Friday 27 December 2013

KEMEGAHAN MASA SILAM

SEMUA orang mempunyai kenangan manis dan pahit di masa silam. Kenangan pahit selalunya menjadi manis apabila dikenang ketika diri telah berada di puncak kejayaan. Memang itulah yang kerap dijadikan bahan bualan atau bahan dalam buku mengenai biografi peribadi.
Ada orang mengenang zaman jahiliyah yang sangat menghibakan diri. Justeru setelah memperoleh input berguna, seseorang perlu bermuhasabah diri, membuang segala kecelaan dalam diri. Kalau boleh rahsiakan sahaja masa silam yang penuh noda itu. Untuk apa diceritakan semula sekalipun diri sudah berada di puncak kehidupan.
Ada perkara yang boleh dijadikan kebanggaan dan ada juga kebanggaan yang menjadi bahan celaan. Di zaman yang telah berubah, seseorang tidak menilai sesuatu perkara mengikut standard masa silam lagi.
Ukuran masa lampau tidak boleh digunakan lagi untuk dijadikan kemegahan di masa sekarang. Megah masa lampau, ada yang tidak berguna langsung di masa sekarang.
Apakah seseorang mahu bermegah dengan dunia jahiliyah di masa silam? Memang pada masa dahulu ukuran jahiliyah atau bukan tidak dijadikan kayu ukur. Namun apabila zaman telah berubah, telah memperoleh semacam pencerahan dalam diri, seseorang terpaksa menerima ukuran itu.
Umpamanya, ada orang bermegah kerana dulu pernah dipanggil atau dinobatkan oleh para wartawan sebagai primadona. Gelaran hebat itu memang kena pada zamannya pada masa lampau. Akan tetapi keprimadonaan itu tidak boleh diusung lagi di masa sekarang ketika semua orang sedang bermuhasabah diri, membuang segala perkara yang tidak sesuai untuk dijadikan bahan usungan lagi.
Tanggungjawab wartawan hiburan aman berat. Mereka tidak boleh sekadar melaporkan pewatak dalam dunia hiburan mengikut ukuran masa lampau. Sudah tiba masanya mereka mempraktikkan tanggungjawab yang membina dan bukan lentur dengan arus hiburan yang melalaikan.
Gelaran primadona untuk seseorang itu dilihat dari sudut kemegahan masa kini, ia memberi gambaran yang tidak sesuai, malah berkonotasi negatif. Memang pada dunia hiburan, seseorang yang diberi gelaran primadona itu seperti berada di puncak kejayaan.
Dari sudut yang lain, ia memberi gambaran yang tidak perlu dikenang sama sekali. Biarlah ada deretan anugerah atau gelaran apa sahaja berkaitan dengan pencapaian yang telah diperoleh pada masa lalu. Namun dari satu segi, ia memberi gambaran negatif dalam kehidupan.
Orang yang menolak kemasyhuran, mereka tidak mahu diberi gelaran yang bukan-bukan termasuk sebagai bintang atau primadona. Justeru kena muhasabah diri. Para wartawan perlu faham dalam konteks penulisan yang berkaitan dengan dunia hiburan. Zaman sudah berubah. Acuan masa lampau tidak sesuai lagi untuk dibawa di zaman moden sekarang.
Gelaran apa pun terhadap seseorang pewatak dalam dunia hiburan yang kecil dan sempit bukanlah satu anugerah yang perlu dibanggakan. Sesuai dengan kefahaman kita, kehidupan di dunia ini hanya permainan yang memperdaya, kita semua ramai yang terpedaya olehnya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment