Monday 30 December 2013

JANGAN BISING-BISING, RASA MAHAL JANGAN BELI!

DI SANA-SINI sudah kedengaran cakap-cakap yang menyindir. Semua ini ada kaitan dengan soal kenaikan harga barang keperluan harian.
Sudah lama kita dihiburkan dengan sitcom agar semua orang kena sedar, kenaikan harga barang patut disambut dengan berlapang dada.
Terimalah seadanya. Jangan banyak komentar. Bising-bising pun tak guna. Habis bising, pergi kedai beli gula, beli apa sahaja produk untuk kegunaan harian semua orang kena bayar lebih sikit.
Tidak kira anda orang berduit atau tak berduit.
Tak kira anda orang gelandangan, kutip kotak, tin kosong dan besi karat untuk dijual. Tidak kira anda pakai basikal cabuk atau motosikal kuasa besar.
Tak kira anda berpendapatan kecil atau tak ada pendapatan langsung, semua kena membayar dengan harga lebih kalau berhajatkan sesuatu.
Kenapa nak bising-bising sampai nak berkumpul di Dataran Mereka?
Soal bising-bising dan keluhan itu, adalah gambaran sebenar huti nurani rakyat.
Kalaulah hujung tahun 2013 dan ambang awal tahun 2014 diikuti dengan PILIHAN RAYA UMUM di negara kita, maka isu kenaikan harga barangan ini pasti tidak akan berlaku.
Rakyat kecil yang kais pagi makan pagi pun sudah pandai mencongak.
Lepas pilihan raya harga barangan pasti naik. Dulu pihak BN menafikan. Sesiapa yang ada menyimpan keratan akhbar nasional tentu boleh menyemaknya.
Pemimpin BN menasihatkan agar rakyat jangan percaya dengan kenyataan dari Pembangkang yang mengatakan harga barang akan naik.
Terbukti.
Sekarang lepas pilihan raya dimenangi oleh BN, harga barang betul-betul naik mendadak.
Apabila orang bercakap atau mengeluh tentang harga barang naik, maka ada sekelompok orang sombong membantah. Buat apa bising-bising hanya kerana harga barang naik? Bukankah kita sedang melangkah untuk menjadi sebuah negara maju?
Ada komen dari bebudak facebook dan blogger yang menyentuh tentang isu ini.
Berikutan dengan kegelisahan rakyat ini, maka ada sekelompok rakyat akan mengadakan perhimpunan AMAN untuk menyatakan resah gelisah mereka.
Sayangnya, kegelisahan rakyat itu bukan hendak diredakan, tetapi mereka menerima fitnah terbaru pula, mereka dituduh hendak menentang kerajaan!
Berbagai kenyataan menghina dan mengejut dipaparkan dalam media UBN.
Yang paling pedih dan memelikkan adalah mereka dituduh hendak gulingkan kerajaan.
Ini betul-betul cerita rekaan. Fiksyen moden.
Bukan tidak ada di kalangan orang miskin yang berada di dalam kepompong NGO tertentu terpaksa berkokok dan membuat repot konon mereka menentang kawan-kawan yang nak berhimpun itu. Padahal mereka sendiri yang "dipaksa" untuk membuat kenyataan bodoh itu sama-sama miskin dan tak berduit.
Kenapalah senario begini masih ada di negara kita? Kenapa kita tidak jujur dalam menyatakan sesuatu?
Bukankah pelik namanya, orang yang gelisah kerana masalah ekonomi dituduh dengan berbagai tuduhan sampai ke peringkat tidak setia kepada negara, sampai diminta pindah ke luar negeri.
Itu adalah pandangan yang sempit. Kenapa kita tidak belajar berpolitik secara rasional?
Antara pemikiran dangkal itu adalah menyuruh agar rakyat jangan bising-bising. Kalau rasa semua perkhidmatan atau barangan itu mahal, jangan beli, cari pilihan lain! Bukan sahaja barang keperluan harian dan perkhidmatan, malah rakyat disuruh memilih NEGARA mana untuk dihijrahi kerana sudah mual dengan negara sendiri.
Inipun perlu pembetulan. Yang berpandangan begitu, elok mendiamkan diri dan bermuhasabah. Kalau sekadar hendak bersuara bagi menyatakan KESEHALUAN kita dengan pihak penguasa, tidak perlulah berpura-pura menjadi orang yang terkecuali daripada kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang ada.
Berlaku jujurlah menghadapi kegelisahan massa! Semoga! []

No comments:

Post a Comment