Friday 27 December 2013

KELUHAN HARGA BARANG MILIK RAKYAT

SEMUA ORANG mengeluh kerana tahun 2014 bakal disambut dengan kemuraman. Tidak perlu terkinja-kinja sambut tahun tahun baru, lagipun kita semua sudah sambut Maal Hijrah. Nak berapa kali tahun baru?
Tahun baru hijrah kali ini kita sambut dengan nada berhati-hati. Semua kos telah naik. Apa sahaja barangan keperluan pengguna naik mengejut. Satu naik yang lain pula naik.
Apabila ada kalangan rakyat yang berpendapatan bawah RM1 000 [seribu ringgit maksudnya ada yang dapat RM900 sebulan, RM750 sebulan atau RM 350 sebulan] mengeluh tentang kenaikan harga barang, pihak di atas, terutama kaum menteri, kaum CEO yang tidak pernah merasai penderitaan orang kecil, mereka janganlah melatah dengan membuat jawapan bodoh.
Di antara jawapan bodoh yang telah didengar oleh rakyat miskin adalah sebagaimana berikut:
1. Kenaikan harga gula, rakyat diminta kurangkan manis dalam minuman dan makanan [sedangkan mereka yang berduit berkilo-kilo gula dihabiskan di dapur mereka, siapa pun tak tahu].
2. Kenaikan harga tol, rakyat dinasihatkan gunakan jalan alternatif, ikut jalan kampung, biar lambat dan jem teruk pun tak apa.
3. Kenaikan tambang LRT dan seumpamanya, maka elok benar orang ramai disarankan jangan gunakan khidmat LRT lagi. Gunakan pengangkutan lain. Kalau tak mampu, berhenti kerja. Duduk rumah. Tambang mahal, tak mampu nak bayar. Kalau kerja pun tolak tambang LRT dah tinggal RM120 nak makan apa?
4. Tambang teksi pun khabarnya akan naik. Sekali buka pintu, sekian bayar. Maka orang ramai disarankan tidak gunakan teksi jika tak ada keperluan mendesak. Maknanya, sesiapa yang terdesak sahaja baharulah guna teksi.
5. Tambang bas henti-henti pun akan naik, maka kedengaran, syor agar orang naik motosikal. Termasuk yang merungut tentang tol mahal. Mereka galakkan orang naik motosikal [dan khabarnya kemalangan penunggang motosikal juga menggerunkan statistiknya].
6. Harga ayam naik, mulai sekarang kurangkan makan daging ayam. Makanlah yang lain yang murah-murah.
Ada banyak lagi komen yang orang politik luahkan apabila mendengar rakyat mengeluh tentang kenaikan harga serba-serbinya.
Ada juga pemimpin kecil dalam Umno yang meluahkan betapa tidak cerdiknya jawapan para menteri apabila mengulas tentang isu rakyat. Itu pencerahan di kalangan pemimpin kecil, sedangkan yang di atas sering memberi ulasan mentah yang boleh dianggap gambaran minda para menteri di dalam BN sendiri.
Sebenarnya sampai sekarang pun, belum ada jawapan yang cerdik diluahkan oleh para menteri dari BN. Jawapan yang ada masih berlegar di sekitar jawapan bodoh. Rakyat menunggu jawapan pemimpin cerdik.
Pihak atasan tidak perlu marah kepada rakyat yang mengeluh atau nak buat tunjuk perasaan. Itu hak rakyat. Tak kan pihak atasan nak berperang dengan rakyat? Di mana logiknya, setelah mendapat mandat dari rakyat, mereka hendak menggempur rakyat pula?
Andainya rakyat ditekan agar jangan mengeluh daripada kenaikan harga barang, maka itu menggambarkan ketidakcerdikan pemimpin kita. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment