Menjelang nak pilihan raya baru-baru ini media milik Umno dan Barisan Nasional[UBN] memainkan peranan memutarbelitkan apa sahaja isu bagi memenangi pilihan raya.
Jika dikatakan begitu, adakah media benar-benar melaporkan benda yang benar atau hanya rekaan para wartawan yang syok sendiri?
Memang begitulah, bagi kalangan penggiat di kalangan mereka. Meski mereka hanya berperanan sebagai pemain berita dan laporannya, mereka juga sengaja memainkan isu yang dijangka boleh membunuh lawan untuk diulas dan dipanjanglebarkan.
Bagi pembaca biasa yang tidak rapat dengan media, mereka anggap apa sahaja yang tercetak, apa sahaja yang dipaparkan itu adalah perkhabaran benar yang tidak boleh disanggah.
Dalam kesibukan nak menghadapi hari mengundi, tokoh-tokoh politik pun ada yang lupa daratan, melayani semua media, apa yang ditanya hendak diulas, padahal mereka berhak untuk berkata tidak, atau sekadar tidak mahu buat komen apa-apa pun!
Lihatlah, media milik UBN yang diketahui umum mereka menggunakan segenap ruang untuk memprojeksikan tentang manifesto UBN dan dalam masa yang sama mereka menembak parti lawan sesuka hati mereka.
Tokoh parti lawan yang tidak faham dengan media, mereka gila sungguh melayani segala pertanyaan atau sekadar soalan tangkap muat, provokasi dan sebagainya.
Maka akhirnya tersiarlah laporan hancai, ketika orang nak mengundi media UBN masih bercakap tentang kes Lahad Datu yang sudah tidak relevan lagi.
Tidak ada blog yang memaparkan soal Lahad Datu seperti ketika pada masa puncak peristiwanya. Ketika itu semua orang ghairah nak bercakap dan mengulas tentang Sabah dan orang Tausug. Kini semuanya diam.
Tidak ada isu melainkan serangan bertubi-tubi terhadap Pakatan Rakyat yang mereka kata sebagai hanya pandai berjanji kosong, nak tunaikan pun tak mampu.
Memang rakyat di luar bandar tidak faham apa yang mereka katakan itu. Makcik dan Pakcik Umno terutamanya yang hidup matinya demi Umno tetap mengatakan hanya UBN sahaja yang mampu membela nasib mereka dan jangan memperjudikan nasib masa depan mereka di tangan parti lain.
Mereka lupa, bahawa yang berperang tanding ketika pilihan raya hanya parti politik. Kantung wang negara tidak ada siapa mengusiknya.
Sesiapa yang menjaga pusat, dialah yang akan diamanahkan untuk menjaga kantung duit itu. Jadi, tidak kira sama ada UBN atau Pakatan Rakyat, apabila mereka berkuasa, mereka mampu melakukan apa sahaja yang dijanjikan. Ia bukan janji kosong.
Selama Pakatan Rakyat tidak berada di pusat, selama mereka hanya memegang Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, maka mereka hanya menguruskan tiga negeri itu sahaja.
Dan yang paling menghampakan UBN adalah negeri Selangor yang mereka amat sayangkan kerana rakyat Selangor dianggap "bodoh" kerana memilih Pakatan Rakyat lagi!
Bagi penganalisis politik, tindakan rakyat Selangor ini adalah pilihan orang cerdik. Manakala yang masih mengekalkan UBN mereka masih menyukai gaya lama dan tidak ingin perubahan apa pun, meski mereka bergendang saban hari mereka mampu melakukan transformasi.
Kita tunggu, apa transformasi yang mereka gendangkan itu. Rakyat tetap berkeyakinan, semua yang dimanifestokan itu tidak akan dilaksanakan dengan sepenuhnya. Mereka akan memilih mana yang nak dilaksanakan dan mana yang nak ditangguhkan.
Ada beberapa tahap, tahun pertama, tahun kedua, ketiga dan keempat --- inilah tahun yang perlu digerakkan sepenuhnya. Ketika inilah gendang mulai dipalu semula.
Serangan kepada pembangkang digerakkan, mencipta isu, mencipta skandal, semua ini dianggap sebagai pelan perancangan jangka pendek untuk mengurangkan pengaruh parti lawan dalam pilihan raya akan datang.
Masa 12 bulan tidaklah lama. Ia begitu singkat. Lihatlah sekarang, kita sudah menjengah bulan lima, percayalah UBN tidak melakukan banyak perubahan melainkan dengan berbagai alasan tertentu dengan bersandar kepada ekonomi dunia, bersandar perkembangan semasa, atau kenaikan dan penurunan harga minyak, maka harga barangan dan perkhidmatan akan berubah. Usaha hendak mengurangi tidak difikirkan kerana kebanyakan pemimpin kita apabila telah memenangi pilihan raya mereka rasa selesa dengan dunianya.
Keselesaan para pemimpin ini menyebabkan mereka lupa aktiviti yang biasa dilakukan ketika kempen pilihan raya. Mereka tidak lagi duduk di gerai sambil makan nasi lemak bersama rakyat. Kali ini mereka sibuk melulu, hanya menghantar wakilnya sahaja.
Atau kalau ingin bertemu rakyat mereka terpaksa tempah khemah sebesar-besarnya, makanan berkawah-kawah, dan undangan yang bukan kepalang bagi tujuan publisiti, "Jamuan Rakyat" atau "Majlis Bersama Rakyat" dan ketika itulah mereka menyampaikan itu dan ini.
Maka tv dan akhbar mereka menyiarkan kisah perjumpaan itu dengan hebatnya. Itulah yang akan rakyat saksikan selama beberapa tahun sehingga penggal berkuasa akan berakhir dan akan berkempen semula untuk pilihan raya akan datang.
Dan nanti kita sibuk lagi dengan soal dakwat yang tak lekat. Sibuk dengan undi pos yang dimanipulasi. Sibuk membuat isu untuk dihalakan kepada individu tertentu di kalangan Pakatan Rakyat.
Sedihnya, media UBN hanya menghalakan tembakan kepada orang bernama Anwar Ibrahim sahaja. Lelaki ini diisukan tidak habis-habisnya seolah-olah musuh UBN hanya dia seorang. Inilah kedangkalan politik yang kita miliki.
Kita menyerang seorang lelaki bernama Anwar sejak tahun 1987 lagi. Sampai sekarang dia masih dijadikan bahan untuk menyerang Pakatan Rakyat. Betapa hinanya kempen politik kita kalau asyik bermain dengan isu liwat yang memualkan.
Secara tak langsung, apa yang dinamakan sebagai transformasi nasional itu tidak wujud sama sekali. Transformasi apakah yang hendak dicanangkan oleh media UBN kalau sekadar bermain isu lapuk seperti soal video seks, video lucah itu? Bukankah ini menggambarkan bahawa pemimpin Melayu dalam UBN tidak berjiwa Melayu. Mereka antiMelayu, benci Melayu, suka hina Melayu, merendahkan martabat orang Melayu, pendeknya tidak usahlah berlagak pahlawan nak jaga ketuanan Melayu.
Melayu kita sudah lama ranap dihancurkan oleh media sendiri. Melayu tidak mempunyai visi masa depan dalam pengurusan negara. Transformasi masih berlegar kepada retorik yang tidak berkesudahan.
Ia nampak cantik, dan memang begitulah peranan media yang ada di tempat kita. Ia cuba memberi gambaran bahawa kita telah melakukan transformasi. Tetapi kalau masih mengusung cerita lama, dan masih menjadikan individu tertentu sebagai musuh no.1 dalam "perang politik" maka ia bukan transformasi namanya. Ia memberi gambaran bahawa minda pemimpin Melayu masih tidak berubah, terperosok ke dalam, ketinggalan di belakang.
Sepatutnya, agenda politik Melayu berubah. Tetapi kalau kita semak semula apa yang berlaku ketika perang politik ketika mendepani pilihan raya baru-baru ini, kita lihat perang yang tidak seimbang. Media UBN digunakan sepenuhnya untuk melemparkan bom di sana-sini, setiap hari ada sahaja penghinaan dan hasutan agar rakyat bencikan seseorang atas alasan moral.
Apakah para pemimpin UBN yang ada hari ini sangat bermoral? Janganlah isukan moral orang lain. Itu memberi gambaran pemikiran pemimpin Melayu masih di takuk lama. Tidak berubah. Untuk apa sibuk mencanangkan transformasi? Kenapa malu nak sebut reformasi? Sepatutnya kita buat reformasi supaya perubahan itu lebih nyata ketimbang transformasi yang begitu klasik dan tidak diketahui arah dan tujuannya.
Orang Melayu juga tidak akan ke mana kalau para pemimpin atasan masih leka dengan jari telunjuk di mana-mana. Lihatlah paparan media kita. Ikon jari telunjuk ada di mana-mana. Sedangkan jari telunjuk ini memberi banyak makna dan konotasi. Kalau dalam kata ia memiliki ambiguiti. Ada baik dan ada buruk. Ada yang positif dan negatif.
Sudah sampai masanya jari telunjuk itu diabaikan. Reformasi diperlukan. Kalau media UBN masih memainkan isu-isu lapuk, isu tahun 90-an, ia tidak membawa sebarang perubahan kepada negara. Malah ia akan menjerumuskan terminologi Melayu yang sebenarnya menurut huraian baru dan dari kaca mata lain pula.
Media UBN yang saban hari burukkan lawan memberi gambaran betapa pekerja di dalam media itu adalah orang-orang yang sakit jiwa. Mereka memperdaya pemikiran rakyat, menjerumuskan rakyat kepada kepalsuan bahan dan spin yang keterlaluan asalkan mereka menang. Peduli dengan pihak lawan.
Sedarkah mereka yang setiap masa berseminar, bersidang dan entah apa-apa lagi mahu menolong orang Melayu, tetapi orang Melayu jugalah yang diskandalkan, diisukan, ditelanjangkan, dibogelkan, dan setiap hari anak-anak Malaysia yang bangga mengangkat dan menunjukkan Jari Telunjuk telah diajar untuk berfikiran negatif.
Maka, jangan hairan nanti masyarakat kita terutama di bandar, pinggir bandar atau di mana sahaja semakin bobrok keadaanya. Kita tidak mampu menangani berbagai gejala sosial anak muda yang kita sendiri salah pupuk. Kita mengajar anak muda menyukai budaya hedonisme yang tidak ada hadnya. Media kita begitu asyik dengan hiburan tak bermanfaat dijejalkan kepada anak-anak muda Melayu yang memang kemaruk hiburan sejak dulu dan sampai bila-bila pun.
Kita lupa mendidik generasi muda agar mereka lebih mencintai ilmu. Menggemari ilmu, menghadiri majlis-majlis ilmu dan bukan majlis yang mengajar untuk merancang plan-plan jahat menjatuhkan lawan politik Melayu. Orang yang bercakap tentang dunia Melayu, ekonomi Melayu, bangsa Melayu tidak akan reda kalau individu Melayu dihina dan dimalukan depan khalayak.
Sebaliknya kita, masih tidak faham, ketika memperkatakan soal kebejatan anak-anak muda Melayu, kita menjauhkan mereka dari masjid, menjauhkan mereka dari majlis ilmu. Kita mengajar anak-anak Melayu agar mencari ikon dan idola mereka yang berpaksikan amalan masyarakat pagan yang tidak boleh ditiru langsung.
Kita masih megah mengimport budaya K-Pop yang tidak berguna itu. Kita megah kalau muda-mudi kita asyik berkonsert atau lepak di pusat-pusat hiburan malam.
Transformasi apa yang hendak kita laksanakan? Kita bercakap tentang moral muda-mudi tetapi kita membenihkan kebencian kepada seseorang Melayu. Kita masih nak telanjangkan orang itu. Media kita begitu asyik memburunya seolah-olah dia selebriti hebat. Kenapa? Apakah ini yang dinamakan transformasi?
Akhirnya, janganlah kita bercakap tentang dunia Melayu, nak jaga kepentingan Melayu, nak jaga akhlak orang Melayu, sedangkan dalam masa yang sama kita mengizinkan perbuatan jahat, perbuatan keji membuat video lucah, video sensasi yang memalukan seseorang.
Mudah cakap, kalau anda tidak mahu diri anda ditelanjangkan di depan ramai, begitu juga individu yang telah dan sentiasa ditelanjangkan oleh media sepanjang musim pilihan raya. Melayu nampaknya gagal hendak menjaga nama baik Melayu. Melayu menghina Melayu. Melayu menelanjangkan Melayu. Jadi, mulai akan datang, kalau berseminar, berdialog, bermesyuarat, janganlah menjerit-jerit lagi melaungkan Hidup Melayu!
Cubalah semak al-Quran dan Hadis sebagai sandaran untuk melangkah dan bertindak. Amat malang kalau ketika kempen pilihan raya baru-baru ini ada tokoh yang berkata mereka tidak guna al-Quran dalam dunia kepolitikannya, tetapi mereka berjuang untuk menjaga aqidah Melayu! Melucukan. Bagaimana nak jaga aqidah kalau tanpa al-Quran? Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment