Tuesday 10 April 2012

TENTANG LELAKI PAKAI PEREMPUAN

Tulisan ini bukan wacana ilmiah. Sekadar hendak berkongsi pendapat. Masyarakat kita terutama penggemar hiburan selalunya fanatik sekali dengan halaman hiburan. Sehingga apa sahaja yang berkaitan dengan dunia artis atau selebriti akan dijadikan bahan bacaan di waktu lapang dan waktu sendat.
Baru-baru ini saya terbaca sebuah rencana mengenai seorang "artis" yang selalu tampil dengan pakaian wanita. Daripada kenyataan artis itu, dia memang sejak dulu jadi sasaran kritik. Walaupun dikritik dia tetap ngotot dengan pendiriannya, bahawa dia adalah orang yang berbakat besar, apa salahnya bakat yang dikurniakan Allah SWT itu dipergunakan sepenuhnya.
Selalunya, kita bersandarkan kepada bakat. Bakat seni selalunya dipandang mulia ketimbang bakat sebagai penipu, penyamun, perompak, perogol atau bentuk kemaksiatan lainnya. Kalau tidak ada bakat, seseorang tidak akan cenderung ke arah itu. Ingatlah, selalu orang ungkit soal bakat, sehingga program tv kita bahkan di mana-manapun orang sibuk nak mencungkil bakat terpendam.
Lahirlah macam-macam idea diputarkan oleh mereka yang nak mempopularkan diri, jadi penganjur dan sanggup menaja program itu. Program mencari bakat sangat digemari umum hinggakan untuk mencari imam muda pun terpaksa diadakan program pemilihan dengan meniru gaya program realiti dari Barat.
Meski telah berlaku penyimpangan kaedah, ia masih berpaksi kepada program realiti di sana. Ia bukanlah program yang asli muncul daripada pemerahan otak daripada orang kita.
Kemudian, sejak akhir-akhir ini berlaku semacam kecelaruan dalam menentukan sesuatu itu boleh atau tidak boleh. Kalangan ilmuan nampaknya tidak berminat langsung hendak campur tangan dalam urusan warganegara penduduk dunia hiburan yang melata di dunia ini. Mereka membisu dan tidak berapi dicap ulama penyibuk, masuk campur urusan orang, buatlah urusan anda sendiri yang masih belum beres.

KATA-KATA JADI IKUTAN
Ingatlah, bahawa seseorang artis yang dijadikan idola kelompok tertentu kata-kata mereka akan dijadikan sandaran hujah. Berpaksi dari sini, sesiapa pun, terutama wartawan hiburan adalah pemangkin utama dalam penyebaran bahan yang tidak bermanfaat.
Contohnya, mengenai kritik sebahagian kelompok terhadap penampilan seseorang artis yang meniru-niru wanita. Bukankah kita sudah mengetahui bagaimana hukumnya kalau seseorang lelaki itu meniru-niru wanita? Baik berpakaian, berpenampilan, gaya suara, memakai cincin emas, rantai emas, bertindik, dan macam-macam lagi yang feminin, maka jika ia berlaku kerana dorongan yang bukan alami, bukan yang semulajadi, maka ia berlawanan dengan fitrah seseorang.
Apabila telah jelas hukumnya, wartawan hiburan tidak perlu menjadikan isu berpakaian wanita itu sebagai satu wacana untuk memberikan keringanan [rukhsah?]  berdasarkan cara mereka menulis.
Contohnya, artis berkenaan sebenarnya pernah ditegur oleh jiran-jirannya. "Tak malu ke anak kamu pakai perempuan dalam tv? Bapak dia ulang alik pergi masjid anak pula jadi begitu?"

APA KOMEN IBU YANG ANAKNYA JADI ARTIS?
Dia kata mudah sahaja untuk menutup mulut jiran-jiran.
Dia kata, "Dia pakai perempuan pun dia dapat DUIT."
Alasannya, penampilan sebagai perempuan itu hanya sebahagian "kecil" daripada persembahannya. Kebetulan artis ini dikenali sebagai penghibur [?] yang suka menggayakan pakaian begitu. Dia suka mengajuk karakter artis wanita ketika di pentas.Ia gerak kerja profesional, jadi jangan komen lebih-lebih. Habis di pentas, dia akan pakai biasa.
Pihak artis pula komen: "Tengok diri dulu, tahu siapa diri kita dan yang penting keluarga tahu apa yang kita lakukan."

NASIHAT ARTIS
Kemudian artis itu beri nasihat kepada umum. "Jangan peduli dengan apa yang orang kata. Kalau kita goyah dengan kata-kata orang, tentu kita tak bertahan lama dalam apa bidang pun."
"Kita kena jujur, bahawa kita tak boleh paksa diri kita  buat kerja yang kita tidak suka dan DUIT persembahan itu jugalah yang membawa saya ke Makkah DUA KALI untuk mengerjakan umrah."

KATA ARTIS
Dia sedar sebagai orang islam haram bagi lelaki memakai pakaian wanita tetapi dia hanya tampil untuk tempoh 2-3 jam sahaja. Dia bukan tidak menangis kerana rasa bersalah melakukan perkara ini. Percayalah! Kemudian dia berkata, Tuhan tidak akan menjatuhkan hukum ke atas makhluk-Nya sesuka hati tetapi menilai HATI manusia ciptaan-Nya. DIA lebih faham dengan apa yang kita lakukan terutama mencari rezeki.

KOMEN ARTIS LAGI
Tengoklah, baik pak imam, tahfiz, jutawan pun dan siapa sahaja, mereka nak pergi ke Makkah jauh sekali. Tetapi kalangan artis, mereka boleh pergi bila-bila masa, dan beberapa kali hasil dari rezeki mengartiskan diri. Bukan mahu bongkak tetapi ini semua kuasa Allah.
Dan menurut keyakinan artis itu, semua ini terletak pada hati seseorang.

ISU UTAMA
Berbalik kepada isu pertama tadi, tentang lelaki memakai pakaian wanita, jelas kalau merujuk kepada apa pun sumbernya, kelompok ini termasuk golongan yang tidak taat dan tunduk kepada hukum Allah dan rasulnya. Juga golongan yang menurut kehendak nafsu sendiri, juga yang membantah tanpa ilmu pengetahuan yang benar, juga mereka yang memilih bersangatan kepada perkara-perkara hiburan yang melalaikan dan mengejek-ejek agama Allah.
Ini semua sebenarnya adalah apa yang para penganalisis sosial katakan sebagai kesan negatif daripada media massa. Paparan dalam ruang hiburan akan membentuk pandangan dan keyakinan pembaca, bahawa sesuatu itu dibenarkan jika sesuai dengan HATI seseorang.
Kemudian ia memberi gambaran buatlah sesuatu yang menyalahi pun asalkan anda rajin mengerjakan UMRAH itu lebih baik daripada golongan yang selalu "berkutbah" dan masyarakat diajar agar lebih mengutamakan DUIT daripada soal bagaimana dan kaedah memperoleh sumber itu. Ia secara tak langsung seakan-akan telah "memfatwakan" bahawa ia tidak mengapa.
Maka kesannya, para pembaca yang kurang ilmu membenarkan kenyataan yang dituturkan oleh artis mengenai pemakaian di pentas hiburan tadi.
Nanti orang bertanya, lelaki berpakaian wanita di Alor Star, Penang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru kena kejar penguatkuasa agama kerana berpakaian sedemikian, kenapa pula dibenarkan untuk tampil di atas pentas? Sedangkan pentas ratu cantik pun pernah kena serbu, apalagi artis buat persembahan begitu?  []

No comments:

Post a Comment