ADA ORANG kata, setelah pilihan raya baru-baru ini, keadaan kita macam biasa. Kalau seseorang itu jadi pemulung atau tukang kutip botol, tin aluminium, kertas kotak [kerdus], besi buruk, zink dan sebagainya, maka kerja itu kena teruskan.
Kalau yang biasa tidur di jejambat kota, maka aktiviti ini kena teruskan. Walaupun ada orang meraikan kemenangan pilihan raya, nasib mereka tetap macam itu juga.
Sesiapa yang jadi kuli angkut barang ke atas lori, lepas pilihan raya dia macam itu juga. Begitu juga sesiapa yang berniaga pagi-pagi di pasar karat Petaling Street, sampai sekarang teruskan berniaga.
Jangan fikir kalau lepas pilihan raya "kerjaya" rakyat marhaen macam mereka itu akan berubah, mungkin jatuh terperosok lebih teruk pun ada.
Hal yang kita sebut ini adalah untuk mengingatkan pemimpin atasan yang sudah berkira-kira hendak menambahkan kekuatannya dengan jawatan penting dan selanjutnya menambah simpanan harta untuk anak cucu mereka.
Ada seorang "penulis surat" di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang masih guna mesin taip lama. Zaman berubah, dia masih di takuk lama. Macam dulu juga, padahal dia pendukung bendera cap keris. Kefanatikannya begitu melulu sampai tak boleh diajak berbincang lagi. Tapi biarlah, bak kata orang yang cari tin bekas tadi, kehidupan tak akan berubah biarpun PM telah dilantik untuk sepenggal lagi.
Percayalah, rakyat di bawahan ini tetap begitu. Mereka tidak akan berubah. Tidak menerima tempiasan daripada kemenangan yang diraikan. Tempias yang kena pada mereka adalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan! Kalau rakyat yang ada pendapatan bulanan pun terasa kesannya, apalagilah mereka yang kutip kertas untuk dijual dengan harga tak seberapa, jangan marah kalau mereka tidur di kaki lima kedai. Inilah lambang kemewaan di negara kita. Bab makan sudah selesai sebab ada makanan percuma dari Baitul Mal Wilayah Persekutuan KL.
Keadaan rakyat bawahan tidak berubah.Yang berubah adalah orang yang menang. Rakyat kecil macam inilah -- berlawan dengan kenaikan harga barang.
Keadaan AJK Masjid pun tak berubah. Cengkaman makin kuat. Maka orang tertentu sahaja boleh bercakap di kawasan masjid.
Di tempat yang lengang, akan terus lengang, untuk tazkirah harian adalah 9 orang jemaah yang mendengarnya. Ini sudah kira hebat. Ada kalanya empat orang sahaja. Mujur bilal ikut sama, kalau tidak, tiga orang sahaja. Kira sambutan untuk majlis ilmu macam ini sangat memuaskan hati AJK Masjid.
Di Selangor agak meriah sedikit kerana kerajaan negeri masih dipegang oleh Pakatan Rakyat. Orang tak perasan, sebenarnya ada bezanya antara UBN dan PR. Tengok keadaan masjidnya bagaimana?
Kemudian orang yang marah-marah tak dapat itu dan ini, menuntut janji manifesto pilihan raya 2008 itu dulu, ia bukan idea spontan daripada makcik yang unjuk rasa itu. Ia ada penggerak di belakangnya. Jadi, kita faham sangat. Bukan kerana janji manifesto PR kerajaan negeri, tetapi agenda lain.
Bising-bising pihak tertentu nak dapatkan balik Selangor sudah senyap. Moga kebisingan ini timbul lagi pada tahun 2016 atau 2017. Mereka sayang kepada Selangor kerana negeri kaya ini dipegang oleh orang yang tidak pandai mengurus macam orang UBN.
Macam-macam tuduhan. Semua sudah senyap. Penat kempen pun belum hilang. Lepas ni nak ke mana?
Teruskan menjalani kehidupan macam biasa. Ke laut, ke sungai, ke bendang, ke hutan, ke baruh, ke Main Cannal, ke pekan, ke bandar, ke pejabat itu dan ini, teruskan. Orang kecik, macam itulah. Mereka tak berubah sekalipun pilihan raya sudah selesai! []
No comments:
Post a Comment