KALAU di sebuah negara itu, ketika ada pilihan raya, maka berduyun orang besar atau orang sederhana bertemu dengan Pak Jurukunci.
Kenapa jumpa Jurukunci? Konon Pak Jurukunci ini cukup tahu perkara ghaib di sekitar kawasan yang dijaganya.
Nama sahaja Jurukunci, tetapi satu kunci pun dia tak pegang.
Sebab ia macam penjaga tempat itu, atau tempat rujukan.
Kalau sesiapa nak tahu makam keramat si fulan ini apa kelebihannya? Maka dia akan bercerita tentang kelebihan makam itu menurut pengalamannya.
Di dalam cerita itu, dimasukkan semacam testimoni orang yang telah berjaya dalam kehidupan, maksudnya sudah berjaya mengharungi pilihan raya pada masa lampau, dan sekarang kedudukannya sedang menanjak naik.
Di Kuala Lumpur, tidak kedengaran sesiapa pun pergi jumpa Jurukunci Batu Caves, Jurukunci Gunung Ledang, Jurukunci Makam Hang Tuah, Jurukunci Makam Parameswara, Jurukunci Makam Sg Udang, Jurukunci Gunung Jerai, Jurukunci Bukit Melawati, Jurukunci Makam Keramat Anak Dara dan macam-macam lagi makam keramat yang tak dapat disebutkan.
Kira baguslah!
Tetapi, dalam ramai yang menjadi calon, bukan tidak ada yang tergerak hati nak dapatkan khidmat bomoh, mana tahu peluang untuk menang boleh ditingkatkan sedikit.
Dia nak menaikkan karisma dirinya, nak naikkan aura [sudahnya naik lori Alam Flora], dan bukan tak ada yang memakai cincin batu tertentu atau kayu tertentu konon untuk tujuan tertentu.
Seandainya, calon-calon pilihan raya kita langsung tidak pedulikan khidmat bomoh, itu sudah kira baik. Kita harap di masa akan datang pun janganlah bersila depan bomoh.
Sepanjang saya mengusung kamera dan menemubual kelompok paranormal atau yang setara dengannya, bukan tidak ada yang beritahu saya tokoh sekian telah datang menemuinya untuk mendapatkan sesuatu.
Lokasinya tidak jauh, hanya di Pantai Dalam sahaja.
Dan apabila membaca blog dan komen dari kalangan blogger, maka semakin jelaslah ada tokoh tertentu yang memang "mabuk bomoh" --- ada sahaja yang nak dirujukkan kepada bomoh bagi sesuatu tujuan yang tak pasti.
Walaupun kita dah puji semua calon pilihan raya tak guna bomoh, jangan pula di malam nak mengundi mereka cari bomoh juga. Agaknya calon itu duduk termenung, mengira jarinya, "Bomoh, tidak, bomoh tidak, bomoh tidak, bomoh..."
Dan itulah keputusannya.
Nak menang, nak menang juga, khidmat bomoh sila jauhi. []
No comments:
Post a Comment