Friday 6 April 2012

NAIK KUDA MASUK HUTAN DAPAT ILMU

SEORANG LELAKI YANG MENGGELAR DIRINYA ABAH, [jika di tempat kita digelar Tuk Ayah] berkata, dia selalu bersiar-siar ke hutan dengan menaiki kuda. Kalau naik pacuan empat roda tentu lain pula ceritanya. Jadi, dia naik kuda masuk hutan seperti pahlawan atau pendekar masa silam dengan tujuan mengharapkan wangsit atau bisikan dari mana-mana.
Bisikan apa yang ada di tengah hutan itu? Bisikan riang-riang? Bisikan unggas? Selain itu dia juga suka ziarah makam. Bukan asal makam, tetapi makam yang dikaitkan dengan Sunan Bejagung Tuban. Itu nenek moyang Abah.
Dia mendakwa, dengan kunjungi makam, naik kuda, bersiar-siar di tengah hutan itu dia mendapat sejumlah ilmu yang dia peroleh secara bisikan - hawa-tif - tapi dia dakwa ilmu dari sumber ulama ahluss sunnah.
Kenapa kisah ini dipaparkan?
Ini untuk membuktikan bahawa untuk belajar sesebuah ilmu itu kita kena pastikan dari mana ilmu itu diambil. Dalam kes Abah ini, dia seperti Wak Aji, mengaku mendapat ilmu daripada kawasan hutan. Makam yang dia kunjungi itu hanya sebagai kebiasaan kerana dia percaya dengan mengunjungi makam leluhurnya dia akan mendapat sesuatu secara psikologi.
Hasilnya, sesiapa yang menganggap dia sebagai "pakar" tentulah akan mengambil ilmu dari sumber tadi, sumber dia peroleh dari atas kuda. Bisikan siapakah yang menuturkan segala macam ilmu.
Nampaknya, masih ada orang yang merawikan kisah dongeng seperti cerita dulu.
Di negara kita bukan tidak ada si pintar yang mendakwa pernah berguru di Gunung Kumbang, dan dia memiliki sejumlah ilmu yang ada kaitan dengan kehaiwanan, iaitu harimau putih.
Harimau putih memang jarang ada. Jika ada pun ia hanya dalam bentuk mistik. Bukan tidak ada orang mendakwa memiliki benda-benda mistik yang kalau digunakan sebagai pendinding, ia akan memperlihatkan kelibat harimau putih yang menakutkan orang lain. Atau dia mendakwa bahawa di rumah pemilik akan kelihatan beberapa ekor harimau putih duduk seperti menunggu rumah. Semua ilmu ini didakwa diperoleh dari kawasan hutan.
Cerita macam ini kita boleh dengar sebagai bahan penglipur lara, tetapi nak percaya memang tak kena andai kita menjaga waktu solat dan yang selainnya. []

No comments:

Post a Comment