Friday 22 June 2012

LAGI TENTANG TOYOL

CERITA TENTANG TOYOL memang tidak akan habis. Ada sahaja versi baru, penambahan dan sebagainya.
Contoh: kalau orang tanya toyol itu berasal dari apa?
Memang tidak ada orang boleh jawab.
Tetapi di kalangan cerdik pandai dan ahli para normal di Jawa, mereka mengatakan toyol itu berasal dari janin manusia yang tidak sempat membesar. Ia telah menjalani keguguran. Dan dalam proses keguguran itu, ada orang yang cuai, ada yang buang janin begitu sahaja ke longgokan sampah, dalam longkang, dalam lubang tandas, bagi makan kucing atau anjing atau ke mana sahaja asalkan dapat cuci tangan!
Tetapi menurut pengamatan kalangan spiritual ghaib, janin yang terlantar itu akan menjadi habuan dengan mahluk jin sejenis toyol, janin itu dikutip dan dipelihara hingga membesar sebagai toyol.
Menurut versi Petaling Jaya pula, seorang ustaz ada beritahu cucuk satey atau daging panggang di tanah Arab pun boleh dijadikan toyol kalau pandai memuja dan menjadikannya berjin bertoyol.
Jadi, maklumat ini tentulah tambahan daripada cerita janin tadi.
Biarlah kita temukan banyak versi cerita tentang toyol.
Mengenai janin ini pula ada yang kata janin berusia 7 bulan pun boleh diproses untuk dijadikan toyol. Maknanya ada keahlian seseorang untuk membentuk benda itu agar menjadi berjin dan bertoyol. Janin itu besarnya lebih kurang 20 sm.
Hal toyol ini pun perkara pelik. Jika seseorang ingin memelihara toyol dia kena jumpa dukun yang bela toyol. Macam orang nak beli anak anjing atau anak kucing. Kena jumpa pekedai haiwan. Bukan semua orang pakar dalam pentoyolan. Banyak yang tak tahu apa pun.
Lalu jumpalah orang yang ahli di bidangnya. Di negara kita tidak ada iklan PAKAR TOYOL dalam akhbar atau majalah. Tetapi di negara jiran kita ada jurukunci yang siap membawa anda berjumpa pakar toyol.
Boleh dinyatakan berapa harga toyol yang anda sanggup atau mampu bayar.
Paling murah adalah Rp5 juta dan paling mahal hingga Rp10 juta [x RM350 l.k sejuta Rp.]
Ada jurukunci kata, jika ingin beli toyol cantik datanglah ke Kunigan, Jawa Barat; atau ke Tulung Agung, Jawa Tmur; atau Karang Pucong, Cicalap; atau jenguk ke Cirebon.
Ketika saya di kampung, ada juga orang kampung kata ada orang Jawa di Sg Panjang, Selangor, disyaki memelihara toyol [sudah jadi tanggapan biasa, jika ada orang Jawa pergi ke Jawa untuk ngelencer berhati-hatilah dengan fitnah toyol].
Menurut yang empunya kisah, hanya perempuan sahaja yang layak bela toyol. Sebab toyol itu macam bayi, suka merengek, minta disusui dan diberikan makanan. Jadi, sesiapa yang bela toyol kalau lepas makan tak perlu cuci tangan sebab toyol nak jilat jari tuannya.
Paling lama toyol dipelihara sampai 10 tahun. Apabila cukup tahun, kena cari toyol baru.
Orang yang bela toyol pun bukan terus kaya. Kena tunggu bertahun-tahun baru boleh kaya raya. Tapi kaya guna toyol tidak sama dengan kekayaan bela lembut NFC atau dapat projek politik.
Ada orang kata, kita boleh tangkap toyol. Memang boleh, tapi kena ada kepakaran. Kemudian ada yang kata boeh sumbat toyol dalam botol. Boleh dilihat. Hanya, tak boleh dirakamkan gambarnya. Kalau guna kamera canggih pun, hanya botol kosong yang dapat dirakamkan gambarnya.
Khabarnya, orang Cirebon pun ahli dalam toyol. Toyol dari daerah ini dianggap yang terbaik. Ada juga toyol yang dijual, toyol yang dilelong dan toyol yang boleh dibeli dengan ansuran!
Sesiapa yang ingin beli toyol, kena sediakan sangkar toyol, bilik tidurnya, ada tilam dan bantal kecil [bayi], kena mandikan toyol dan menyusui macam bayi. Leceh juga.
Ada pula yang kata, toyol dari Cirebon kecil-kecil, manakala toyol dari tempat lain ada yang besar macam budak remaja atau orang dewasa. Kalau besar begitu tentulah tak dipanggil toyol lagi, kerana ia sudah jadi makhluk lain - mungkin hantu raya atau belaan lain.
Entahlah. Mana ada orang kaya kerana toyol? Kalau ada lebih baik buka business francais pembrong toyol, edarkan ke Malaysia. Buka cawangan. Hebat. Toyol diternak dan dijual merata-rata. Meriah sungguh! [] 

No comments:

Post a Comment