NAMA pun pilihan raya, semua parti yang bertanding kena sediakan manifesto. Kalau tak ada manifesto yang lengkap, maka orang akan tanya nanti. Akan tetapi apabila PR sudah siapkan manifesto lebih awal dari UBN, maka mudahlah para pemikir, penasihat dan profesor negara di bawah sayap UBN menyediakan manifesto sebagai balasannya.
Kebanyakan manifesto UBN hanya semacam menjawab segala manifesto PR yang sudah disebarkan lebih awal. Maknanya PR sudah bersedia sungguh, sementara UBN macam nak tak nak sahaja. Orang sudah buat, baharulah mereka keluarkan manifesto.
Di dalam kempen BN, kempen Makcik Umno, Pakcik Umno, adik Umno kecik dan macam-macam lagi, mereka asyik kata PR hanya pandai janji sahaja. Atau dengan kata lain, PR janji kosong [macam kartun yang dimuatkan dalam Harian Metro, Khamis [2/5/2013], yang tukang lukis dapat arahan dari atasannya. Maka dia pun lukislah.
Akan tetapi untuk mengatakan PR janji kosong tak boleh juga. Kenapa? Sekiranya UBN kalah dalam pilihan raya, jelas UBN telah melakukan janji kosong. Ketika itu baharulah rakyat sedar, bahawa UBN pun janji kosong juga, tak berupaya nak buat apa pun, tak berupaya nak bagi harta "karun" lagi kerana mereka tidak menguasai Pusat.
Kenapa para pengundi muda kali ini nak undi PR?
Sebenarnya mereka ingin melihat perubahan, mereka tidak tahu kalau UBN itu parti yang sudah lama memerintah atau banyak jasa. Itu bukan persoalan.
Sesiapa sahaja yang memerintah lama, sampai puluhan tahun, mereka akan dianggap sebagai banyak jasa. Banyak jasa bukan ukuran bagi rakyat, kerana biar banyak jasa bagaimanapun, UBN tidak akan mampu melayani semua kehendak rakyat.
Rekod pencapaian yang diutamakan oleh kerajaan UBN membuktikan mereka lebih mengutamakan golongan kaya raya, golongan kroni, melakukan tindakan yang tidak bijaksana -- melupakan rakyat -- meskipun mereka kata rakyat diutamakan, janji ditepati, itu slogan pada tahun akhir sebelum parlimen dibubarkan.
Percayalah, kalau tanpa adanya PR yang semakin kuat, menguasai beberapa buah negeri, para pemimpin UBN akan duduk selesa. Mereka berkhayal macam duduk di sebuah singgahsana. Mereka hanya melihat rakyat dari kejauhan. Mereka hanya mahu mendengar laporan dari orang bawahan yang sentiasa angguk sahaja.
Apabila PR semakin mendapat perhatian rakyat, setelah rakyat menyedari banyak penyelewengan yang dilakukan oleh para pemimpin atasan, maka rakyat mulai memberontak, mereka benci kepada golongan tamak, rakus, mahu membolot semua kekayaan negara yang ada.
Pengundi tak usah bimbang. Mana-mana parti yang menang pilihan raya dan mereka telah menguasai pusat, menguasai kantung negara, maka janji apa pun mereka boleh lakukan. Jadi bukan sahaja pemimpin UBN yang tabur janji, pemimpin PR juga mampu melaksanakan janji yang telah ditaburkan.
Untuk membuktikan PR mampu atau tidak, berilah peluang mereka mentadbir selama sepenggal, kalau rasa PR cakap sahaja yang pandai, maka rakyat berhak untuk memilih semula UBN. Ini formula mudah.
Bagi mereka yang telah berusia, mereka ingin sekali melihat kerajaan yang ada berubah, mereka rasa sudah jemu dengan sistem yang diamalkan oleh UBN. Mereka masih dendangkan lagu lama, sistem kehakiman tidak telus, rakyat masih diperkudakan, tidak ada ketelusan meskipun berbuih-buih mereka kata transformasi telah dibuat.
Sebenarnya, rakyat perlu menyedari, pilihlah pemimpin yang tidak terlibat dengan masalah peribadi yang menyukarkan. Masalah peribadi sebagaimana yang sudah diketahui umum merupakan penanda untuk menentukan siapa yang paling layak.
Jika seseorang tokoh hanya sekadar dilemparkan pertuduhan yang tak masuk akal, maka kes yang melibatkan tokoh utama dalam UBN lagi menggemparkan kerana ia sedang diadili di sebuah negara yang bebas dan telus. Nantikan! []
No comments:
Post a Comment