Friday 22 June 2012

HARTA KARUN TAK SUDAH-SUDAH

SEMBANG BOLEHLAH.
Itu yang orang boleh kata dalam bab cari harta karun.
Dari dulu sampai sekarang, ada sahaja orang buka topik harta karun. Banyaklah teori tentang penyimpanan dan pemendapan harta karun yang tidak terungkai.
Sesiapa yang rajin semak sejarah asal-usul nama tempat misalnya, mungkin ia ada kaitan dengan harta karun. Misalnya nama Bukit Tajau, di Maran, Pahang. Konon di sana ada beberapa buah tajau menyimpan harta karun di kawasan ladang getah. Tidak diketahui di peringkat mana lokasinya.
Kesan daripada cerita orang, ada kumpulan pencari harta karun dari Masjid India pergi Maran. Mereka berpandukan kepada arahan seseorang yang mengatakan lokasinya di sekian tempat.
Maka dikoreklah tanah di kebun getah itu pada waktu sunyi. Ada yang siap mengalunkan azan ketika kerja mengorek dibuat.
Setelah siap korek, habuk pun tak ada. Macam biasa, kalau perkara begini terjadi, orang pintar akan kata, "Mungki tajau itu dah beralih tempat. Khadam penunggu tajau ini aktif. Dia tidak boleh dengar orang bising-bising nak ambik harta karun dalam tajau!"
Jadi bagaimana nak mengambil harta karun itu?
Kena tunggulah sampai mood khadam itu baik. Kalau begitu, ini kerja sia-sia. Apa yang dikatakan khadam itu sendiri pun tak wujud. Hanya cerita mimpi.
Kemudian, ada orang sembang di Sg Lembing, Pahang, ada orang simpan kepingan emas tulen yang disorokkan oleh tok dia di kawasan bukit pada masa darurat dulu. Tok yang dimaksud pernah kerja di lombong emas [di mana agaknya?]
Dia sorokkan tiga keping emas tulen di tepi bukit. Bubuh tanda batu. Nanti kalau keadaan sudah tenang, dia akan datang ke situ korek semula. Masa berlalu, tok pun sudah tak ada, dan yang tinggal adalah cerita tok antara fakta atau khayalan, cucu yang mendengarnya antara percaya dengan tidak.
Apabila keadaan sudah jauh berubah, cucu ini sibuk hendak mendapatkan emas yang tok ceritakan. Bagaimana hendak mengambilnya?
Cerita punya cerita, sampai ke Masjid India, seorang paranormal yang pakar harta karun pun tumpang sekaki.
Mereka pun pergi ke bukit yang dimaksudkan. Bukan senang nak mengesan bukit yang mana satu. Semua sudah berubah, pokok kayu sudah tinggi-tinggi di kaki bukit. Main agak-agak sahajalah. Mana jalan utama? Di mana lombongnya. Arah mana emas itu diletakkan.
Hendak menyemak peta lokasi memang tak ada. Paranormal gunakan ilmu terawangan ghaibi rendahnya. Dia pun mengatakan, ada getaran, ada tanda-tanda memang ada. Ada tindak-balas dari khadam.
Maka senyumlah cucu tadi mendengar khabar dari paranormal hebat itu.
"Hanya saya tak tahu boleh dikeluarkan atau tidak aje," katanya.
"Kenapa pulak?"
"Emas ni sudah terpendam lama, sekarang dipegang oleh khadam jin!"
Inilah alasan gombal yang biasa orang dengar. Kalangan "kaki" harta karun dari JB hingga ke KB selalu mendengar alasan begini.
Akhirnya atas desakan cucu tadi, paranormal perguruan Wali Songo itu pun mencuba. Dia nak dapatkan kepingan emas itu juga. Emas itu sudah timbul secara terawangan [macam x-ray mistik], maka ghairahlah cucu tadi nak dapatkan emas, angan-angan sudah membuak nak jual emas ke Kuantan atau Tong Kiat.
Apakan daya, episod cari harta karun ini sama sahaja mainannya.
"Bukan tak boleh ambik dik, emas ni sudah ada, tempatnya dah tepat, hanya..."kata paranormal itu.
"Hanya apa bang?"
"Khadam ini kata, dia dah jaga lama emas dalam tanah, jadi dia nak kamu tebus emas ini dulu kemudian barulah dia kasi," terang paranormal yang pernah berguru di Cirebon itu.
"Tebus?"
"Kamu tak faham, tebus maksudnya, kamu kena korbankan sesuatu, macam ayam hitam, kambing hitam atau kerbau balar!"
"Boleh!"
"Nanti dulu, jangan kata boleh. Maksudnya yang disebut tadi aku belum cakap. Yang khadam jin ni nak adalah nyawa manusia!"
Begitu mendengar keterangan paranormal, cucu terketar-ketar.
Nyawa siapa hendak dikorbankan? Kemudian paranormal bercerita panjang tentang perkara itu. Semua ini disembangkan setelah cucu tadi angkat tangan. Dia tak berani ambil emas itu walaupun emas itu dulu adalah kepunyaan tuknya.

PATUNG PULA
Di sebuah tempat bernama Jengka [tak perlu sebut Jengka berapa] juga ada harta karun bawah rumah peneroka. Harta karun itu dijaga oleh khadam. Suka ganggu, mimpi karut, mimpi menakutkan, akhirnya apabila diselidik secara terawangan, di bawah rumah peneroka itu ada patung emas sebesar budak atau nak senang cakap sebesar toyol ukuran dahsyat.
Apabila sudah disahkan ada patung bawah rumah, mulalah tuan rumah jadi tamak haloba. Patung itu pernah dinaikkan oleh orang pintar. Siap dibasuh sebab berselimut lumpur dan tanah liat bawah rumah.
Patung itu memang sembahan orang bukan Islam.
Apa hukum berjual-beli barang sembahan bukan Islam? Itu tolak tepi, yang mereka fikir, patung tu ada harga. Kalau dijual, "Aku kaya!"
Patung itu sudah diusung jauh dari Jengka, tetapi kemudian dibawa semula ke Jengka dan ditanam di bawah rumah.
Kenapa?
Tuan rumah macam diganggu.
Dalam diam-diam dia lakukan adegan berani tanpa pengetahuan orang pintar yang sudah menolong mengesan dan mengeluarkan patung emas.
Dengan perasaan tamak dia telah memotong dengan gergaji besi tangan patung emas itu. Dia jual kepada seorang peraih di pekan. Tangan patung itu telah menghasilkan duit. Dapat duit, apa lagi, mulalah gelap mata. Kalau aku potong semua sekali dan jual, tentu dapat pitih lagi banyak. Belanar!
Duit jualan tangan patung masih ada. Belikan anak lelaki sebuah motosikal baru. Maka si anak pun melaramlah ke hulu-ke hilir, semua anak dara di situ diberitahu: "Saya dah beli motor baru!"
Daripada cerita paranormal itu, motor baru itu telah jadi korban pertama kerana patung emas. Jangan main-main. Konon patung itu telah dihantar ke suatu tempat, tapi di mana? Tidak diketahui.
Paranormal yang dulu tidak mahu ambil tahu lagi. Sebabnya, peneroka itu sudah langgar nasihat. Gelojoh sangat.
Kemudian yang terbaru, ada pula seorang peremuan yang hebat, dia ikut kumpulan peburu harta karun yang pernah berjaya banyak kali. Kepandaiannya mengesan harta karun cukup dahsyat. Di sebuah pula terpencil, kumpulan telah mendapat harta karun yang ditaksirkan berjuta ringgit. Bayangkan dia boleh beli bot besar secara tunai! Operasinya di Palembang, Sumatera Selatan.
Khabar terbaru dia hendak ambil harta karun dari dalam kapal karam di laut Selat Melaka. Sudah tentu perempuan yang pernah menyertai misi tarik harta karun di pulau itu akan ikut sama. Dia berani menyelam sebab dia tahu kaedahnya. Dia memang mahir kendalikan bot besar sebab sejak kecil ayahnya suruh dia kendalikan feri untuk orang awam.
Untuk naikkan harta karun di Selat Melaka ini, mereka turut menggunakan kepakaran di bidang lain. Dia perlu gunakan kaedah mistik, harta karun itu akan dinaikkan setelah umbo rampenya tersedia dan sudah cukup syarat. Maklum, khadam penjaga di lautan ini lebih ganas sifatnya. Wah! Kalau misi mereka berjaya nanti, entah berapa nilai harta karunnya.[]

No comments:

Post a Comment