Friday 22 June 2012

PERINGATAN UNTUK SESEORANG DIKENALI, APA SEBENARNYA?

KITA selalu dengar ada orang mengadakan hari peringatan terhadap seseorang tokoh. Tokoh yang yang dikenang selalunya berkaitan dengan bidang hiburan semata-mata. Bukan tidak ada tokoh di bidang lain, tulisan ini sengaja hendak mengelak dari membicarakan tokoh dalam bidang lain, dan hanya menumpukan kepada bidang hiburan -nyanyian dan muzik.
Dunia hiburan adalah dunia yang terasing dari perkara lain. Orang selalu menumpukan dunia muzik dan nyanyian secara intensif supaya namanya melonjak di dalam arena seni. Bidang seni adalah bidang yang sangat glamor, kebanyakan ibu bapa mengidam agar anak-anak mereka menjadi orang seni suatu masa nanti.
Idaman ibu bapa terhadap bidang yang hanya menjanjikan pulangan duniawi dan menolak ukhrawi adalah gambaran sebenar mentaliti ibu bapa Melayu yang telah dipupuk sejak zaman kebagkitan budaya popular.
Budaya popular ini pengaruhnya cukup dominan. Jika kita ingin tahu bagaimana corak budaya pada ketika itu, tengoklah filem-filem Melayu hitam putih di zaman lampau, zaman Cathay Kris, zaman Shaw Brothers dan yang seangkatan dengannya.
Perhatikan juga senarai warga dunia seni pada ketika itu. Sejauh mana pencapaian mereka, corak kehidupan mereka dan bagaimana pandangan dunia mereka.
Sebenarnya, perhatian masyarakat terhadap dunia dan hiburan dan filem lama kelamaan akan menurun juga apabila semua orang telah mula kembali kepada al-Quran dan Hadis. Dunia hiburan dan muzik adalah dunia sementara, dunia angan-angan yang banyak meniru perkembangan seni hiburan semasa yang melanda dunia ketika itu.
Kita pernah dilanda muzik Barat, bermula dari muzik rock 'n roll, twist, a gogo, cha-cha, rumba, raggaie, the beattles, bee gess dan sebagainya.
Jangan lupa, masyarakat kita telah dicorakkan oleh pengaruh filem Hindustan yang keterlaluan, hinggakan tidak ada rumah Melayu yang sunyi dari lagu Hindi, dinding rumah ditampal gambar artis filem Bollywood, entah gambar apa, mereka tidak peduli pun akan larangan menampal gambar dalam rumah. Masa itu bukan tidak ada ilmu dalam kumpulan kitab, tetapi tazkirah seperti hari ini amat kurang.
Kehidupan umat Melayu memang terasa macam kekosongan. Institusi masjid hanya jadi tempat persinggahan untuk hari Jumaat atau hari peringatan tertentu seperti Maulud Nabi, Israk Mikraj atau Solat Tarawih.
Umat Melayu mengutamakan hiburan dan nyanyian.
Hingga sekarang, orang masih memperingati penyanyi atau artis tertentu. Mengenang lagu-lagu yang popular pada zaman dulu. Ketika seseorang mengenang, usia masing-masing sudah menjengah angkat 5, 6 atau 7.
Wajarkah dalam angka begitu masih hendak mengenang atau mengingati perkara yang tidak memberi faedah sedikit pun kepada diri seseorang?
Adakah mengenang lagu-lagu itu akan mendapat pahala dan ganjaran tertentu?
Memang tidak ada apa-apa pahala dan ganjaran.
Kita hanya mengingat zaman kelekaan yang telah ditingalkan, dan sepatutnya dilupakan terus bagi membina hidup baru, meneguhkan keimanan agar tidak berpaling lagi kepada kenistaan yang tak berfaedah itu.
Ada pesta memperingat tokoh penyanyi dengan cara yang keterlaluan. Mereka raikan tokoh itu seolah-olah ia sangat penting dan amat berharga untuk diraikan, untuk diingati setiap tahun, hanya kerana nyanyian, hanya kerana hiburan yang tak berfaedah pun di hari tua seseorang.
Bayangkan, apakah setiap tahun mahu meraikan hari peringatan penyanyi si fulan atau si fulan? Sedangkan yang kita raikan itu hanya bidang hiburan, bidang perfilem yang membawa seseorang ke kancak kemaksiatan? Di sinilah, umat Melayu masih menganggap nyanyian dan muzik tidak ada apa-apa.
Dengan sebab itulah apabila ada artis yang terkenal pernah jadi juara Ratu Kebaya tahun 60-an, ia tetap diperingati sepanjang hayat, sedangkan menyertai pertandingan ratu apa lagi namanya Ratu Kebaya, ia tidak ada dalam kamus Islam. Ia hanya ada dalam dunia hiburan jahiliyah kita masa silam.
Ada orang megah kerana suaranya sedap, menjadi juara sekian zone, maka namanya pun melonjak. Memang hebat dalam bidang itu, tetapi anda belum tentu hebat dalam bidang ukhrawi. Anda tertinggalan jauh dalam bidang keagamaan, tertinggal jauh dalam bab majlis ilmu, mengimarahkan masjid dan berkecenderungan kepada Islam.
Ingatlah, jika kira sama-sama meraikan orang yang tak sepatutnya diraikan, bererti kita mengagungkan kenistaan yang tak layak disanjung pun. Sanjungan dalam bentuk kebendaan apa lagi yang tidak membawa kebaikan kepada agama, apalagi menimbulkan fitnah, maka kita harus lupakan.
Sebaliknya, kita perlu mengajak muda-mudi Islam yang ada hari ini, hendaklah mengurangkan segala aktiviti yang berkaitan dengan muzik dan nyanyian. Kurangkan menyertai program realiti dari televisyen tempatan atau radio tempatan kerana semuanya menjurus kepada fitnah dan kerosakan akhlak.
Lihatlahlah bagaimana pengaruh program Akademi Fantasi, bagaimana pengaruh Malaysian Idol?
Bilangan anak Melayu yang ghairah ingin menempa nama menjadi popular begiru ramai. Inlah bidang yang boleh menonjakkan nama, melonjakkan kreativiti yang tak seberapa, dan yang penting dapat meraih pendapatan yang lumayan.
Tawaran-tawaran hadiah, baik rumah, kereta dan sebagainya adalah lambang kemewahan yang ditanamkan kepada generasi muda. Idea tawaran hadiah ini adalah dari sumber Islam. Mereka telah melihat di mana kelemahan orang Melayu dalam bidang hiburan. Inilah tempat musuh-musuh umat masuk mencelah.
Musuh umat jika diceritakan orang tak akan kata ilblis laknatulah, tetapi Melayu penghasut yang anti hiburan dan muzik. Inilah jawapan yang mereka lontarkan.
Apabila ada di antara orang hiburan yang menyertai kelompok parti yang menjurus Islami, ia ada tanda bahawa umat kita mulai bertanya, hendak ke mana aku ini? Muzik dan nyanyian ini bolehlah membimbing aku ke syurga?
Nah, setelah bertanya dan mengintrospeksi diri, maka dia telah mendapat jawapannya. Muzik dan nyanyian sebenarnya tidak ada apa-apa. Ia malah lebih menjurus kepada fitnah. Ia menjurus kepada kelekaan, melalaikan kepada agama, melalaikan solat, tidak peduli garis panduan halal dan haram, berlaku percampuran lelaki dan perempuan, kemudian masih mendabik dada lagi mengatakan rezeki yang "halal" - jadi awaslah, dengan sikap berhati-hati, kita akan dapat mengenal di mana letak kebenarannya.
Justeru, apabila masa beredar, kita tidak perlulah mengadakan majlis memperingati seseorang tokoh artis tertentu kerana ia belum tentu memberi kebahagiaan kepada yang empunya diri.
Apakah setiap tahun kita hendak mendendangkan cerita bohong tentang sesuatu perkara yang kita tidak punya ilmu? Di sinilah kesilapan kita. Kita sanggup berhabisan demi memperingati seseorang tokoh yang masyhur di bidang nyanyian atau filem, tetapi kita lupa memilah-milah sesuatu yang haq dengan yang batil. Wallahu a'lam.[]

No comments:

Post a Comment