Sunday, 5 May 2013

SELESA DI TAKUK LAMA

MEREKA DAH MENANG.
Masa inilah kita kena puji bahawa mereka bijak mentadbir negara. Tidak ada negara lain di dunia yang ada pencapaian begini, sejak zaman dulu sampai sekarang dia masih pegang kuasa walaupun sudah bertukar nama.
Meski lambang dacing itu nampak ketinggalan zaman, orang masih suka kepada lambang itu.
Bukan suka sangat, kekadang di kalangan makcik dan pakcik mereka takut nak tukar pangkah parti lain kerana banyak sangat cerita yang memburukkan Pakatan Rakyat.
Yang biasa kita dengar adalah buat apa nak tukar lagi, yang ada sekarang ini sudah cukup baik. Hanya dia tak dapat nak huraikan baik dari segi apanya.
Walaupun menang, di tempat kita Wangsa Maju para pekerja parti nampak lesu dan kecewa kerana calon sanjungan yang gambarnya dipacak sepanjang jalan di mana-mana, paparan gergasi yang luas biasa, namun mereka tidak dapat kalahkan calon PKR [Tan Kee Kwong].
Mereka rasa sesia berpenat tetapi hasilnya kosong. Inilah kesan daripada ketidaksukaan golongan tertentu terhadap calon tersebut -- ia seolah-olah melagakan calon Melayu dengan Cina.

KARUNG DUIT
Apabila mereka telah menang, maka bersiap-siaplah kita untuk melihat apa JANJI yang nak ditepati oleh mereka. Mereka boleh tepati janji itu sebab karung duit mereka yang pegang.
Kalau PAS atau PKR pegang pun karung duit itu, mereka tahu bagaimana nak agih-agihkan duit kepada rakyat. Tetapi fakta ini orang tak faham, mereka kata oh itu janji kosong, cakap sahaja!
Rakyat Selangor terbukti BIJAK.
Mereka mengekalkan Pakatan Rakyat memegang negeri yang menjadi impian BN.
Najib dalam wawancara dengan akhbar tempatan kata, negeri Selangor perlu berada dalam BN kerana ia akan merancakkan lagi tranfsormasi yang mereka sedang laksanakan.

SAYANGI SELANGOR BN GAGAL
Sekiranya Selangor masih berada dalam dakapan PR, maka transformasi yang dilaksanakan itu agak pincang. Kalau sebut tentang agenda transformasi nasional, campur Wilayah dengan Selangor, 60% daripada KDNK negara tertumpu di Lembah Klang.
Disebabkan Seangor masih dalam pegangan PR maka terbantutlah pebangunan negara dan transformasi nasional yang diangan-angankan. Bermakna selama menyemai program SAYANGI SELANGOR oleh BN, ia hanya projek yang membazir, menghabiskan duit, hasilnya tak berpada. Selangor tetap disayangi rakyat di bawah PR.
Pihak BN kata rakyat Selangor kecewa dengan janji-janji pilihan raya tahun 2008.
Mengenai kes 2,000 ibu tunggal menyaman kerajaan negeri itu adalah propaganda untuk burukkan PR. Ia bukanlah kes yang merata hanya kerana mereka itu menerima ajakan agar ikut serta menyertai kelompok itu bagi dipestakan untuk paparan tv dan media lain milik BN.
Mereka dah menang. Sekarang rakyat sedang menunggu, apakah janji yang nak ditepati itu akan dilaksanakan pada tahun pertama menang pilihan raya?  Rasanya, mereka akan berjimat dan menyibukkan diri di tahun akhir penggal penguasaan, sama seperti amalan yang telah sudah, yang biasa dilakukan.
Perlu diingat, sebelum pilihanraya, rakyat sudah "diugut", bahawa hanya BN sahaja yang mampu kekalkan kestabilan politik, ekonomi dan keharmonian rakyat. Ya memang mampu, tetapi bagaimana dengan perpaduan kaum di negara kita?
Polarisasi perkauman yang dibenihkan oleh media BN ketika kempen pilihan raya sangat melampau. Mereka cuba laga-lagakan mereka, isu perkauman dipergunakan semahu-mahunya. Ia seolah-olah menghasut orang lain supaya tidak percaya kepada orang lain, terutama kalangan pembangkang.
Timbalan Ketua Editor Utusan Malaysia [rujuk Forum Media, 3 Julai 2012] "Cara kita buat laporan, ada fakta, 'spin' dan TIPU. Kita boleh 'spin' supaya fakta berita beri kelebihan kepada kita dalam perang psikologi ini. Yang penting kita dapat duit."
Kemudian media mereka menjelang pilihanraya terus burukkan imej Anwar Ibrahim. Nampak benar bahawa musuh BN bukanlah PR, tetapi individu bernama Anwar. Dan sangat bijak pihak media menggunakan tokoh tertentu, termasuk dari ABIM untuk diminta pendapatnya. Kalau pendapat yang bertentangan dengan dasar dan visi mereka sudah tentu tidak disiarkan, sebaliknya mereka kata tokoh PR ini ada kaitan dengan Israel.
Selama ini rakyat tahu bahawa UBN ada hubungan dengan Israel, tetapi menjelang nak hari mengundi, mereka putar lagi. Isu ini diputar dan terus diputar. Sama juga isu aqidah rakyat. Rosaknya aqidah rakyat tidak perlu tunggu Anwar, banyak perkara lain yang boleh merosak dan mencemarkan aqidah. Semaklah dalam tindak-tanduk harian rakyat dan jangan menuding jari sahaja kepada musuh politik. Pluralisme bukan isu di negara kita. Ia adalah isu rekaan yang diciplak dari negara jiran. Rakyat biasa tidak faham dengan terminologi ini. Sedangkan maksud nasionalisme dan sekularisme pun masih kabur kepada rakyat apa lagi soal hubungan dengan Israel tadi.
Nampaknya pihak BN juga menggunakan taktik kotor untuk memenangi pilihan raya. Mereka menggunakan semua jentera kerajaan yang ada walaupun mereka ketika itu sebuah kerajaan sementara. Memang BN sudah menang, tetapi kemenangan mereka masih diragui rakyat biasa. Terbukti rakyat tidak suka kepada perubahan. Mereka selesa di takuk lama. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment