, didorongkan ke ruang maksiat seperti khabar yang disampaikan itu. Bukan setakat itu, geram kerana wang hanya diberi ketika bermaksiat, dia ingin mencuba kaedah lain, guna kain kafan untuk mengambil wang yang ada. Logikanya di mana tidak diketahui. Tetapi khabar yang daif mengatakan, sesiapa yang mengenakan pakaian ahli kubur, maka orang itu tidak dapat dilihat oleh manusia pada mata kasar. Konon, pemakai kain kafan ketika di dunia sudah berada di alam arwah alam ghaib yang tidak dapat kita bayangkan.[] 

No comments:

Post a Comment