Sunday 24 June 2012

MAJLIS PERKAHWINAN JADI SASARAN PENYAMUN

SUDAH BANYAK KALI terjadi majlis perkahwinan dijadikan sasaran penyamun. Ketika tuan rumah sibuk-sibuk melayan tetamu ada sahaja "penyamun bertudung" masuh menyelinap, berpura-pura jadi rakan pengantin lelaki atau perempuan, berpura-pura menghantar sesuatu benda atau bungkusan hadiah, berpura-pura jadi orang penting walaupun tidak penting lagi.
Mereka yang pernah mengalami kerugian gara-gara penyamun tak diundang ini memang anggap semua kisah yang terjadi seperti gurauan belaka. Tahu-tahu wang hantaran lesap. Tahu-tahu barang perhiasan lenyap. Tahu-tahu beg duit salah seorang pengantin atau tetamu atau saudara-mara pengantin lesap.
Kenapa penyamun berwatak baik ini boleh menyelinap masuk ke rumah pengantin yang sedang sibuk-sibuk membuat persiapan?
Mereka sebenarnya telah mengkaji keadaan rumah pengantin di mana-mana pun. Semuanya sibuk dengan hal tertentu. Perkara remeh, bilik pengantin, tempat meletak beg tangan, barang perhiasan dan duit-muit semuanya tidak diperkirakan sangat kerana yang utama adalah bagaimana dengan sajian atau menu untuk tetamu?
Ada pula yang sibuk menunggu salaman bagi mendapatkan duit seolah-olah mengadakan majlis perkahwinan bagi tujuan mendapatkan duit berganda. Maka sibuknya menghitung berapa bilangan tetamu yang diundang, dan bilangan tetamu yang diundang oleh kedua-dua pengantin yang sudah tentu tak dikenali oleh kedua ibu bapa dan sanak saudara mereka.
Dalam kesibukan inilah, sesiapa pun boleh datang untuk bersalaman. Penyamun pun berpeluang untuk bersalaman dan dipersilakan masuk ke dalam. "Terima kasih!" Maka sesuatu yang sepatutnya tak terjadi akan terjadi juga sudahnya.
Satu lagi, majlis perkahwinan Melayu hari ini sudah dibentuk oleh institusi yang mencari keuntungan. Bermula daripada tempahan pakaian pengantin [empat pasang atau lebih], kemudian penentuan dekorasi pelaminnya, kemudian acara iringan dan selinganya, di mana hendak diadakan - sewa dewan atau pasang kanopi besar, dan kateringnya.
Pendeknya, dalam bab majlis perkahwinan umat Islam lupa sama sekali dengan matlamat majlis perahwinan itu. Bak kata ustaz yang memberikan tazkirah di surau, masjid atau di kuliah mana-mana pun, orang sekarang mengadakan majlis perkahwinan macam orang berniaga. Sudah dicongak, satu kepala berapa ringgit dan berapa pula perolehan dari wang sampul yang diterima.
Perkiraan yang silap ada yang mendatangkan rasa kecewa, stress kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian. "Perniagaan" katering yang dijalankan tidak memenuhi sasarannya, merugikan!
Apabila kita mementingkan untung, mementingkan prestij dalam pengadaan majis perkahwinan, maka timbullah adegan penyamun tadi secara tidak disedari.
Lagipun, majlis perkahwinan yang ada hari ini sudah banyak lari dari matlamat sebenar. Majlis perkahwinan dijadikan tempat untuk berlumba-lumba siapa hebat majlisnya. Anak siapa? Artis atau bukan? Kerja apa? Bahkan amat membanggakan kalau terjadi perkahwinan silang budaya - Melayu dengan orang putih.
Sebenarnya umat Melayu, muda-mudi kita hari ini menjadikan kalagan artis sebagai acuan untuk majlis perkahwinan. Mereka juga kerap menjadikan kalangan yang buta tentang busana muslim sebagai rujukan untuk mendapatkan stail pakaian pengantin yang sesuai, konon dianggap sebagai pengantin muslim!
Mereka yang berkecimpung dengan bidang pakaian pengantin dan persiapan lainnya adalah yang memikirkan citarasa budaya Melayu menurut acuan baru, mereka langsung tidak fikir apakah ia sesuai dengan citarasa Islam?
Maka itulah, berlaku percampuran lelaki perempuan, boleh bersalaman sesuka hati tanpa peduli mahram atau bukan; begitu dengan iringan muzik dan nyanyian yang langsung tidak kena, sebab ia hanya sesuai untuk tamadun Melayu lama era 70-an dan 80-an yang tidak faham apa sebenarnya majlis perkahwinan ini? Kenapa orang perlu menjalani kursus perkahwinan, kenapa perlu tahu bab solat, bab taharah, dan lain-lainnya? Maknanya ia menjurus kepada pembentukan keluarga Islam dalam neukleus kecil.
Hari ini majlis perkahwinan Melayu dibentuk oleh pengendali pakaian pengantin dengan berbagai fesyen, oleh pengendali solekan yang melibatkan jurusolek lelaki tanpa mengambil kira boleh dan tidak bolehnya lelaki menyolek perempuan. Dalam bab kesibukan inilah, ibu bapa pengantin meskipun "orang masjid" mereka jadi kalut dan tidak dapat mengamati segala keganjilan yang terjadi. Ini belum lagi melihat fesyen pakaian yang dikatakan fesyen pakaian pengantin muslim itu.
Selain lebih mementingan faktor gaya avant garde yang diburu anak-anak muda, kaum ibu bapa juga terlena dengan permainan golongan muda membentuk budaya yang tak sesuai sama sekali dengan sebuah perkahwinan Islam. Ia hanya wajar untuk dikatakan perkahwinan Melayu sahaja. Ciri-ciri keislaman itu telah menjauh kerana orang memikirkan lagak dan gaya, dan bukan soal aurat dan pendedahan aurat.
Begitu juga bagi mereka yang tidak faham, mereka masih membesarkan muzik dan nyanyian, membesarkan acara-acara yang kebaratan dan bercorak paganisme bagi kalangan bangsawan atau pembesar negara.
Dan lebih menarik lagi, penyamun yang tidak diundang pun menyelinap turut sibuk membantu tuan rumah membuat pesiapan! []   

No comments:

Post a Comment