CERITA mengenai petir ini sudah lama orang dengar. Ada kalangan tertentu kalau mendengar bunyi guruh di langit air dalam pasu dicurahkan untuk menadah air baru. Ada orang marah-marah kalau sedang asyik bekerja tiba-tiba diganggu oleh suara petir yang dahsyat. Apabila tidak ada pertimbangan, orang itu akan memandang ke langit dan mencabar ke arah langit.
"Turun kalau berani lawan denganku!" begitulah cabaran seorang petani bernama Bagus Songgom. Nama yang asing kepada kita di Malaysia. Bahkan di Jawa pun orang tidak tahu siapa lelaki ini selagi tidak disebut nama lain yang dikenali Ki Ageng Selo.
Di Malaysia pula menurut cerita arwah Pak Wan Kelantan, ada petani ladang tembakau marah kerana duit sudah dihabiskan untuk tanaman tembakau tiba-tiba apa yang diharapkan dibantai angin ribut. Petani itu mengamuk seolah-olah mencabar sesuatu -- entah siapa yang dia nak marah.
Adakah dia marah kepada angin? Dan semena-mena kata Pak Wan, lelaki itu telah dipatuk ular tedung berbisa. Maka tamatlah riwayat lelaki itu kerana "mencabar" sesuatu yang tidak sepatutnya dicabar. Itu cerita kita, entah betul atau fiksyen untuk mengajar umat agar jangan celopar.
Berbalik kepada Ki Ageng Selo tadi, dia pun tergolong orang yang bengkeng juga di zaman muda. Maklum dia keturunan bangsawan. Di kalangan kaum Melayu pun ada yang begitu, memandang keturunan, kalau bergaduh atau bertengkar, dia akan ungkit siapa keturunannya.
Ageng Selo memang nampak hebat dari pertuturannya, tetapi dia takutkan darah seladang. Masa dulu sesiapa nak jadi prajurit Tamtama, Demak, dia kena berlawan dengan binatang dulu. Kira macam adu lembu liar atau kerbau liar. Disebabkan anak bangsawan ini takut darah mencurat, dia tak layak jadi tentera.
Dia balik kampung jadi bodoh. Masuk ke hutan, duduk sana, duduk sini. Masuk ke gua, duduk bawah pokok, naik gunung, turun gunung -- pendeknya apa yang dibuat oleh Ageng Selo itu betul belaka. Orang kata, dia bertapa di situ. Untuk apa? Mencari ilmu. Ngalap berkah di mana-mana.
Tak dapat jadi tentera, dia memilih jadi petani. Kalau sudah popular, apa yang dia buat semua orang nak tahu. Dia telah marah-marah kepada petir. Dia ajak petir berlawan kalau berani.
Maka Sang Petir pun turun ke bumi. Sang Petir konon menyamar sebagai seorang lelaki tua terbongkok-bongkok. Orang tengah marah, datang pula orang tua ini. "Kamu siapa? Kamu tak tau aku sedang marah-marah kepada petir di langit, kamu pula datang ke sini, mahu apa? Mau penampar?" herdiknya.
Lelaki tua yang dianggap sebagai Sang Petir itu terpinga-pinga.
"Bukankah kamu tadi mencabar supaya aku turun?" ujar Sang Petir.
"Memang!" jawab petani. "Aku memang mencabar petir, tapi bukan kamu lelaki tua tak berdaya!"
Lelaki tua itu tertawa. Dengan sebab dia tertawa maka Ageng Selo pun terus menangkap lelaki tua itu dan kemudian ditambat macam lembu pada sebatang pokok kayu.
"Kenapa kamu ikat aku begini?" tanyanya.
"Kamulah petir yang aku cabar tadi. Aku akan serahkan kamu kepada Sultan agar kamu dihukum!" ujar Ageng Selo.
Esoknya, memang benar, Ageng Selo membawa lelaki tua yang disangka sebagai Sang Petir pergi ke istana. Tetapi pihak istana tidak ambil kisah. Mana mungkin petir yang merbahaya itu boleh jadi seorang lelaki tua begitu.
"Jangan-jangan Ageng Selo sudah gila?" bisik seseorang kepada Sultan.
Maka pihak istana pun sekadar melayan begitu sahaja. Lelaki yang disangka petir itu akhirnya beredar dari istana menemani Ageng Selo.
Sayangnya, Ageng Selo tidak mahu bertanya mengenai asal-usul lelaki tua itu. Betulkah dia turun dari langit atau dari celah awan? Tidak juga. Minda kewartawanan penyiasat tidak ada dalam benak Ageng Selo waktu itu. Jadi dia tetap yakin lelaki tua itu adalah petir. Petir yang dicabarnya untuk berlawan. Adu kekuatan!
Agar cerita jadi lebih menarik, konon kehadiran lelaki tua yang disangka petir itu memberi pertanda ada kematian pembesar negeri.
Memang betul pun. Pangeran Sabrang Lor telah meninggal dunia. Penggantian pemimpin perlu diadakan segera. Majlis diadakan di kawasan masjid -- lepas solat Jumaat. Cuaca kebetulan mendung. Kilat sudah bersabungan. Ketika itulah, Ageng Selo dengan lelaki tua itu sampai ke situ.
Keduanya menadah tangan berdoa dan berharap agar cuaca yang buruk ini segera beredar kerana ada acara penting hendak dilaksanakan di situ. Mereka berdoa agar terelak dari sambaran petir.
Tiba-tiba muncul seorang perempuan tua. Dia bawa bekas berisi air. Lalu disiramnya lelaki tua yang disangka petir itu. Nah, apa lagi? Petir dan kilat sabung menyabung. Semuanya berlari mencari tempat teduh.
Apabila keadaan reda, mereka tercari-cari. Mana lelaki tua dan perempuan tua tadi? Kedua-duanya hilang. Sahlah, mereka memang keturunan manusia petir belaka.
Peristiwa itu memang menakjubkan. Semua orang kehairanan. Mungkin kerana peranan Ageng Selo yang berdarah bangsawan itu, kejadian manusia petir yang membingungkan itu dijadikan kenangan untuk sampai bila-bila pun.
Sesiapa yang pergi ke Masjid Jamek Ki Ageng Selo [dibina tahun 1885M] maka mereka boleh lihat adanya petilasan yang dikaitkan dengan nama besar ini. Ageng Selo, selain sebagai petani, khabarnya dia juga mendirikan sebuah sekolah pondok untuk anak-anak kampung belajar.
Kesan daripada cerita Ageng Selo ini amat membekas apabila masih ada orang meyakini adanya "api abadi" yang dikaitkan dengan peristiwa petir turun ke bumi sebagai lelaki tua tadi. Kalau ada acara Grebeg Maulud, seseorang petugas akan pergi ke makam dan kemudian membawa "api" ke istana untuk acara seterusnya.
Dan yang memelikkan, ada orang Jawa yang masih meminta perlindungan agar terhindar dari tembakan petir. Kalau mendengar petir, mereka akan kata, "Jangan! Kita semua ini cucunya Ageng Selo!" Dengan mengingat kata-kata itu [penulis paparkan mengikut Bahasa Malaysia, ketepatannya jauh sekali] seseorang akan terhindar dari bahaya.
Mereka berlindung dari ancaman petir dengan mengatakan bahawa mereka semua adalah cucu Ageng Selo. Jadi, sempena cerita tidak masuk akal itu, di mana Ageng Selo boleh mencabar petir untuk bergocoh di bendang, akhirnya sampai sekarang nama Selo disebut-sebut setiap kali mendengar bunyi petir.
Itu belum lagi kisah Ponari budak kecik yang katanya memiliki sejenis batu yang dipanggil batu petir. Ponari yang mendakwa jumpa batu gledek selepas hujan dan petir berdentuman, maka orang ramai pun ingin melihat batu itu. Tak pasal-pasal Ponari sudah jadi dukun cilik. Orang tua yang datang hendak memegang atau menyentuh batu itu pun ramai. Yang ingin dapatkan air batu gledek pun tidak terkira. Mereka anggap ada keberkatan air rendaman batu gledek yang Ponari miliki. Sayangnya, cerita Ponari sudah tenggelam. Di tahun 2013 ini tidak adakah wartawan buat tinjauan susulan, bagaimana nasib Ponari cilik yang sudah remaja kini?
Tadi ada disebut lelaki tua yang turun ke bendang dan disangka Si Petir telah ditambat pada sebatang pokok. Orang menyebutnya pokok gandrik [apa padanan di Malaysia tidak diketahui]. Pokok ini menjadi tumpuan orang kerana ingin mendapatkan daun kering pokok gandrik yang gugur ditiup angin. Jangan petik daunnya, nanti kamu kesurupan atau kena sampuk. Begitulah punya power pokok itu. Apa gunanya daun kering itu? Wah, boleh dijadikan azimat, tangkal, ibu duit dalam dompet. Pendeknya, kalau direndam dalam air putih lalu diminum pun ada khasiatnya.
Mengenai lelaki tua tadi, tidak dinyatakan apakah dia seorang manusia atau iblis. Ketika permulaan hijrah ke Madinah, ada pertemuan rahsia di Darun Nadwah. Dalam kumpulan itu menyusup Iblis menyamar lelaki tua. Dia mengaku dari Najed. Ikut meeting bersama untuk merancang membunuh Nabi sallallahu alaihi wasallam. Rancangan jahat mereka diketahui Nabi sallallahu alaihi wasallam melalui maklumat daripada Malaikat Jibril.
Sebaliknya Ki Selo tidak tahu apa-apa. Dia hanya percaya bahawa itu adalah petir!
Nampaknya begitulah kepercayaan dan keyakinan sebahagian kecil masyarakat yang masih belum mendapat pencerahan. Dan keadaan inilah yang orang kata memperkayakan budaya. Khabarnya, masjid yang disebut tadi turut menjadi tempat lawatan di hari Khamis malam Jumaat, termasuk orang dari Malaysia! Wallahu a'lam. [ paparan dengan penambahan penulis, baca Misteri, Bil.558, 2013, Musdar Bustamam Tambusai, Buku Pintar Jin, Sihir & Ruqyah Syar'iyyah, 2010: 222; Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtasar Zadul Maad, 2013]. []
No comments:
Post a Comment