Monday 6 January 2014

APA SUDAH JADI DENGAN GULING?

HAKIKATNYA golongan muda berhimpun di Dataran Merdeka ketika pihak lain menyambut ambang tahun baru 2014 adalah berkaitan dengan kesengsaraan rakyat yang sebahagian besarnya berpendapatan rendah.
Pihak media melalui wartawan yang cerdik telah mempertikaikan, adakah anak muda yang hadir di dataran itu semuanya orang miskin?
Wartawan akhbar arus perdana mempertikaikan kedudukan orang yang menjadi ketua menganjurkan perhimpunan itu.
Setiap kali ada perhimpunan orang sibuk mencari dalangnya. Usahkan perhimpunan yang memihak kepada Pakatan Rakyat, perhimpunan yang dianjurkan oleh parti pendukung pemerintah pun ada dalangnya. Sayangnya, di antara dua dalang itu, hanya dalang di pihak Pakatan Rakyat sahaja yang dimomokkan.
Begitu banyak dalang dalam kepompong pihak UBN tidak dipertikaikan langsung. Inilah standard pemikiran kita yang sangat jumud ketika berdepan dengan dua paksi tersebut.
Pihak tertentu seperti marah-marah kepada orang berhimpun bagi membantah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Mereka marah sangat sehingga melabelkan anak-anak muda itu sebagai kumpulan yang akan menggulingkan kerajaan.
Ini bukan cerita di Mesir atau di Bangkok. Ini Kuala Lumpur, dan Dataran Merdeka sejak dulu lagi tak pernah berlaku perbuatan anarkis begitu.
Akan tetapi pihak yang tidak sealiran telah memberi label negatif. Pihak media arus perdana setiap hari berwacana tentang pelabelan itu tanpa memberikan bukti kukuh pun. Cara mereka menulis sangat emosional sekali. Geram terhadap tindakan rakyat [padahal wartawan itu sendiri bukanlah dari kelompok elitis kerana itu kerja mereka, ikut arahan tuannya].

RAKYAT MENGELUH
Setelah tahun baru tersibak, terbukti apa yang mereka kata guling itu tidak wujud pun. Malah berlaku perkara yang baik di tengah padang itu, iaitu, konsert ambang tahun baru ditamatkan lebih awal dan tidak ada bunga api dibakar [walaupun ditangguhkan sempena Tahun Melawat Malaysia].
Apabila sekolah memulakan sesi penggal pertama timbulkan bermacam keluhan dan rintihan.
Siapa yang mengeluh?
Mereka adalah kalangan rakyat yang berpendapatan kecil, yang tidak mempunyai pendapatan tetap, yang pendapatannya tenggelam timbul, kekadang ada dan kekadang tidak ada.
Kelompok inilah yang terpinggir dalam arus politik kita.
Kaum bangsawan di negara kita tidak memahami aspek kehidupan rakyat bawahan biarpun mereka berkali-kali turun padang.
Mereka bukan turun padang, sebaliknya menjadi orang yang dikompang dan dibunga-manggarkan. Mereka tidak turun padang.
Menariknya, masih ada media arus perdana yang terlupa, melaporkan kisah penderitaan rakyat. Misalnya, ada penduduk miskin tinggal di kandang kambing. Penduduk tidak mempunyai rumah menumpang rumah orang lain.
Tidak kira apa kaum pun, semuanya sama, semuanya senasib. Ada yang dibela dan ada yang langsung tak diberi pembelaan pun.

BUKAN MASA KEMPEN
Puncanya? Sekarang bukan masa untuk pilihan raya umum. Kalaulah sekarang pilihan raya umum, pasti, harga serba-serbi yang dinaikkan itu terpaksa ditangguhkan.
Maka di pentas kempen akan diberitahu bahawa harga barangan dan perkhidmatan tidak akan dinaikkan. Janganlah percaya dengan tohmah pembangkang.
Sesiapa yang masih menyimpan rekod lama, terbukti, apa yang pemimpin elitis sebutkan itu sudah diredah begitu sahaja.
Mereka lupa dengan manifesto. Cetak manifesto punya cantik tetapi tidak dihargai. Mereka tak baca pun apa yang telah dicetak dan disebarkan kepada umum.

TARAF NASIONAL
Kini, semua orang tak perlu marah kepada anak muda yang buat perhimpunan TURUN di Dataran Merdeka. Ia perhimpunan yang cantik, ia perhimpunan bertaraf nasional, tidak ada perkauman, ia perhimpunan yang melibatkan semua pihak terutama golongan berpendapatan kecil.
Golongan atasan, pegawai kerajaan, pegawai swasta yang berkedudukan tidak terkesan langsung dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Yang merasakan sangat adalah orang kecil.
Apabila semua orang sudah pandai mengeluh, tidak kira mereka itu orang yang menyokong Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, ia membuktikan bahawa perjuangan anak muda dalam perhimpunan TURUN itu adalah perjuangan yang benar, ia tidak perkauman, dan tidak berbau poltik sangat.
Ia perjuangan menuntut agar kenaikan harga barang yang melampau tidak dibiarkan berleluasa begitu sahaja. Kalau boleh tolonglah pantau. Ada kuasa, gunakan kuasa!
Dalam pada orang mengeluh dengan kekurangan DUIT, cubalah tengok di bank-bank, pejabat pos dan sebagainya.

BUKU BIRU
Semalam di sebuah pejabat pos di Setapak, penulis saksikan sendiri bagaimana ramai orang berkulit sawo matang memegang buku biru [harap faham, buku apa itu?] -- semua nak keluar duit, nak jual balik saham yang persennya tak banyak mana. Betapa tidak, memang duit ada sebanyak itu, nak tambah bagaimana? Keluar lebih banyak daripada masuk!
Itupun pembesar negara kita masih tak faham.
Mereka peduli apa? Mereka tak turun padang.
Mereka hanya turun di padang Dataran Merdeka untuk berkonserta dan berdendangan tak berkesudahan. Penderitaan rakyat mereka tidak tahu.
Bahkah pegawai bawahan kalau boleh nak rahsiakan soal penderitaan rakyat itu daripada dipaparkan secara leluasa. Malu kita!

BERSAMAMU
Tetapi paparan dalam TV3 mengenai kemiskinan rakyat jelas memperlihatkan program yang menyindir pihak penguasa.
Kalau tak ada kamera TV masuk rumah si miskin, maka tidak ada berkilo-kilo beras, tepung, gula dan keperluan lain dihantar ke rumah si miskin.
Hakikatnya, si miskin seperti terpaksa menerima publisiti tentang kesusahan hidup mereka untuk dijadikan tatapan orang-orang kaya dan orang yang hidup sederhana.
Penerbit program rasa puas mendapat kerjasama AJK kampung [inilah masanya nak tunjuk baik] lebih-lebih lagi si miskin yang dapat beras berkilo-kilo itu.
Alahai kasihannya dia!
Ya, kita kena bantu!
Ada yang menitik air mata menyaksikan episod duka yang dipaparkan melalui program yang seolah-olah akan bersama dengan rakyat miskin selama-lamanya.

TOHMAH
Orang akan bertanya, siapa yang memulakan tohmahan mengatakan bahawa anak-anak muda yang memperjuangkan hak rakyat itu sebagai pihak yang nak menggulingkan kerajaan?
Nampaknya, pihak yang mewar-warkan, terutama para wartawan media perdana, sampai sekarang tidak menemui sebarang bukti bahawa anak-anak muda itu nak gulingkan kerajaan.
Mereka sebenarnya nak menggulingkan kenaikan harga barangan!
Bukan nak gulingkan kerajaan.
Seandainya semua pihak, termasuk kaum pemikir yang hebat-hebat mempercayai bahawa kumpulan anak muda yang mereka sebut sebanyak 5 000 orang boleh gulingkan kerajaan, memang ia satu keajaiban!
Memang ia hari ini dalam sejarah!
Itu juga membuktikan betapa lemahnya sebuah kerajaan. Hanya diasak oleh orang miskin mereka juga jatuh miskin dan terpuruk.

WARAS
Selalu orang mengajak rakyat agar bertindak waras. Pihak atasan juga perlu waras. Rakyat diajak supaya berfikir secara ilmiah pada menghadapi sesuatu perkara, tetapi betapa banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pak menteri menggambarkan betapa ilmiahnya corak pemikiran mereka?
Mungkin terlanjur menuduh orang miskin nak gulingkan kerajaan yang teguh, untuk meredakan keadaan maka isu lain dirancang pula.
Nak pusingkan minda rakyat. Isu yang lama dimainkan semula. Maka rakyat yang tidak faham dengan selok-belok "putar" ini termakan hasutan pula.
Apa pun, kemenangan adalah di pihak anak muda yang berjuang untuk orang miskin.
Biarkan golongan kaya enjoy dengan kehidupan mereka.
Biarkan pemimpin kita bermain kata di pentas dan di mimbar atau sekadar kenyataan akhbar. Biarkan. Rakyat sudah tahu menilai ucapan pemimpin yang ada. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment