Wednesday, 8 May 2013

TERIMALAH KEKALAHAN JANGAN BISING-BISING!

Ketika orang Pakatan Rakyat berhimpun di stadium besar, dengan jumlah rakyat yang membeludak begitu, bukan tidak ada orang yang geleng kepala dan melepas geram.
"Apa lagi yang mereka nak? Dah kalah tu sudahlah, terima sahaja kekalahan itu jangan nak kata pengundi hantu, bawa lari kertas undi dan macam-macam cerita," itulah komen seseorang yang saya dengar semalam. Siapa yang komen tak perlu dinyatakan, sepuluh kali dia komen, ia tidak memberi bekas pun!
Memanglah, buat masa ini tidak ada topik paling hangat tetapi soal pilihan raya baru-baru ini. Meja segi empat, meja lonjong dan meja bulat semua sudah jadi tempat orang berbahas soal politik pilihan raya.
Pendeknya sekarang, tak kira siapa, semuanya nak bercakap soal politik. Tahu atau tak tahu, semua nak bercakap. Jadi biarlah. Apa salahnya mereka berlatih bagaimana nak berhujah. Mula-mula di meja gerai, lepas tu naik ke meja restoran, lepas tu nanti naik ke meja besar dalam dewan, naik lagi ke meja besar atas pentas, naik lagi ke meja besar di Parlimen, dan naik lagi sampai ke meja besar stadium, padang atau di padang pasir yang luas lagi tandus!
Kita nak marah kepada orang yang bising-bising tentang kalah pilihan raya pun tak guna. Apa sebab? Tengoklah akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, NST, sampaikan Metro yang selalu laporkan kemalangan dan sukan sibuk nak main politik. Sampaikan ada kawan syor agar Metro pun kena masukkan dalam senarai bacaan yang diboikot kalau masih main politik Umno.
Perhimpunan bukan sahaja diadakan di Selangor, bahkan di Terengganu, dan dirancang nak buat di Pulau Pinang pula. Eloklah mereka berhimpun. Kerja berhimpun macam ini memerlukan kemahiran, dan ada seni berhimpun yang orang UBN tak reti nak buat kalau tak ada penajaan. Percayalah!
Nak tegah mereka berhimpun pun tak boleh sebabnya media milik UBN masih bantai PR hari-hari. Walaupun pilihan raya sudah selesai, mereka masih menggigau lagi seolah-olah nanti ada pilihan raya kecik pula. Juga kerisauan ada orang berpaling tadah. Bukan kita tak tahu, ini sudah jadi budaya tak rasmi masyarakat kita. Tengoklah nanti, hanya sebab murtad, sebab gereja ada yang merajuk dan keluar dari jemaah. Hanya dengan sebab isu longkang, isu rumput tak potong, isu rambut panjang, isu sampah dan pasir pun orang boleh merajuk. Ini ahli politik separuh masak. Itu belum lagi tengok orang tunjuk perasaan di sana-sini. Kalau begitu sudah lama Tan Sri Khalid cabut.
Sekarang, kalau ada sesuatu isu, kita kena fahami isu itu. Siapa yang tetaskan isu itu. Apa latar belakangnya. Dari situ kita tahu, isu itu bagaimana kedudukannya sama ada hendak layan atau boleh jalanlah!
Ini sudah masuk dalam bab seni memahami tindak-tanduk rakyat bawahan. Rakyat bawahan kena ada ketua. Kalau tak ada ketua yang bangkitkan isu, mereka tak ada isu. Mereka tak akan berfikir sampai ke situ. Jadi ketua ini yang bangkitkan isu ada matlamat juga.
Selain nak tonjolkan bakat terpendam sebagai ketua, dia juga nak cari batu untuk dia bertenggek bagi membolehkan lompat ke batu yang lebih tinggi lagi. Orang seni cakap, nak dijadikan batu loncatanlah!
Terbukti, sesiapa yang cerdik dia boleh bangkitkan isu. Kalau isu itu munasabah, ia akan menjadi isu nasional. Kalau tak pun setakat isu daerah atau kampung terpencil sahaja.
Sekarang, orang masih bercakap soal undi hantu, pilihan raya tipu dan sebagainya. Jika Pakatan Rakyat menang nanti, apakah undi hantu dan pilihan raya tipu akan lenyap?
Tidak juga. Ketika itu puak-puak yang kalah pula akan kata PR tipu, PR bawa pengundi hantu genderuwo, pelesit, toyol, bajang, parakang, langsuir, dan sebagainya. Pendeknya, pengundi hantu akan pakai nama yang pelik-pelik pula.
Di luar negeri pun ada kedengaran bising-bising macam ini. Ia sudah jadi fenomena sejagat dalam masa pilihan raya. Kalau ada pemimpin yang dibenci, yang tidak disukai rakyat, maka isu ini sentiasa berbangkit. Lainlah kalau pemimpin yang dipilih itu memang digemari ramai, maka tak sampai hati orang nak ungkit.
Apa betul? Ini hanya wacana dalam minda penulis sahaja. Yang baik dari Allah SWT manakala yang tidak itu adalah dari cetusan minda peribadi yang banyak kelemahannya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment