Sunday 29 December 2013

SAMBUTAN AMBANG 2014 "RITUAL" LAMA DIULANG-ULANG

SEPATUTNYA kita tidak bersungguh sangat nak sambut ambang 2014.
Keghairahan masyarakat kita hanya sekadar untuk meniru-niru apa yang dilakukan di semua kota-kota besar seluruh dunia.
Barangkali KL tidak mahu ketinggalan, agar nanti ada wartawan melaporkan bagaimana hebatnya sambutan itu, bunga api berpercikan di sana-sini, lambang keceriaan.
Cuba semak semula, ritual yang pernah kita lakukan 10 tahun dulu, atau 20 tahun dulu!
Tentunya, tak ada bezanya.
Kita masih meraikan kedatangan ambang 2014 dengan bersungguh-sungguh sekali. Seolah-olah kalau tak ada sambutan begitu, kalau tak ada keriuhan dan sorak-sorai itu, atau tidak ada gedung-gedang di pentas, artis terkinja-kinja begitu, maka rugilah andai detik itu tidak dikira beramai-ramai.
Kalaulah begitu, mana yang lebih utama, Awal Muharam yang telah berlalu atau detik 1 Januari 2014?
Media kita, tidak kira apa media pun terlalu fokus kepada acara tahunan yang berulangan itu. Keesokan harinya, mereka pasti paparkan ritual sambutan itu di sana-sini.
KL hendak digandingkan dengan kota besar lainnya, sama-sama menyambut detik dan debaran 1 Januari.
Di sana-sini telah dirancang. Semuanya lebih menjurus kepada hiburan yang meleka dan melalaikan.
Hiburan begitulah yang sebenarnya perlu dikawal, tidak perlu diberi publisiti berlebihan. Kenapa begitu? Mungkin para wartawan kita masih memakai acuan 20 atau 30 tahun dulu!
Tidak ada perubahan. Sambutan ambang 2014 seperti tidak sempurna kalau barisan artis tidak ditampilkan.
Sanjungan kepada kelompok artis tidak berkesudahan. Pewatak dalam dunia hiburan diberi sanjungan yang berlebihan. Dan mereka perlu dibariskan untuk memeriahkan sambutan ambang tahun baru itu.
Barangkali sambutan itu hanya untuk meredakan permasalahan rakyat yang berpendapatan kecil. Agar mereka lupa kepada soal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Biar mereka leka dengan lagu, muzik dan percikan bunga api. Setiap orang diminta mendongak memandangnya sambil bertepuk tangan.
Setelah upacara tamat, anak-anak muda yang berpendapatan rendah itu teringat semula dengan masalah kos kehidupan yang semakin meningkat.
Mereka tak akan mendengar suara seorang Dekan, Profesor atau Dr yang bercakap tentang permasalahan ini. Mereka bercakap kerana mereka berada di zon selesa. Bayangkan mereka dipecat dan tidak ada pekerjaan? Prof atau apa pun, tentu tak mampu hendak bercakap lagi tentang masalah orang miskin.
Sekarang, mereka yang gemar bercakap tentang orang miskin agar bersabar, dan terima sahajalah apa yang berlaku ini, kerana harga barangan tidak akan turun. Ia akan naik dan terus naik.
Ya, kita tahu mereka bercakap kerana mereka selalu diberi ruang untuk bercakap dalam media tertentu. Mereka sentiasa bercakap tentang isu apa sahaja pun kerana memang itulah yang diminta oleh pihak media. Percakapan itu bukanlah percuma!
Bagi kita, sambutan ambang 2014 tidak perlu dibuat dengan meniru-niru ragam negara Barat. Ia hanya sebuah ritua tahunan yang berulangan.
Janganlah dimegahkan bunga api yang memercik di angkasa itu. Sedangkan keresahan tentang kenaikan kos kehidupan dan perkhidmatan rakyat sekarang menjadi bahan fitnah yang terlalu memualkan.
Bayangkan orang miskin dituduh hendak menguasai saham konglomerat! Seperti biasa, kita tak akan mengikuti siaran televisyen tentang sambutan itu. Bukan begitu cara kita.
Untuk nota tambahan, menjelang ambang tahun baru 2014, rakyat diajak bergembira menyaksikan konserta teragung dan terhebat, sesuai dengan namanya, nak sambung ambang tahun baru. Ambang Maal Hijrah orang sudah lupa.
Kali ini rakyat dihidangkan dengan konserta yang pelbagai yang semuanya menguntungkan penganjur dan peserta konserta, termasuk para pemuzik dan mereka yang menyediakan segala fasilitas.
Konserta 1: di Dataran Putrajaya, anjuran sebuah bank.
Konserta 2: di Dataran Merdeka, KL.
Konserta 3: di KLCC,KL.
Konserta 4: di Taman Tasik Titiwangsa, KL.
Tiga konserta yang paling mudah dijengah oleh penulis adalah konserta 2, 3 dan 4. Konserta 4 paling dekat rumah. Soalnya, cuba tanya, bermanfaatkah seseorang itu mendekati konserta begitu? Memang berhibur tidak dilarang, tetapi biasanya konserta begitu melanggar segala peraturan dan merobohkan sesuatu yang mubah menjadi sebaliknya. Wallahu a'lam. [] 

No comments:

Post a Comment