Friday 6 April 2012

WAK AJI YANG HEBAT

IKLAN WAK AJI

WAK AJI ini bolehlah dianggap hebat. Di dalam sebuah iklan tentang kepandaian dan keahlian ilmunya, Wak Aji kata dia pernah merantau ke segenap ceruk rantau, termasuk ke hutan rimba di sebuah pulau yang berhampiran kediamannya.
Ketika melanglang buana itu, dia telah singgah di tempat yang sunyi, tempat yang orang tak jenguk, kata orang tempat jin bertendang. Dia pun duduk melakukan tirakat, bermeditasi yang entah bagaimana kaedahnya, sebab sebagai orang pakai kupiah, meditasi bukanlah kaedah yang sesuai. Tetapi itulah yang Wak Aji kata, dia melakukan tirakat dan meditasi di tempat sunyi. Maknanya di kawasan hutan rimba.
Kenapa dia sanggup melakukan langlang buana begitu?

OPEN UNIVERSITY

Kata Wak, dia nak cari ilmu. Kalau begitu inilah ilmu yang istimewa, universiti terbuka di kawasan rimba dengan kaedah tirakatan dan meditasian.
Tujuan Wak lakukan semua hal ini adalah untuk mendapatkan petunjuk pada yang kuasa.
Tidak terfikir di dalam minda orang lain seseorang boleh mendapat petunjuk di celah rimba dengan meditasi begitu.
Tetapi itulah yang Wak Aji kata.
Selama tiga tahun dia duduk dalam rimba, dekat sebuah gunung bernama Maja. Tidak hanya itu, dia melakukan puasa khusus, iaitu puasa bid'ah yang tidak ada dalam syariat agama.

RAJA JIN

Puasa khusus ini maksudnya seperti mutih, pati geni, ngalong, ngeluwang, lelono dan macam-macam lagi.
Ketika nyepi di tengah hutan itulah, dia mendakwa apa yang diharapkan dan apa yang dihajatkan telah ditemui. Dia bertemu dengan Tengku Raja Jin Muslim.
Wak Aji pun berkenalan dengan jin bangsawan ini. Dia berbaik sangka dengan jin ini dan seterusnya bersahabat dengan jin-jin yang ada di negeri antah berantah itu.
Kata Tengku Jin, "Anda tolong saya, saya akan tolong anda walaupun kita berbeza dimensi!"
Dalam pada berbuat baik itu, Wak Aji sempat bertanya tentang amalan ilmu duniawi yang dihajatkan.
"Ilmu ini hanya perlu ritual, tak ada pantangnya," kata jin berpura-pura.
Wak Aji diberitahu, bahawa jin itu sanggup menolong Wak. Kalau ada sesiapa yang jumpa Wak Aji minta tolong itu dan ini, misalnya nak kekayaan, persugihan, nak wajah cantik, nak naikkan karisma diri, nak bangkitkan aura dan macam-macam lagi, silakan jumpa Tengku Raja Jin yang baik hati.

SAHABAT JIN

Andai jin ini menyebabkan Wak Aji semakin bertambah sesat pun, Wak Aji tak akan tahu. Dia kena beringat, jin ini dari alam lain, sedangkan alam Wak Aji adalah alam nyata.
Sesiapa yang inginkan ilmu dari sumber jin ini kena tunggu di rumah sahaja, Wak Aji yang akan hantarkan semua perkara kepada jin di tengah hutan.
Bagaimana ritual dan tatacaranya tidaklah diketahui. Tetapi Wak Aji sudah lama berkawan dengan jin. Jika ada sesiapa yang tak percaya dengan kaedah Wak dan nak ikut, silakan. Wak akan ajak orang itu masuk hutan.
"Tapi ingat, kalau jin itu muncul nanti, kamu jangan lari lho!" pesan Wak Aji.
"Kenapa Wak?"
"Jin ini menakutkan, tapi saya udah biasa bertemu setiap kali masuk hutan, jadi tak gerun lagi," tutur Wak.
Sesiapa yang belajar sesuatu ilmu daripada Wak Aji, maka orang itu adalah berguru kepada jin.
Dari Tengku Jin, ilmu itu diturunkan kepada Wak Aji. Kemudian Wak akan bagi kepada sesiapa sahaja yang sudi mampir dan bersila di depannya.
"Oh, ini tak apa kok. Ini halal, tidak menyalahi..." kata Wak Aji. Entah apa yang halal dan entah apa yang tidak menyalahi, inilah proses mendapat ilmu yang agak pelik.
Wak Aji bolehlah dianggap salah seorang yang pernah berguru kepada jin di tengah hutan untuk meraih secebis ilmu guna berbakti kepada masyarakat umum yang tak tahu apa itu tirakat, semedi, medtiasi dan puasa dalam hutan. []

No comments:

Post a Comment