ADA benda menarik yang tidak masuk akal.
Ia sudah diiklankan, hanya tak tahulah siapa atau orang bagaimana yang berani hubungi orang yang menyediakan perkhidmatan ini.
Apa dia?
Konon dia ni lebih bijak dari orang yang bijaksana dan bijaksini, yang cendekiawan dan cerdik berkawan.
Dia kata, dia menyediakan peranti berupa Kad Handphone [HP] tetapi ia bukan kad biasa.
Nama sahaja kad, tetapi sebenarnya ia adalah kad pengasih. Adik beradik senyonyonglah nak senang cakap.
Sesiapa yang memiliki kad jenis ini dia boleh hantar SMS, boleh hubungi si fulan dan nyatakan apa hajat sebenar.
KESAN PENGASIH
Kena pulak sekarang masa orang kecoh nama tidak terpilih sebagai calon pilihan raya.
Konon, sesiapa yang mempunyai Kad Ajaib ini, dia boleh hubungi seseorang dan nyatakan hajatnya.
"Datuk! Apakah saya tak ada peluang langsung untuk dipilih sebagai calon di kawasan anu-anu?"
Konon, sesiapa yang menggunakan Kad Ajaib ini kata-katanya akan meluruhkan hati orang lain.
Kalau menagih namanya dicalonkan, entah-entah boleh dipinda pula di saat akhir.
Itu kalau mengikut cerita temberang orang pintar yang menyediakan produk Kad Ajaib.
Hanya sayangnya, Kad Ajaib itu tak dijual di Kuala Lumpur, tak ada di Chow Kit atau Sogo. Tak ada di Masjid India.
Selain soal nak jadi calon, Kad Ajaib ini boleh juga digunakan untuk urusan lain, urusan nak meminang anak Raja Gondang, nak dapatkan tender projek RM2 Billion, nak itu dan nak ini.
Pendeknya, Kad Ajaib ini lebih daripada "touch 'n go!"
Kalau tak berani cakap, SMS pun boleh. Apa yang dipohon, apa yang dihajatkan ia akan dipenuhi.
Adakah kad itu kad biasa sahaja?
Sudah tentu tidak.
Kata yang empunya benda, kad itu sudah "diritualkan" --- jadi ia produk yang syubhat dengan kesyirikan. Ia boleh dihantar melalui jarak jauh asalkan ada fulus dimasukkan ke dalam akaun penjualnya. Harganya? Tak sampai sejuta Rupiah pun! Bukan nak jual kad, tapi sekadar pencerahan. []
No comments:
Post a Comment