NAK tahu seseorang itu dukun atau bukan tidaklah mudah kalau mereka jenis memendam perasaan, langsung tak berani tampal kertas di stesen bas, pada pokok tepi jalan atau dinding rumah kedai di mana-mana taman.
Seseorang boleh tahu kalau si fulan itu jadi dukun melalui kawan-kawan, pesanan ringkas dan gosip sekampung. Ramai juga dukun yang berani tampil. Siap memasang iklan kecil atau besar.
Kalau dukun pengasih siap dengan motonya yang menarik: Kalau cinta ditolak, pak dukun siap bertindak!
Memang hebat kerja dukun. Selagi orang masih percaya kepada dukun, maka mereka boleh cari duit dengan cara mendukuni apa sahaja masalah yang diajukan orang ramai.
Dukun ada macam-macam dukun. Ada dukun baru belajar, ada dukun sudah berpengalaman, dan kurang juga dukun kurang ajar.
Ada satu cerita menarik seorang dukun yang ilmunya boleh mematikan orang lain. Orang kita sebutnya sebagai santau.
Jadi, sebagai dukun dia siap melakukan apa sahaja tugasan yang diminta oleh pasiennya dengan syarat, khidmat yang melelahkan itu dibayar.
Contoh, ada seorang wanita yang kecewa setelah mendapat tahu suaminya yang bekerja di tempat lain tiba-tiba jatuh cinta dan berkahwin dengan perempuan orang putih dari Amerika.
Maka greget yang ada dalam diri diterjemahkan dengan cara berjumpa dukun.
Apakah dia akan jumpa dukun nombor ramalan 4D? Dia mencari dukun yang sudah pasang iklan, awaslah. Sesiapa yang terkena dek amalan dukun ini orang itu akan nahas!
Wanita tadi bersila depan dukun santet. Dia minta pak dukun tolong santetkan wanita orang putih yang sudah berkahwin dengan suaminya hingga lupa dengan anak dan isteri yang tempatan.
Nah, walau dukun pura-pura geleng kepala, susah nak buat tindakan, tetapi hatinya tertawa. Wanita ini boleh dipujuk agar meneruskan niatnya.
"Aku harap kamu dapat membunuh wanita muda Amerika itu," kata wanita itu berharap.
Pak dukun bukan berkira-kira sangat dengan tugasan membunuh secara santet itu, kalau dibawa ke pengadilan pun, pihak pendakwa sukar nak buktikan.
Pak dukun berada di sebuah pulau, sementara wanita orang putih muda itu berada di daratan yang jauh. Kena menyeberangi laut juga ilmu itu.
Dipendekkan cerita, dukun itu telah mengeluarkan semacam patung buatan. Dan kemudian gambar kecil wanita Amerika itu diletakkan di bahagian mukanya.
Dia pun kumat-kamit membaca mantera karut. Kemudian dia mengambil semacam jarum lalu dicucukkan ke bahagian dada patung buatan itu. Konon, dengan cucukan jarum itu, ia akan terkena jantung orang yang dimaksudkan.
Maka di daratan sana, di rumah mewah di mana orang putih itu berada, dia telah rebah gara-gara serangan jantung mendadak.
Ikhtiar yang dilakukan oleh wanita tadi dengan bersila di depan dukun telah berjaya dilaksanakan. Berita kematian sang isteri muda turut dikirimkan kepada isteri tua. Isteri tua yang merancang "pembunuhan" itu diam sahaja dan pura-pura kaget.
Pak dukun dah dapat duit. Orang yang dikenakan santet sudah tamat riwayatnya. Jenazah dibawa pulang ke Amerika. Apa cerita sekarang?
Kerana hati sudah sakit, diperlakukan oleh suami begitu, dia mogok. Tidak mahu berdamai. Tinggal berasingan.
Pak dukun yang sudah dapat duit lumayan dari wanita itu menghubungi wanita itu lagi. Kali ini apa kelentong pak dukun pula?
Dia sudah nasihat kepada wanita itu agar berbaik semula dengan suaminya. Jangan fikirkan sangat soal dulu pernah kahwin dengan perempuan Amerika. Perempuan itu sudah disingkirkan dengan santet pak dukun.
Mungkin ada rasa bersalah yang bersarang dalam hati. Dia telah membunuh wanita Amerika itu dengan cara santet.
Pak dukun buat cerita lain pula. Seperti kisah Pak Subur yang suka mencari gadis cantik untuk dijadikan isteri tambahan sampai lebih daripada empat orang, maka pak dukun ini pun dua kali lima. Dia merancang akan jadikan wanita yang bermasalah ini calon isterinya meski wanita itu sudah ada anak dua.
Apa temberang pak dukun, konon dia sedang menggelabah kerana dapat SMS dari dalam laut. Dari istana Ratu Kidul.
Pesanan SMS dari Ratu Kidul itu mengatakan, bahawa pak dukun sakti mandraguna ini perlu segera dinikahkan dengan wanita yang pernah jadi pelanggannya untuk menyantet perempuan Amerika.
Pulak dah!
Pandai-pandai pak dukun kata Ratu Kidul buat pesanan ringkas dan padat.
Boleh percayakah pesanan dari Ratu Kidul itu?
Sudah tentu, pak dukun memberi dua pilihan, nak kahwin dengan pak dukun atau anak-anak wanita itu akan mengalami accident maut di jalan raya.
Inilah ugutan pak dukun tadi. Dengan menggunakan nama Ratu Kidul, dia paksa wanita yang juga isteri orang, yang masih belum cerai agar sudi berkahwin dengan pak dukun pula.
Mungkin pak dukun lain pun pernah buat begitu. Benda macam ini boleh direka.
Contohnya, mendapat pesan daripada gurunya yang sudah lama meninggal agar pak dukun kahwin dengan gadis genit yang sedang bersila di depan dukun.
Atau dia kata dapat pesanan dari Nabi Khidir a.s. Pesanan dari Prabu Siliwangi. Pesanan dari Hang Tuah, pesanan dari Panglima Sifulan Selempang Hitam dan macam-macam lagi.
Wanita yang diugut anaknya akan menghadapi kemalangan terus membacakan ayat-ayat perlindungan. Alhamdulillah, kata-kata pak dukun tak menjadi pun.
Itu ugutan paksa kahwin namanya. Pak dukun selain melayani orang ramai, mereka juga sesekali bernafsu lain macam. Mana yang menggetarkan sukma, itulah yang diincarnya. Maka wanita isteri orang tadi pun dia gila sangat. Entah gila keseksiannya atau gila duitnya [teringat dukun di Hotel Kowloon, KL].
Pelawaan untuk kahwin dengan pak dukun yang isterinya sudah lebih dari lima tentulah mengejutkan. Dukun apa ini? Tidak tahu hukum agamakah?
Itu sebab orang sudah nasihat, percaya cakap dukun, habis kamu kena jual.
Lagipun wanita tadi tentu sedar, "Barang siapa yang mendatangi dukun atau arraf lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad." [HR Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi].
Ada juga hadis yang menyebut, solat seseorang itu tidak diterima selama 40 hari hanya kerana duduk bersila bertanyakan itu ini dan percaya kepada dukun [baca HR.Muslim, 2230].
Mungkin bagi orang yang taksub kepada Ratu Kidul akan percaya kepada kata-kata pak dukun tadi. Agaknya kalau disuruh kahwin dengan dukun pun dia sanggup.Lagipun kata pak dukun, Ratu Kidul akan datang menyaksikan majlis pernikahan itu nanti.
Jadi, bukan sebab nak nikah dengan dukun, sebaliknya nak tengok bagaimana rupa Ratu Kidul itu. Nah, sekali lagi, percaya cakap dukun, habis kena jual!
Cerita orang kena jual pak dukun sudah banyak dilaporkan di negara kita. Yang kena potong-potong macam lembu korban pun ada. Jadi, berhati-hatilah dengan kata-kata pak dukun. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment