KESAN daripada majlis ilmu, penerangan dan forum yang dianjurkan di mana-mana, belum lagi kritik dan saran melalui laman sosial, maka masa depan aktiviti budaya yang dimegahkan larung sesaji untuk Ratu Kidul mungkin akan luput tarikh juga pada suatu masa nanti.
Orang yang berkeyakinan tinggi akan kewujudan perempuan mistik itu memang tidak mahu mengalah, kerana mereka mahu meneruskan kegiatan melarung sajian bagi tujuan budaya.
Bahkan bukan tidak ada hujah dari kalangan tertentu mengatakan kalau pun disediakan kepala kerbau dan berbagai benda lainnya untuk ritual larungan itu, ia bukan untuk santapan perempuan mistik itu. "Dia tidak perlu kepala kerbau atau sajian untuk dimakan. Kalau mahu dia boleh ambil tumbal kepala manusia!"
Begitulah yang membidas dengan nada marah-marah.
Komentar tentang larungan sesaji ini timbul kerana mereka ada yang merasakan bahawa ritual melarung sajian sudah kehilangan bobot.
Apalagi ada pihak yang melarang perbuatan mempersembahkan kepala kerbau begitu kepada Ratu Kidul. Ini sudah kira baik. Maknanya, sudah ada kesedaran pihak tertentu di kalangan para ulama untuk tampil menasihatkan umat yang selama ini berkeyakinan tinggi terhadap Ratu Kidul agar mengendurkan keyakinan itu dengan penambahan ilmu pencerahan.
Pemerintah Kabupaten Sukabumi sudah melarang larungan kepala kerbau untuk Ratu Kidul. Memang, pada mula-mula orang rasa luar biasa larangan itu. Akan tetapi lama kelamaan ia akan jadi biasa. Dan pada masa akan datang orang tidak membuat larungan lagi seperti itu.
PARANGKUSUMO
Perlu dicatat, ada beberapa tempat untuk membuat larungan sajian untuk Ratu Kidul. Yang selalu disebut orang adalah di pantai Parangkusumo, Parantritis, Bantul, Jogjakarta. Lagipun konon di pantai itu adalah kesan sejarah peninggalan yang dikaitkan dengan tokoh Senopati. Dalam rekod sejarah kaum spilirutalis, Senopati adalah manusia pertama yang telah melakukan pertemuan dengan perempuan mistik bernama Ratu Kidul itu. Ritual yang dilakukan pada zaman dulu adalah ritual para kaum bangsawan, tetapi kemudian, ia menjadi ritual yang mahu dilakukan oleh semua orang, asalkan mereka fanatik kepada Ratu Kidul, yakin akan wujudnya, yakin akan keberadaannya dan menyakini hubungan misitk kraton dengan perempuan itu.
PELABUHAN RATU SUKABUMI
Selain itu di Pelabuhanratu, Sukabumi, Jawa Barat, ritual diadakan di sini kerana ada orang percaya bahawa di situ ada sebuah gerbang yang menghubungkan dunia manusia dengan dunia Ratu Kidul. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana rupa gerbang itu [simbolik sahaja] -- di situ pun terdapat beberapa lokasi yang dianggap keramat kerana ada kaitan dengan Ratu Kidul.
Ada tempat yang dipanggil muara Sakawayana, ia dianggap lokasi paling strategik untuk berhubungan dengan makhluk mistik itu. Sesiapa yang ingin memasuki dunia ghaib Ratu Kidul, bolehlah bermula di sini. Ada yang mandi di tengah malam di kawasan muara itu. Konon untuk mendapatkan keberkatan.
Silap haribulan gelombang laut ganas yang menelan mereka. Itupun nanti akan jadi cerita lain, yang ditelan [mati lemas] itu telah diambil untuk dijadikan abdi di kraton Ratu Kidul di dalam laut.
Muara yang disebut ini menjadi begitu bererti kerana ia konon merupakan lokasi Prabu Siliwangi ghaib atau mereka istilahlah sebagai MOKSWA. Ia ghaib dan memasuki "alam kayangan" ---mokswa ini maksudnya telah memasuki tingkatan kehidupan yang bebas lepas dari ikatan keduniaan, kelepasan kenirwanaan; satu keyakinan yang ada kaitan dengan ajaran Hindu Majapahit [meniru kisah Pandawa Lima?]
Di tempat lain pun ada orang melakukan larungan sesaji untuk Ratu Kidul. Di Acheh khabarnya, ada kalangan tertentu yang yakin dengan kewujudan Ratu Kidul melakukan larung atau yang dikenal di Malaysia sebagai membuang ancak. Sekitar tahun 2003, ada ritual larung sajian oleh seorang paranormal Malaysia yang mengaku pernah berguru di Cirebon. Dia melakukan ritual larung sajian kepala kerbau balar untuk pelanggannya seorang lelaki keturunan Cina dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Larungan itu dilakukan waktu maghrib di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan.
PENGARUH LUKISAN BASUKI ABDULLAH
Sebenarnya, bagi kalangan spiritualis yang ada sejak dulu pun, mereka tidak dapat menggambarkan bagaimana wajah Ratu Kidul yang sebenar. Rakan penulis di Malaysia yang mendakwa pernah pergi ke istana Ratu Kidul juga tak dapat menggambarkan bagaimana rupanya.
Tetapi kalau ditunjukkan gambar lukisan yang Pak Basuki Abdullah pernah lukis dulu, maka Ratu Kidul itu adalah mirip sekali dengan lukisan itu. Dia bilang "Persis!"
Sebenarnya, Pak Basuki tidak melukis gambar Ratu Kidul itu kalau tidak ada perintah daripada Presiden Sukarno ketika itu.
Sukarno yang konon pernah melakukan semedi di kawasan pantai itu pernah bertemu dengan Ratu Kidul. Kesan dari pertemuan itulah ia menjadi semacam kesinambungan cerita, baik lukisan Ratu Kidul yang dikerjakan oleh Basuki Abdullah dan pembangunan sebuah hotel yang menempatkan sebuah bilik khas, Bilik 308 Samudra Hotel untuk perempuan mistik itu.
Walaupun Basuki melukis gambar perempuan itu menurut khayalannya sahaja, namun kemudian semua orang menyatakan ia persis!
Tidak diragukan lagi ia ada persamaan. Begitulah rupanya Ratu Kidul.
Padahal Basuki melukis main agak-agak, menggunakan imaginasinya, ia berkarya secara bebas untuk sebuah potret khayalan yang tidak menyangkut pun dengan Ratu Kidul sebenar. Ia khayalan Pak Basuki.
Kini, di mana-mana pun gambar itulah yang digantung, dipamer, bahkan di hotel itu lukisan Basuki menjadi suatu perkara yang penting termasuk gambar kecil Sukarno. Maklum tokoh itu dikatakan pernah bertemu dengan Ratu Kidul. Perlu diingat gambar-gambar begini semakin mengundang syaitan kalau digantung di ruang tamu rumah kita. Kalau di bilik 308 itu, memang sesuai benar tempatnya!
Mengambil berkat cerita itu kemudian ia diusung oleh para jurukunci gerbang ghaib. Sesiapa yang ingin bertemu dengan Ratu Kidul ya silakan.
Tetapi, tetapkan di hati, untuk apa kamu nak jumpa perempuan mistik ini?
Mahu jawatan Perdana Menteri? Mahu jadi kaya billionaire! Kebanyakannya nak kayalah. Tidak tahu pula apa yang warga keturunan Cina dari Bukit Bintang, KL hajatkan.
Mereka yang sudah berkawan atau "berkahwin" dengan perempuan cantik seperti gambaran lukisan Pak Basuki itu kena siapkan sajian, kena sediakan bilik khas di rumah.
Sama seperti keadaan Hotel Samudra yang ada bilik 308, maka sesiapa yang berkawan dengan Ratu Kidul kena sediakan biliki juga di rumah. Itu bilik khusus, isteri dan orang gaji tak boleh masuk kemaskan. [ada filem SAMUDRA HOTEL, sebuah filem horor yang akan ditayangkan 5 Jun 2013 ini di Indoesia, kalau di Malaysia mungkin lewat sikit].
Berbalik kepada cerita bilik tadi, anak-anak tak boleh masuk bilik khas Ratu Kidul.
"Itu bilik khusus untuk abah nak jumpa Ratu Kidul ketika malam bulan purnama," begitulah kata-kata yang agaknya diluahkan oleh kaum lelaki yang sudah ikat perjanjian dengan Ratu Kidul.
Maka anak-anak pun hairan, "Mak? Siapa Ratu Kidul yang abah sebut tu mak?"
"Hiss, kamu budak-budak apa nak tahu?"
"Abah kahwin lagi ke mak?"
"Hiss budak ni, karang aku cili baru tahu!"
Begitulah agaknya insiden yang ada di rumah-rumah orang yang berkawan dengan Ratu Kidul.
Jadi, bukan sahaja di Jawa sana, amalan yang sama juga ada di Malaysia ini. Kita tidak buat kajian ada berapa ramai ahli KELAB RATU KIDUL di Malaysia ini. Namun setakat yang penulis ketahui hasil dari temubual dengan orang yang pernah berguru di sana, ada enam orang di sekitar Lembang Klang sahaja.
Kalaulah penguasa di Jawa sana telah melarang umat Islam daripada melemparkan sajian untuk Ratu Kidul, maka umat kita juga patut mengambil iktibar dari arahan ini. Meskipun yang menyertai kelab itu dari kalangan bukan Islam, kita tidak tahu, mungkin ramai lagi kalangan pekerja rakyat asing di Malaysia, baik yang asal Jawa Barat, asal dari Sunda, Sukabumi atau mana sahaja pun masih melakukan ritual kecil untuk menjaga hubungan baik mereka dengan Ratu Kidul. Andai larung sesaji Ratu Kidul ini kurang sambutan, orang tidak perlu rasa sedih atau gundah gulana. Sepatutnya mereka rasa bersyukur kerana telah ada pencerahan di mana-mana. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment