Wednesday 13 June 2012

POLITIK MELAYU MAKIN KALUT

SETIAP HARI kita dengar pihak Barisan Nasional buruk-burukkan para pemimpin atau negeri yang ditadbir oleh pembangkang.
Pihak BN anggap pihak Pakatan Rakyat tidak tahu mentadbir, tidak tahu mengurus kewangan dan macam-macam lagi tuduhan. Pendeknya, rakyat sejak dahulu lagi sudah diberitahu bahawa hanya Umno sahaja yang tahu memerintah negara.
Tetapi pihak Umno lupa, bahawa zaman sudah berubah. Apa yang mereka kata sudah tidak sesuai lagi dengan zamannya. Tuduhan bahawa Pas, DAP atau PKR tidak tahu memerintah sudah dapat dipatahkan oleh pemerintahan contoh di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Sepatutnya PR mempunyai contoh tambahan, iaitu Perak untuk mendampingi Kedah yang juga ditadbir oleh kerajaan Pas.
Kini teori karut yang mengatakan hanya Umno yang tahu memerintah sudah lebur. Puak Umno terpaksa memikirkan teori lain pula.
Sama kesnya apabila pihak pusat seperti mencabar kerajaan Selangor supaya uruskan pelajar Universiti Selangor dan sebuah kolej lainnya.
Apabila kerajaan Pusat mengugut menarik bantuan pinjaman kepada pelajar, kerajaan Selangor tidak mati arah, sebaliknya Menteri Besar, Khalid Ibrahim dapat alternatif lain. Apabila alternatif itu dinyatakan kepada umum, pihak pusat jadi kebingungan. Tidak terfikir pun hendak mengatasi masalah itu dengan sumber dari dana lain.
Jika Selangor dibiarkan mengurus, maka pihak pusat akan terpinga-pinga. Sedangkan pihak pusat bercita-cita besar hendak merampas Selangor dari Pakatan Rakyat. Akhirnya, pihak pusat malu sendiri.
Politik Melayu semakin kalut sejak terjadinya kebangkitan rakyat, kebangkitan sebuah kuasa politik baru di Malaysia, Pakatan Rakyat.
Sejarah kelahiran Pakatan Rakyat sudah diketahui umum. Sejarah moden Malaysia perlu mencatatkan pertumbuhan kerajaan baru ini tanpa selindung atau rasa malu. Pihak arkib perlu menyimpan khazanah negara yang memalukan.
Sebenarnya terlalu banyak perkara duka yang berlaku dalam sejarah negara. Agak sukar hendak membersihkan negara menjadi seperti sedia kala.
Bayangkan, pertumbuhan parti-parti baru ini ada kaitan dengan orang yang bernama Anwar Ibrahim. Jika orang itu bernama Ibrahim Ali, Hassan Ali, Najib atau siapa pun, nescaya tidak akan lahir parti baru, tidak akan wujud Bersih 1.0. Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.
Percayalah, hanya Anwar Ibrahim seorang yang mampu mencorakkan sejarah politik negara dengan corak yang lebih ketara. Ibrahim, Hassan atau Najib tidak mampu membawa Malaysia ke mana-mana. Mereka memang tokoh politik, tetapi ketiga-tiganya tidak ada karisma. Tanpa dukungan orang di sekitarnya, ketiga-tiga nama ini tenggelam ditelan zaman. Percayalah.
Satu lagi nama yang jangan lupa disebut ialah Dr M.
Dia adalah pencanai masa depan Malaysia sejak tahun 1989. Itulah momentum yang merancakkan percaturan politik Melayu. Sayangnya, percaturan politik ketika itu terlalu kalut.
Dr M terkial-kial mencari punca. Dia menggunakan jabatan utama untuk membantu meluruskan pandangan rakyat.
Media dijadikan tukul sepenuhnya. Undang-undang dikuatkuasakan walaupun tidak membawa kepada keadilan sosial. Kes dan entah apa-apa kes ditimbulkan di zaman beliau. Ketika itu orang menganggap apa yang diceritakan, apa yang dipaparkan benar belaka.
Kini setelah berlalu lama dan Dr M telah terguling, tembelangnya semakin nyata. Terlalu banyak kecacatan dalam pentadbiran beliau. Beliau layak dinilai di bawah satu tribunal, bukan tribunal jenayah perang, tetapi tribunal jenayahnya, menyalahgunakan kuasa, meletak kuasa sewenang-wenang, semua tindakannya betul belaka, tidak boleh disanggah, maka kini rakyat melihat Dr M adalah seburuk-buruk pemimpin yang pernah dilahirkan di Malaysia.
Menyusul nama Dr M adalah pemimpin berikutnya yang naik dengan membawa skandal Scorpene dan kes Altantunya.
Rakyat ingin melihat pemimpin tanpa skandal. Skandal yang bersifat fitnah masih boleh diterima oleh rakyat, seperti kes yang menimpa Anwar Ibrahim. Dia meskipun dihina, diaibkan sampai begitu teruk sekali, hingga tak ada ulama berani bersuara, dia tetap gagah. Kini terbukti Pakatan Rakyat semakin kukuh.
Disebabkan faktor inilah BN sekarang benar-benar goyah. Pemimpin BN naik dengan membawa masalah yang semuanya telah diketahui oleh rakyat. Hanya media membodohkan rakyat.
Sampai bila orang Melayu akan dibodohkan oleh medianya sendiri?
Kita akan lihat suatu hari nanti, media Melayu memohon maaf kerana dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Bukan medianya, tetapi orang yang terlibat mencorakkan media itu sebegitu rupa. Insya-Allah, jika keadaan telah ditetapkan begitu. []

No comments:

Post a Comment