Monday, 6 May 2013

MB SELANGOR, JANGAN SALAH PILIH

MASIH jadi teka-teki siapa bakal menjadi MB Selangor.
Perlu diingat, jawatan MB di Selangor sangat penting bagi memberi nyawa kepada Pakatan Rakyat. Sesuai dengan kedudukannya yang mengelilingi Kuala Lumpur, dan kawasan Lembah Klang, maka Menteri Besar Selangor hendaklah dipilih dari kalangan yang ada pengalaman dan tahu selok belok pengurusan kerajaan negeri.
Kenapa dikatakan begitu? Barisan Nasional memang mengidam hendak merampas Selangor dari PR. Akan tetapi kerana kekuatan yang ada pada team kerajaan negeri di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim yang ada pengalaman luas dalam soal pengurusan wang ringgit dalam sektor koporat, maka pihak yang nak menentukan siapa bakal MB kena fikir dengan cermat.
Jangan fikir siapa mempunyai kerusi paling banyak. Kerana sistem yang ada di Kedah tidak sama dengan Selangor. Selangor sebenarnya menjana KDNK negara, kekuatan transformasi yang ditaja oleh UBN juga mengharapkan kekuatan dari Selangor.
Disebabkan Selangor masih dalam genggaman PR maka dalam perkiraan Najib ia memberi kesan kepada transformasi yang dicanangkan.
Dalam menjaga negeri, pengalaman mentadbir adalah mustahak. Jawatan MB patut diberikan kepada Tan Sri Khalid, manakala timbalannya bolehlah dari mana-mana parti. Biar mereka belajar selok belok mentadbir urus kerajaan negeri.
Lagipun kita hanya ada tiga negeri, Kelantan biarlah MB orang PAS. Pulau Pinang KM orang DAP dan Selangor tak kan orang PAS lagi? Bagi mengimbangi keadaan, MB Selangor kenalah orang PKR, baharulah ia seimbang.
Kita tidak mahu nanti disebabkan orang lain memegang teraju kepimpinan kerajaan negeri, ia memberi peluang kepada musuh kita iaitu Umno yang semakin galak untuk mencari apa sahaja kesalahan dan kelemahan kerajaan negeri.
Kita tidak mahu memilih orang yang pandai bercakap atau berpolitik sahaja di pentas tetapi tidak mampu mengurus kerajaan negeri dengan cekap. Kepada Adun yang baru menang dalam pilihan raya, janganlah mengira pangkat dan jawatan dalam kerajaan negeri -- tumpukan tugas menurut kemampuan masing-masing.
Jangan memberikan tugas kepada mereka yang tidak mampu memikul amanah.

INGAT
Kesannya, kerajaan negeri akan bergolak. Apabila bergolak jarum jahat akan menyucuk terutama dari sekitarnya. Ingat, Umno memang berdendam untuk menjatuhkan kerajaan negeri. Lihat apa yang sudah berlaku di negeri Kedah.
Hanya sebab perbezaan pendapat, media mereka dengan rakusnya memutarbelitkan cerita. Aneh sekali, kita masih tidak sedar perangkap musuh ada di mana-mana.
Ada Adun dari PR masih gila publisiti melayani media seperti Utusan Malaysia itu atau TV3. Semua Adun dan Ahli Parlimen dalam PR hendaklah berhati-hati. Musuh PR bukan sahaja orang UBN malah pekerja media yang makan gaji dan sentiasa patuh kepada tuannya.
Kini, sudah pasti media mereka akan mainkan peranan melaga-lagakan PR dalam soal memilih siapa paling layak untuk jadi MB Selangor.

LAYAK
Jadi pilihlah orang yang paling layak, bukan orang yang paling banyak bercakap. Biar kurang bercakap tetapi boleh bekerja. Ingat. Selangor adalah negeri idaman UBN. Mereka akan main peranan untuk menjatuhkan kerajaan negeri jika kita tidak mahu berpakat.
Memanglah di atas kertas mengikut congak kita, orang PAS layak jadi MB. Perlu diingat, Selangor tidak sama seperti negeri lain. Tengok apa sudah jadi dengan Terengganu dan Kedah. Apabila terlepas dari tangan, amat sukar hendak mendapatkan semula.
Selepas ini mungkin kita hanya berangan-angan hendak dapatkan Kedah. Percayalah, jika kita masih mengamalkan sistem yang kita amalkan seperti menjelang nak pilihan raya baru-baru ini, kita tak akan dapat merampas semula Kedah. Kita kena sepakat.
Baiklah, mungkin itu pengalaman kedua selepas 2008 dulu. Tetapi kita kena belajar membaiki kesilapan. Jadi, dalam pilihan raya akan datang jangan berlaku lagi pertindihan calon seperti baru-baru ini. Keadaan ini menjadi bahan ejekan sahaja.

PAKSI PR
Jadikan Selangor sebagai negeri paksi kepada kekuatan PR. Jadikan ia kekuatan dalam PR. Jika Selangor terlepas, maka mungkin kekuatan PR akan beransur kurang. Dan kita bimbang lama kelamaan orang tidak sebut lagi PR.
Ingat. Jangan kerana jawatan MB kita nak bergaduh. Nampak sangat bahawa masing-masing nak rebut jawatan. Serahkan kepada orang yang tahu mentadbir sebuah kerajaan, cari orang yang berpengalaman. Dalam konteks ini hanya Tan Sri Khalid sahaja. Lagipun beliau telah berjaya membaiki hubungan penduduk di kawasan Dun Pelabuhan Klang yang "ditinggal pergi" DUN PKR yang tidak tahu bekerja dan kemudian berpaling tadah menjadi "makanan" Utusan Malaysia dan TV3.
Ingat memilih MB bukan berdasarkan merit kerusi mana banyak. Kita kena sepakat. Kita tidak tahu pengaruh Khalid di Selangor yang menyebabkan rakyat tetap kukuh memilih PR. Mungkin andainya berganti MB nanti sokongan rakyat akan berubah.
Selepas ini, walaupun siapa yang dipilih, andai berdasarkan pengalaman mentadbir, kita kena terima dengan berlapang dada. Tidak ada cakap-cakap di luar atau di belakang. Kita hendak menguruskan sebuah kerajaan negeri yang paling kaya di Malaysia. Ia menjadi rebutan Umno dan sekutunya.
Dan ingat, pastikan MB Selangor yang dipilih tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan negeri. Andai dipilih calon yang silap, kita bimbang nanti akan berlaku tindak-balas yang akhirnya merugikan PR untuk jangka masa panjang.
Sekali lagi, jadikan apa yang berlaku di Terengganu dan Kedah sebagai iktibar. Begitu juga yang pernah berlaku di Perak dulu. Kita tidak mahu kerana "pertikaian" atau berebut jawatan, kesatuan kita hancur sudahnya. Tengoklah, tiba-tiba Hassan Ali bersuara menyatakan pendapatnya untuk menentukan calon MB Selangor. Apa kaitan Hassan Ali dengan PR?
Berita terbaru, pihak PAS tidak ada halangan sekiranya Tan Sri Khalid menerajui Selangor yang memang telah cemerlang di bawah kepemimpinannya. Inilah yang diharapkan rakyat. Kita tidak mahu negeri yang dijaga oleh Pakatan Rakyat semakin kecil. Dulu ada lima negeri, jadi empat, dari empat jadi tiga. Kalau tidak dijaga, yang tiga pun boleh terlepas! Bukan soal kerusi siapa yang banyak, tetapi kebolehan mengurus dan memahami selok belok ekonomi dan kewangan yang mustahak. Dan banyak lagi kepandaian yang diperlukan untuk jadi MB walaupun di kanan-kirinya ada pakar-pakar tertentu. []

No comments:

Post a Comment