Wednesday 13 June 2012

KISAH PERSUGIHAN SAMA SAHAJA JALAN CERITANYA

SETELAH MENELITI berbagai kisah persugihan yang ada di Nusantara ini, saya dapati jalan ceritanya sama sahaja. Bermula daripada penampilan seorang lelaki yang hidupnya susah, atau seorang perempuan yang hidup terlonta-lonta membawa diri.
Kemudian bertemu dengan seseorang yang biasanya ada pengalaman bergaul dengan pawra dukun, para tukang ramal atau tukang apa sahaja, asalkan boleh mengupgradekan kehidupan seseorang yang yang telah dilanda masalah.
Inilah yang saya teliti dalam kisah mistik BUTO IJO. Ia sebuah nama hantu yang tidak dikenali di bumi Malaysia, tetapi cukup biasa dibicarakan, diceritakan dan disarankan kepada sesiapa sahaja yang sedang kesusahan.
Maksudnya, Buto Ijo adalah solusi akhir.
Bagaimana? Menurut ceritanya [sebab saya sendiri mengumpul cerita mistik dari berbagai penjuru] makhluk ini tampil dengan tubuh yang tinggi, besar, seorang lelaki, hanya ia berbau busuk, bau bangkai. Inilah ketikanya makhluk bergelar Buto Ijo itu tampil mendekati seseorang yang ingin berdampingan dengannya.
Kenapa Buto Ijo? Menurut orang yang ketagih dengan kemistikan, makhluk ini jika didampingi ketika seseorang sedang kesusahan, ia akan memberikan kekayaan dan apa sahaja yang dipinta.
Ketika seseorang berkeinginan bertemu makhluk ini, dia hendaklah nekad, jangan takut, jangan terkencing, jangan menjerit, relaks sahaja, sebab kehadiran makhluk mistik ini dipantau dari jauh oleh perantara iaitu dukun pemanggilan makhluk ini.
Pak dukun selalunya sudah beritahu, "Kalau nanti makhluk menyeramkan itu datang, jangan kamu lari, kalau makhluk itu tanya kamu hendak apa, katakan sahaja kamu inginkan kekayaan!"
Akan tetapi sesiapa yang nekad hendak berjumpa makhluk warna hijau ini, dia hendaklah berjanji, jangan menyesal. Kenapa? Kekayaan yang dikehendaki hasil bantuan daripada Buto Ijo ini memerlukan pengorbanan. Maksudnya, kamu boleh jadi kaya raya seperti yang kamu inginkan, tetapi salah seorang atau kedua sekali ibu bapamu akan diambil, maksudnya akan dijadikan korban kekayaan yang kamu inginkan.
Atau dia akan mengambil isteri, anak-anak dan sesiapa sahaja yang berada di bawah tanggungan seseorang yang kecanduan ilmu karut persugihan.
Apabila ditanya oleh makhluk mistik itu, seseorang perlunya tegas, katakan bahawa ia inginkan kekayaan dalam bentuk harta benda, emas atau wang yang banyak.
Biasanya, makhluk berwarna hijau yang menjijikkan dan berbau bangkai yang dahsyat itu tidak banyak bicara. Setelah sesiapa juga menyatakan hajatnya nak kekayaan, makhluk itu terus lenyap.
Kemudian perantara dukun yang menjadi pembimbing akan memberitahu anda supaya balik ke rumah. "Kamu tunggu sahaja keputusannya nanti, tapi jangan kecoh dan buat diam sahaja tentang kedatangan kamu ke tempat ini," itulah nasihat Pak Dukun yang juga menjadi "guru mursyid" kepada ilmuan karut ini.
Pak Dukun sanggup jadi perantara kerana dia mahukan imbalan jasa. Sesiapa yang sudah berhasil pasti akan datang jumpa Pak Dukun menyerahkan seikat wang kertas kepadanya. "Lumayan kamu!" katanya sambil tertawa.
Setelah orang yang ingin persugihan sanggup menghadapi segala-galanya, proses kehidupan mulai bergulir. Esok harinya, berita menyedihkan menyelubungi rumah lelaki itu. Kedua ibu bapanya atau sesiapa sahaja ahli keluarga meninggal dunia.
Menurut kepercayaan khurafat karut dari "modus operandi" kisah ini, kematian merupakan korban yang diharapkan dari makhluk hijau tak berguna ini.
Dengan adanya kematian, bererti proses persugihan sedang berjalan.
Kematian tidaklah berlangsung begitu drastik sekali. Ada kalanya sebulan setelah perjanjian lisan dibuat bersama Pak Dukun di tempat yang angker menyeramkan.
Cerita yang memualkan daripada persugihan Buto Ijo ini ialah adegan seks yang keterlaluan di antara manusia yang menyertai program persugihan.
Jika yang menyertai solusi ini seorang wanita, maka Buto Ijo lelaki akan datang menuntut janjinya. Dia akan melakukan zina. Ketika datang, makhluk hijau ini menyamar sebagai lelaki tampan, dengan wangi-wangian bak manusia biasa.
Mana mungkin makhluk hijau ini berbau bangkai, buruk, hodoh dan menakutkan boleh datang bertemu wanita yang mengadakan perjanjian untuk kekayaan?
Begitu juga jika lelaki. Buto Ijo akan menghantar wakilnya daripada kalangan puteri yang cantik sehingga kaum lelaki lupa daratan dan lupa asal-usulnya.
Seperti biasa, bagaimana orang yang mengamalkan ilmu karut ini boleh mendapat wang? Adakah makhluk ini tinggalkan duit berikat-ikat di tepi katil?
Menurut cerita yang entah benar atau hanya khayalan di padang pasir [fatamorgana] - selesai makhluk tadi melakukan hubungan zina, sebagai memenuhi janji persugihan, makhluk itu akan tinggalkan emas dan barang-barang perhiasan yang dikutip dari dunia mistik.
Setelah peserta persugihan itu mendapat apa yang dihajatkan, emas atau benda-benda berharga itu akan dijual kepada peraih yang berminat. Tentulah sukar hendak menjawab soalan dari mana boleh dapat emas begitu banyak?
Jika diberitahu ia diperoleh dengan cara mistik berhantu, pembeli pun takut. Mereka bimbang emas bertukar jadi tanah liat, emas jadi daun dan macam-macam lagi.
Inilah kesukaran bagi mereka yang menyertai skim pelaburan persugihan Buto Ijo.
Ada lagi yang orang lupa.
Mereka yang menyertai skim gila ini akan jadi orang gila. Betapa tidak. Dia akan rasa resah gelisah. Bagi lelaki, dia resah kerana perlu mengadakan hubungan badan dengan jin perempuan. Meskipun jin itu datang ke rumah dan memberikan emas dan perhiasan berharga, tetapi, lama kelamaan badannya berbau, berbau hapak, bau hanyir, bau yang sesekali menerkam hidung. Itulah bau bangkai.
Baik peserta lelaki atau perempuan, kehanyiran, kebusukan, sesekali menerpa hidungnya sendiri. Baharulah dia perasan, bahawa duit boleh dicari, kemewahan boleh didapat, tetapi kehanyiran, bau busuk, ia bukan bau badan semulajadi, tetapi kesan batiniah yang melekat dalam kalbunya.
Dia sendiri merasa seperti ada bangkai di sekitarnya, sedangkan orang lain tidak peduli apa pun. Keresahan inilah yang menyebabkan harta dan wang ringgit tidak berguna lagi.
Ini semua adalah efek psikologi kerana melakukan dosa besar, bersekongkol dengan makhluk bernama syaitan atau iblis.
Kisah orang yang beramal dengan ilmu Buto Ijo menunjukkan malang akan terjadi bertimpa-timpa. Jika pengamal adalah seorang janda, dan dia berkahwin lagi, suaminya akan terkena bala. Begitu juga kalau lelaki yang beristeri lagi, isteri baru itu akan terkena kesannya.
Ini merupakan kesan daripada melakukan perjanjian dengan syaitan.
Buto Ijo hanya panggilan. Boleh disebut apa sahaja. Hantu hijau, pak hijau, syaitan hijau atau iblis hijau pun boleh.
Apa sebabnya orang bercerita tentang persugihan Buto Ijo?
Ia sebenarnya sebuah kisah rekaan atau kalau terjadi pun, penceritaannya telah ditokok-tambah. Ia sebenarnya memberi nasihat, biar apa pun yang dijanjikan oleh makhluk bernama syaitan ini, anda jangan terpedaya.
Anda akan disesatkan semahu-mahunya. Buktinya, menyertai persugihan seperti juga menyertai peredaran hidup. Kitaran hidup dari susah menjadi senang, tetapi anda ada tanggungjawab terhadap makhluk yang anda sudah ikatjanji di depan Pak Dukun.
Untuk kembali ke pangkal jalan memang boleh. Cukup berat. Pak Dukun akan marah. Buto Ijo lagi marah. Umpama marahnya syaitan dan iblis kalau ada umat yang mahu sujud kepada Allah s.w.t.
Akhirnya, cerita persugihan Buto Ijo adalah dongeng moden. Dongeng yang melekakan orang miskin berangan-angan nak jadi kaya. Untuk jadi kaya banyak cabarannya, perlu bertarung dengan kehidupan yang misteri dan mistik. Inilah jalan cerita yang biasa di dalam dongeng persugihan Buto Ijo.
Sayangnya versi cerita seperti ini tidak ada di Malaysia. Ia cerita dari wilayah Nusantara kita juga. []

No comments:

Post a Comment