Saturday, 4 January 2014

DULU DAN SEKARANG, TAPI BUKAN LAGU TEGAR YA!

Dulu dia sering menulis tentang sesuatu yang dia tidak suka. Dia bolehlah dianggap sebagai salah seorang yang suka meluahkan buah fikiran dalam bentuk tulisan untuk apa sahaja tabloid yang berbentuk kepolitikan.
Dia seolah-olah pendukung Pakatan Rakyat yang tegar. Tulisannya selalu mengkritik penguasa yang ada di pusat. Lagi-lagi ketiga tumbuhnya reformasi yang menggugat politik negara di zaman Mahathir.
Sebagai pekerja untuk akhbar kecilan bersaiz kecil, dengan paparan yang tidak memikat, memanglah luahan tentang apa sahaja berkaitan isu politik semacam mendapat perhatian pembaca.
Bayangkan, bukan mudah mengerjakan sebuah akhbar bebas berukuran tabloid setiap minggu atau dua minggu sekali. Paparan selalunya jadi basi tatkala akhbar itu siap dicetak dan diedarkan di merata tempat.
Hanya akhbar harian yang dapat melakukannya, sedangkan akhbar mingguan kena cerdik dalam melaporkan bahan.
Dulu, tokoh ini pernah menulis sebuah buku tentang sebuah media yang sudah pupus. Pendiri media itu ada kaitan dengan kes yang melibatkan Anwar Ibrahim. Tokoh kita ini juga amat mahir dan kaya bahan untuk dijadikan sebuah atau beberapa buah buku politik.
Tidak ramai yang berkebolehan menjadi penulis politik di tanah air kita ini. Ada yang bermusim dan ada yang muncul sekiranya ada sesuatu isu besar sahaja.
Tokoh ini pernah turun padang, sampai ke Lorong Haji Taib bercerita tentang media. Bagi orang yang tak biasa dengan dunia media, atau sekadar melihat dari kejauhan, tentulah cerita dari tokoh kita itu dianggap hebat.
Tidak dapat dipastikan dia menjual apa. Ubat atau idea? Tidak diketahui. Tetapi dia meletakkan keratan akhbar yang menunjukkan namanya yang dipaparkan. Itu bukti bakatnya sebagai "orang media".
Masa terus bergulir, kita pun kehilangan jejak. Terakhir di kawasan Jalan Haji Hussein, Chow Kit, Kuala Lumpur, kebetulan kita memang selalu ke Masjid Pakistani di situ.
Pernah sesekali bertemu, tokoh kita mengatakan dia berkhidmat dengan salah sebuah kolej terkemuka di Kuala Lumpur. Jadi orang akademik. Apa jawatannya rakan-rakan pun tak tahu. Lagipun tokoh kita ini memang suka menulis keperihalan politik. Tulisannya banyak yang menjolok pihak penguasa.
Lama sekali jejaknya tidak ketahuan. Kehilangan jejak.
Tanya rakan-rakan pun tak tahu.
Tiba-tiba tokoh itu telah ditemui di celah-celah dunia maya. Wah, dia sudah bernada lain. Sesuai dengan perubahan iklim politik, maka kemungkinan dia memperoleh "sesuatu" yang membuatkan tokoh ini menukar haluan perahunya.
Hujung tahun 2013, dia memaparkan sikap yang sebenarnya. Warna bulunya telah jelas. Dia bukan lagi seperti dulu. Nada tulisannya sudah berubah. Kini dia membantai sesiapa sahaja yang mengkritik penguasa.
Rakan-rakan faham. Dengan siapa dia sedang "bergayut".
Dia mendukung pendapat mufti Perak yang sedang hangat diwacanakan sekarang.
Dia marah kalau anak-anak muda berkumpul di Dataran Merdeka. Dia percaya apa yang dilaporkan oleh Berita Harian dan Utusan. Dia percaya, di sebalik perhimpunan anak muda dalam kempen TURUN itu, ada pihak tertentu yang menggerakkannya, iaitu sebuah gerakan haram.
Walaupun menyedari, dalam kedudukan apa pun, tokoh ini sama seperti orang lain. Dia tetap menerima kesan daripada kenaikan harga barangan. Dia juga turut mengeluh dan mengajak agar orang lain berjimat cermat, senada dengan saranan pemimpin atasan.
Penulis melihat dari jauh sahaja perkembangannya. Sebenarnya, perubahan dulu dan sekarang ini ada kaitan dengan soal CARI MAKAN.
Pihak mana yang memberikan MAKAN cukup, maka itulah yang menjadi dukungannya. Tokoh ini turut bercakap tentang fatwa mufti Perak yang mendapat kritikan hebat dari segenap penjuru. Dia memihak kepada pendapat mufti tanpa hujah yang jelas.
Penulis ada menghubungi rakan-rakan penulis di KL dan mereka juga tidak tahu apa perkembangan yang berlaku ke atas tokoh yang diperkatakan ini. Nak kata tokoh pun bukan tokoh. Biarlah penulis anggap dia tokoh dalam fiksyen!
Sebelum anda bercakap tentang soal keislaman sesuatu itu, yang kebetulan sebagai mengulas fatwa mufti Perak yang disokongnya itu, boleh lupa pula terlajak memaparkan gambar ahli keluarga bagi tontonan ramai. Paparan ini menimbulkan persepsi negatif dari kalangan rakan-rakan penulis yang cuba membaiki diri untuk berlaku jujur dan istiqamah dalam perjuangan. Wallahu a'lam. []


No comments:

Post a Comment