Tuesday, 7 May 2013

PERPADUAN KAUM KITA GAGAL?

KETIKA kempen baru-baru ini Kak Umno dan Makcik Umno beritahu supaya kita satu rumah undi BN, alasannya buat apa undi calon Cina. Kita kena undi calon orang Melayu. Dari rayuan pengembara wanita Umno itu jelas mereka ini memang diajar agar rasis.
Sedangkan seisi rumah kita, langsung tidak peduli dengan rayuan pengembara orang Umno itu. Memang semua orang sudah tahu, di depan Melayu mereka cerita lain, di depan berbagai kaum mereka cerita lain. Inilah cara kempen UBN.
Orang Melayu masih seronok berada dalam kepompong lama. Mereka masih seronok bercakap tentang 13Mei bagi menakut-nakutkan orang Melayu, padahal wanita tadi bukan tahu pun bahawa peristiwa tahun 1969 itu dimainkan oleh Gerakan dan bukan DAP.
Agaknya kalau mereka tahu bahawa Gerakan main peranan dalam peristiwa itu; itu belum lagi kes perarakan bawa mayat aktivist Parti Buruh yang mati ditembak polis, maka wanita tadi termenung. Tambahan parti yang pernah terlibat dengan huru-hara itu menjadi rakan BN. Nak marah apa? [Tunku Abdul Rahman, 13Mei Sebelum dan Selepas, Utusan Publications, 2012].
Apabila keputusan pilihan raya sudah diperoleh, maka kedengaranlah rasa geram, kecewa, memberi label Tsunami Cina dan sebagainya. Ada orang marah-marah terhadap sikap orang Cina yang memilih pembangkang juga [PR].
Sebelum pilihan raya, orang bercakap tentang orang Melayu yang mereka kata tidak mahu bersatu. Apabila bercakap tentang bersatu kita kena tengok dulu siapa yang bercakap [Perkasa, Jati dan NGO lain juga asyik bercakap tentang penyatuan Melayu mengikut acuan mereka].
Kalau orang Umno, mereka anggap Melayu bersatu sekiranya mereka semua menyertai Umno, sokong Umno supaya kedudukan PM Umno semakin kukuh. Itulah maksud bersatu yang mereka mahukan.
Sedangkan di luar UBN, orang-orang Melayu sudah bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat. Penyatuan orang Melayu di bahagian ini jauh lebih meyakinkan jika dibandingkan dengan perpaduan dalam Umno.
Rasanya lepas ini akan banyak lagi seminar dan forum tentang perpaduan ummah, perpaduan kaum diadakan di sana-sini.
Diajaknya sarjana yang hebat-hebat untuk bentang kertas kerja -- hasilnya macam itu juga.
Kenapa kita masih bercakap tentang perpaduan kaum sejak lepas 13Mei sampai sekarang, tahun 2013? Bukankah telah banyak program yang dianjurkan, yang dikempenkan saban hari bagi perpaduan kaum sehingga ada kementerian atau jabatan tertentu yang sinonim dengan perpaduan kaum.
Beratus juta, dan mungkin sejak dulu sampai sekarang sudah billion dihabiskan untuk program bagi memupuk perpaduan kaum, sayangnya ia hancur setiap kali pilihan raya diadakan. Inilah kesan buruk dari kempen politik ketika pilihan raya. Lepas pilihan raya barulah nak menyatukan semula. Masa terlalu singkat, lima tahun bukannya lama.
Usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat sebaliknya telah membuka mata orang Melayu yang perkauman, bahawa tidak ada apa yang perlu ditakutkan dengan parti-parti dalam PR.
Gambaran yang dipaparkan oleh media kepunyaan Umno bahawa negara ini sedang menuju ke ambang kehancuran dek kerana tidak ada perpaduan. Media mereka selalu menyeru agar orang Melayu bersatu di bawah satu payungan.
Bagi penganalisis politik kita, orang Melayu wajar bersatu di bawah payungan Pakatan Rakyat, kerana ia tidak memerlukan jabatan atau kementerian untuk bercakap tentang perpaduan kaum.
Perpaduan kaum terbukti di kalangan anggota Pakatan Rakyat. Inilah fakta yang para pemimpin Umno tidak berani sentuh. Mereka sedaya upaya hendak memecahkan perpaduan kaum di kalangan Pakatan Rakyat.
Kalau UBN begitu gerun dengan corak polarisasi kaum yang katanya lebih Cina, maka mereka kena fikir dua kali.
Di dalam Pakatan Rakyat, orang Melayu tidak payah dirayu, mereka tahu menjaga parti yang disokong, mereka dengan rela mengundi calon DAP. Berbeza dengan orang Melayu di bawah didikan Umno, mereka memilih kaum apa yang hendak dipangkah. Akhirnya, banyak juga calon BN yang tergolek kerana permainan ini.
Dalam pilihan raya, kita tidak boleh menanamkan semangat kebencian terhadap sesuatu kaum. Kaum Melayu yang berada dalam kepompong Melayu merasakan hanya kaum mereka sahajalah yang hebat dan kaum-kaum kena kena ikut cakap mereka.
Begitu di dalam kepompong orang Cina, mereka hanya fokus kepada kepentingan kaum mereka sahaja. Akan tetapi corak yang dipraktikkan oleh Pakatan Rakyat, tidak mengira ia orang DAP, orang PAS atau PKR, selagi mereka berada di bawah payung PR, maka mereka perlu bekerjasama.
Tidak ada curiga antara kaum. Perkara ini dibuktikan daripada perhimpunan massa baik Bersih, isu Lynas, dan isu-isu lainnya. Dah tentu perhimpunan tentang bantahan terhadap "penipuan" dalam pilihan raya baru-baru ini yang dirancang hari ini [Rabu 8/5/13] dapat memberi gambaran bahawa semua kaum berhimpun di situ.
Jika sudah puluhan tahun UBN mendakwa merekalah parti yang hebat, dapat bertahan sampai sekarang, mereka kena fikir dua kali. Mereka masih gagal dalam bab perpaduan kaum. Setiap kaum masih bercakap tentang kaum masing-masing. Padahal tugas seorang khalifah yang sempurna bukan begitu. Justeru penasihat PM perlu membelek kitab tentang bab khalifah bagi pencerahan para pemimpin yang berkuasa.
Apabila ada ura-ura DAP tak boleh guna lambang parti bagi tujuan "merendamkan" parti itu dalam pilihan raya yang baru lepas, pihak Umno terpaksa fikir banyak kali. Banyak untungnya kalau calon DAP guna lambang PAS atau PKR. Mujur Umno cepat sedar, dan mereka bertolak ansur untuk membenarkan DAP guna lambang partinya. Jika tidak? Senario politik kita tentu berubah!
Kita tidak tahu apa lagi yang UBN nak lakukan untuk memantapkan perpaduan antara kaum di negara kita. Ia tidak cukup dengan jamuan rakyat, makan besar atau makan kecik. Tidak cukup dengan acara pentas dan konsert. Tidak cukup setakat tarian zapin dan inang, tidak cukup dengan Tarian Singa atau Ngajat. Tidak cukup. Sebab itu hanya acara yang diprogramkan. Hakikat sebenarnya polarisasi perkauman di negara kita masih macam itu juga. Jawabnya, kita masih gagal. Entah kenapa? Agaknya kita terlalu banyak berpolitik? Terlalu banyak berteori? Terlalu banyak nak memuaskan satu-satu kaum sampai terlupa corak demografi kita bagaimana. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment