Friday 6 April 2012

UNCANG RIMAU SEBUAH MISTIK SILAM

BERKATALAH YANG EMPUNYA CERITA bahawa ada sebuah uncang warna hitam yang diperbuat daripada kulit haiwan. Uncang ini kecil sahaja, hanya sebesar ibu jari. Dulu, orang memanggilnya uncang rimau, itu di zaman Majapahit. Ada yang kata uncang ini jadi pusaka orang zaman ini.
Orang dulu tidak ada kegiatan lain untuk mencari wang. Mereka sangat bergantung kepada alam sekitar. Di keliling mereka penuh hutan dan haiwan buas, maka timbul kepercayaan dan keyakinan bahawa sesuatu benda yang bersifat mistik jika dipegang atau dipakai, ia akan menyelamatkan diri dari gangguan haiwan buas.
Diriwayatkan, banyak benda-benda mistik zaman silam yang sudah lenyap -mokswa- tetapi ada juga yang dengan cermat menyimpan benda itu sebagai pakaian harian, dibawa ke sana-sini, lalu timbul kepercayaan bahawa benda mistik itu boleh dijadikan pendinding dari sesuatu.
Uncang rimau ini tidak diketahui wujud di Semenanjung Emas pada masa dulu, tetapi kalau ada sesiapa yang berasal dari kerajaan Majapahit, tentu mengetahui keberadaannya.
Uncang rimau ini pada zaman dulu dijadikan tangkal atau azimat dengan cara menyarungkan uncang pada ibu jari tangan kanan atau kiri. Uncang sebesar ibu jari ini jika dipakai di ibu jari, pemakainya konon boleh berubah menjadi harimau, bukan harimau betul, tetapi kemampuan melompat seperti harimau, kemampuan memanjat, kemampuan menyerang atau mempertahankan diri. Pendeknya dia memperoleh tiger power yang sakti. Pemakainya tangkas seperti harimau.
Di Mataram, khabarnya, uncang kecil ini dipakai pada ibu jari kaki. Uncang rimau ini jika dimiliki seseorang datuk, dia akan menyerahkan kepada warisnya. Uncang rimau perlu diwarisi sebagai benda saka. Nenek moyang mereka menjaga uncang harimau dengan berhati-hati, setia dan tetap kerana keyakinan mereka jitu terhadap objek yang satu ini.
Menurut sumber, uncang rimau ini mempunyai khadam dampingan yang memiliki kekuatan harimau. Khadam ini berpunca daripada bahan kulit itu adalah dari harimau pilihan. Ia memberi unsur khadam dan tenaga luar biasa.
Menganehkan, sesiapa yang menyimpan uncang rimau ini di rumah, mereka akan mendengar suara auman harimau dalam rumah. Suara auman itu berpunca daripada uncang rimau ini. Jika berbunyi demikian bermakna ia masih aktif dan perlu dijaga dengan betul. Maksudnya uncang rimau perlu diritualkan walaupun ia memang berbau khurafat.
Uncang rimau juga ada yang dikaitkan dengan jelmaan harimau putih -jadi-jadian- Pemilik uncang ini tidak boleh meletakkan uncang sesuka hati. Jika uncang itu dijadikan benda mainan oleh kanak-kanak, iaitu dengan menyarungkan kepada ibu kaki kanan atau kiri, atau menyarungkan pada ibu jari tangan, maka kanak-kanak itu akan membawa tabiat liar seperti harimau.
Dikatakan, ada kes di mana pemilik uncang harimau lupa meletakkan di tempat tersorok, uncang itu dijadikan mainan oleh si anak. Apa lagi, setelah disarungkan pada ibu jari tangan, si anak terus agresif, dia masuk ke hutan dan tidak mahu balik ke rumah. Dia khabarnya telah diresapi semangat harimau.

RAHSIA
Uncang rimau ini memang asalnya diperbuat daripada kulit harimau, sesuai dengan namanya. Ia jadi hitam kerana disimpan terlalu lama. Pemilik uncang perlu menyimpan dengan cermat, tidak boleh dipakai oleh seseorang dengan tujuan menguji keampuhannya. Sebab ada ketikanya, uncang rimau akan menjadikan anak pemilik berkelakuan harimau atau menjelma menjadi jadi-jadian harimau. Biasanya harimau warna putih. Tidak hanya itu pemilik uncang yang memang tahu cara menggunakannya, ia boleh dijadikan sebagai sarana untuk kemaksiatan.
Jadi, objek mistik seperti ini tidak sesuai sebagai pakaian umat. Ia hanya objek kenangan zaman silam, zaman orang belum mengenal tauhid, zaman orang masih berfaham animisme. Di zaman sekarang bukan tidak ada orang yang ingin menguji kebenaran cerita, mencari uncang rimau sekadar untuk main-main.
Memang pada zaman silam uncang harimau dijadikan pakaian diri untuk menentang atau melindungi dari serangan haiwan buas, melindungi diri dari gangguan orang-orang yang berperangai gangster. Di zaman dulu, gangster hutan ada di mana-mana, mereka menghadang orang dan merampas apa sahaja barang milik yang ada. Justeru uncang rimau telah dijadikan senjata untuk perlindungan.
Sesiapa yang menggunakan uncang hitam ini, dia dikatakan boleh menghilang dengan tangkas, setangkas harimau. Pada saat terdesak, musuh tidak dapat melihat kehadiran pemakai uncang rimau.
Uncang ini menurut mereka adalah sarana untuk menjadi makhluk halimunan. Pemakai uncang akan hilang dari pandangan manusia biasa. Apa uncang rimau dipanek [dipakai] orang itu akan lenyap dari pandangan.
Benda mistik ini sesuai sebagai pakaian ahli maksiat, baik untuk mencari harta kekayaan, mencari kepuasan biologis atau mengelabui orang. Sekarang, istilah yang tepat, ia dianggap sebagai sarana penting untuk persugihan [sugih=kaya].
Pemilik uncang ini perlu mempelajari mantera yang diajarkan nenek moyang dulu. Selain untuk pakaian diri, uncang ini boleh digunakan secara rantaian. Boleh digandingkan dengan cara berpegangan tangan. Secara otomatis, power harimau itu menjalar kepada mereka. Kedua-duanya juga dikatakan boleh menghilang.
Konon, ada pengamal ilmu uncang rimau ini boleh pergi ke sesuatu tempat yang jauh dalam masa beberapa minit. Dia seolah-olah mempunyai tenaga luar biasa.
Hasil dari salah guna uncang ini, konon di hutan sana ada makhluk jadi-jadian yang asalnya manusia. Dia lari dari rumah sebagai harimau jelmaan [reinkarnasi?] dan kekal dalam dunia mistik rimba.
Biasanya kalau cerita mistik akan ditambah dengan rambu-rambunya. Maka tidak hairan uncang rimau juga konon pernah dipakai oleh tokoh ternama seperti Sultan Agung, Angling Dharma dan Sabda Palon.

MATI KELAPARAN
Ada kisah apabila si anak tadi sudah lari ke hutan kerana bermain-main dengan uncang harimau, maka dia tidak tahu bagaimana hendak memulihkan diri sendiri kecuali orang tuanya yang tampil atau gurunya sendiri.
Si anak tetap berada di alam rimba, hakikatnya dia manusia tetapi telah "memakai" pakaian harimau. Maka dia merayau-rayau tetapi tidak dapat menangkap seekor haiwan pun. Puncanya, jelmaan ini adalah manusia, di tengah hutan dia perlu makanan seperti manusia. Disebabkan tidak akan makanan sesuai, lagipun dia bukan anak harimau, maka dia mati kelaparan.  
Bangkai yang ditemui itu masih melekat uncang hitam di bahagian ibu jari. Uncang ini boleh diambil dibersihkan dan dipakai semula oleh orang lain. Putaran hidup uncang ini akan berterusan.
Jadikan kisah ini sebagai dongeng penglipur lara, hendak diyakini jauh sekali. Sebab ia adalah kepercayaan dan mainan umat di zaman silam. []
 

No comments:

Post a Comment