Thursday 5 April 2012

SPR SERONOK JADI POPULAR

NAMPAK GAYANYA pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia [SPR] enggan tunduk kepada kehendak kelompok Bersih. Walaupun sudah dua kali berhimpun, dan menyatakan pendirian agar SPR melakukan sesuatu, ia masih tidak berganjak, hanya berkutik sedikit sahaja, sebagai membuktikan rakyat didahulukan.
Apa ertinya rakyat didahulukan sekiranya permintaan Bersih tidak dipedulikan? SPR seolah-olah menerima tekanan daripada pihak Umno agar tidak tunduk kepada tekanan, biarlah Bersih menjadi perhimpunan bersiri, dan yang akan datang, ia akan diadakan di Dataran Merdeka. Kita tunggu apakah penguasa pusat memberi izin kepada Bersih duduk berhimpun di atas dataran itu atau ada kelompok NGO akan membuat nota bantahan kerana dataran itu khusus untuk pelancong asing ambik gambar. Pasti ada NGO yang akan buat nota bantahan termasuk aduan kepada polis menjelang perhimpunan itu. Kononnya itu kehendak rakyat majoriti yang ingin keamanan, konon para peniaga kecil membantah, dan macam-macam lagi alasan. Sebenarnya perhimpunan Bersih pun boleh dijadikan salah satu "show" kepada para pelancong bukti bahawa Malaysia ini negara demokrasi, bukan negara kuku besi, bukan negara "baru" yang mula mengukubesikan perundangan setelah Mynmar berubah angin.
Memang pun, kemenangan Aung San Suu Kyi mendapat liputan dari segenap ceruk rantau, dan Malaysia yang sekian lama dikuasai oleh parti "tua" sudah tiba masanya untuk direhatkan. Para pemimpin yang ada hari ini sudah lama duduk di takhta kuasa dan harta melimpah ruah dengan mengenepikan kegelisahan rakyat bawahan tetap berdegil dan enggan memenuhi permintaan Bersih.
Dikatakan pihak pusat enggan menerima tuntutan Bersih kerana dalam perhimpunan itu memuatkan sejumlah tokoh pembangkang. Alasannya tuntutan Bersih bukan dari pihak NGO, tetapi dipergunakan oleh Pakatan Rakyat. Dan jangan lupa, ada juga NGO yang pro-kerajaan menghantar memo bantahan atau repot polis kerana disentuh bahunya agar melakukan sesuatu sebagai tanda sokongan. Jika tidak... yalah, anda pun tahu bagaimana sebuah NGO mahu hidup. Ada NGO yang digeruni dan ada NGO yang mahu dijadikan sahabat pemerintah. NGO yang bersahabat dengan pemerintah biasanya tidak dihormati rakyat, kerana mereka adalah NGO angguk.
Berbalik kepada tuntufan Bersih yang dulu, sampai sekarang tidak ada tanda-tanda separuh daripada tuntutan itu diambil peduli. Nampaknya, SPR tetap patuh dengan arahan pemimpin atasan Umno agar tidak tunduk kepada tuntutan. Ia bukan tuntutan rakyat, tetapi tuntutan pembangkang. Di sini istilah rakyat sudah menjadi lain, mereka yang sokong Bersih bukan rakyatkah? Mereka yang menyertai pembangkang bukan rakyatkah?
Ingatlah, NGO yang menyokong pusat pun belum tentu berkekalan menyatakan sikapnya apabila senario politik negara berubah. Ingatlah, SPR perlu menyelesaikan masalah daftar pemilih, bukan mengeluh sehingga sekarang masih ramai tidak mendaftar. Kenapa orang tidak mendaftar? SPR sendiri seolah-olah menjadi musuh kepada rakyat. Ada yang geram dengan sikap SPR, akhirnya mereka ambil jalan "boikot" tak perlu daftar, yalah, selagi SPR tidak memenuhi tuntutan rakyat. SPR itu siapa? Bukankah ia badan yang perlu memenuhi kehendak rakyat, SPR tidak boleh berdiri sendiri tanpa rakyat.
Kemudian dilaporkan MIMOS mengesan ada 78,000 kes orang yang berdaftar itu menggunakan alamat yang sama, hingga 100 nama tinggal serumah. Kalau sebuah taman perumahan boleh tahan juga, ini sebuah rumah, mungkin itu rumah burung merpati agaknya, waktu mengundi burung itu akan datang dan lepas mengundi semua pulang ke sarang masing-masing. Ini burung hijrah yang diberi segala kemudahan sehingga nama burung itu didaftarkan dan boleh buat sarang sementara dan diperakui pula. Waktu mengundi nanti disediakan sangkar emas untuk mengangkut merpati ke lokasi tertentu. Undilah parti yang banyak berjasa kepada anda wahai merpati, taburan segala bijirin di laman itu untuk santapan anda semua...
Alangkah gembiranya merpati luar. Dan sehubungan dengan burung hijrah ini, khabarnya ada yang dapat kad pengenalan entah kekal atau sementara, ini semua boleh dilakukan dengan dukungan tangan-tangan ghaib. Saya ada sentuh bagaimana propaganda kecanggihan sistem yang ada di JPN itu, kalau menteri punya siap ketika itu juga, tetapi kalau rakyat jembel, yang datang dari latar belakang yang lintang pukang mereka tidak utamakan, tunggu empat bulan baru siap Mykad yang terkini.
Kemudian dilaporkan ada pengundi yang masih hidup dikatakan mati, yang mati dikatakan hidup. Inilah yang orang kata pengundi hantu. Mana ada orang yang sudah meninggal boleh mengundi? Kalau dia mengundi juga, itu ertinya ada hantu yang mengundi. Jadi, awaslah kepada mereka yang mempunyai sanak saudara telah meninggal, semak nama arwah itu, mungkin terpacul dalam senarai. Itulah komen orang ketika gebang-gebang di laman masjid baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, ada pula tanda tangan palsu mengatakan minta tukar alamat, tukar tempat mengundi. Ini apa cerita? Ini membuktikan SPR bukanlah badan yang profesional, tetapi masih bertatih seperti negara miskin yang baru belajar mengadakan pilihanraya.
Pada pandangan rakyat bawahan, SPR itu dikendalikan oleh orang-orang yang mahir dan boleh menyelesaikan masalah data dengan tangkas. Sebaliknya, teguran demi teguran, kritik demi kritik diterima, dan semua ini dipaparkan dalam media bukan pemerintah. Kenapa? Media kerajaan tidak mahu melaporkan kelemahan SPR, sebab mereka hanya menyalahkan rakyat yang tidak mahu mendaftar sebagai pemilih. Itulah keluhan dan rintihan yang kita dengar saban hari. Mereka gelisah kerana peratusan yang mendaftar berdasarkan orang yang layak masih tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Kenapa gelisah?
Kegelisahan pihak SPR sudah dibaca rakyat bawahan, ia bukan kerana orang enggan daftar sebagai pengundi, tetapi bimbang pengundi yang ada sekarang tidak berpihak kepada UBN.
Tindak-tanduk pihak SPR ini bertambah jelas apabila menubuhkan Jawatankuasa Penambaikan Sistem Pilihanraya Parlimen [PSC] dengan tujuan memenuhi hasrat Bersih yang terdahulu. Jawatankuasa ini khabarnya telah bersidang selama enam bulan dengan enam pendengaran awam, tapi macam itu juga. Penuh retorik. Masih ada penipuan dalam daftar pemilih yang masih kelam-kabut. Adakah dalam keadaan daftar pemilih yang tidak bersih ini pilihanraya nak diadakan juga?
Barangkali SPR seronok jadi popular. Apabila orang berhimpun dalam Bersih 3.0 nanti nanti SPRlah yang akan sibuk menjawab dan menangkis tuduhan. SPR jadi sasaran, sedangkan para pemimpin yang duduk di pusat berpeluk tubuh atau mengarahkan agar ada tangan-tangan ghaib menyuraikan mereka yang berhimpun di Dataran Merdeka dengan tindakan keras. Atau, bersediakah pihak tertentu menyediakan nasi briyani kambing di tempat orang yang ditahan dilabuhkan di suatu lokasi istimewa. Kemudian wartawan dan jurugambar berebut menemuramah orang yang sedang menikmati briyani.
"Tak sangka kami mendapat layanan begini istimewa, walaupun ditahan, kami dilayan dengan baik, diberi makanan dan minuman horlicks ais percuma!" ujar seorang pakcik dari pedalaman Perak yang berada di lokasi penyantunan rakyat.
Seorang wartawan media utama terkejut mendengar komen pemuda kampung dari Kedah. "Saya kalau boleh nak buat lagi Bersih 4.0 kalau dapat layanan istimewa seperti ini." Beranikah wartawan ini laporkan dalam media utama? Sudah tentu tak akan berani. Ini semua adalah andaian yang tak mungkin terjadi lagi kali ini jika Bersih 3.0 membuahkan hasil. []

No comments:

Post a Comment